Tuesday, August 10, 2010

Book Review SK Sentosa 01

Molek pakatnya, guru penyelaras sedang beri taklimat.

9 Ogos 2010, 3petang.
SK Sentosa mengadakan program English Book Review 01, kumpulan sasarannya ialah murid tahun lima. Murid telah dibekalkan bahan bacaan iaitu cerita yang diambil dari Zoom A. Semua murid seramai 19 orang dibekalkan bahan bacaan. Kumpulan yang sederhana dibekalkan cerita yang lebih mudah. Mereka bersedia selama seminggu. Mereka membaca di rumah dan di sekolah. Guru BI sering bertanya tentang pembacaan cerita tersebut. Ibubapa dan komuniti dipelawa untuk menjadi penilai. Seramai tujuh orang menawarkan diri. Mereka ialah guru bukan opsyen BI, ibubapa dan guru pencen. Mereka diberi taklimat awal bagaimana hendak menguruskan sesi itu nanti. Hasilnya sangat memuaskan.





Dalam gambar kelihatan ustaz Shukri sedang menyoal sesuatu dalam Bahasa Inggeris. Kelihatan juga Tuan Haji Anwar (pakai kopiah putih) telah beberapa tahun pencen juga mengambil bahagian.

Kelihatan Musa (ayah murid), puan Nor (ibu murid) dan cikgu Zahir sedang menyoal murid tentang kandungan buku yang dibacanya. Walaupun ada sebutan yang kurang tepat tetapi tetap berani mencuba dan membantu. Inilah sikap yang kita mahu.
Encik Nasir, Guru Besar sentiasa bersama setiap kali ada program. Komitmen GB memberi semangat kepada guru dan ibu bapa.


Hadiah kepada yang hebat agar jadi motivasi kepada yang lain. Puan Wan Abzan (GPK) menyampaikan hadiah.

Apakah istemewanya program ini?
1 Mengajak ibubapa dan penduduk kampung yang berpengalaman turut serta membaca dan terlibat dalam sesi temu bual dengan murid
2 Memupuk sikap suka membaca dan komunikasi dalam Bahasa Inggeris.
3 Guru tidak kira opsyen turut memberi kerjasama, semangat kekitaan yang tinggi, semangat tolong menolong jelas diamalkan.
4. Bahan bacaan Bahasa Inggeris dimuat turun dari internet.
Saya harap program BookReview ini diteruskan lagi dan jadi ikutan sekolah lain.
Untuk pengetahuan semua, SK Sentosa duduk dalam kategori Band One. Memang patut sekolah lain ikut cara SK Sentosa.
Selamat menunaikan ibadat puasa.

Wednesday, July 28, 2010

Kami berjaya jejak kaki di PUNCAK GUNUNG KINABALU

Low's Peak adalah puncak tertinggi (4095.2 meter) Gunung Kinabalu. Saya sebelah kiri, Nordin di tengah dan Kamarul Zaman di kanan pegang tali. Kami berada di puncak tiga minit sahaja. Cuaca sangat sejuk dan angin kencang.

Syukur, rancangan bermula tahun lepas dan latihan lasak selama empat bulan akhirnya menjadi kenyataan. Pada 27 Julai 2010, jam 7.14 pagi saya, Kamarul Zaman dan Nordin menghadapi berbagai rintangan berjaya bergambar di puncak. Shakri, Kamaludin, Ramli, Syed Adnan dan Suhaimi sampai lebih awal. Walaupun petang semalam hujan tetapi kami sangat bernasib baik boleh sampai. Cuaca sangat sejuk dan kabus tebal tetap dirempuh juga.

Sangat mencabar, hanya semangat yang memujuk kaki agar terus melangkah. Bukan mudah rupanya, nasib baik banyak latihan. Nordin dan Kamarul Zaman masih kelihatan tabah. Kami berjalan dalam kabus awal pagi.

Perjalanan mendaki pada 26/7/2010 dari Timpohon bermula 9.00pagi. Pada mulanya kami berlepas serentak, tetapi akhirnya berpecah tiga mengikut kelajuan. Kumpulan pertama Hj Ramli, Nordin, Shakri, Syed Adnan dan Kamaludin. Mereka sampai di Laban Rata jam 3.00ptg. Saya dan Kamarul Zaman mula tercicir di km3. Kami tidak mampu mengikut rentak mereka. Waktu ini tak boleh serious sangat, kena bertegur sapa dan borak-borak sikit tapi jangan lebih2 sebab berborak juga membebaskan tenaga. Kini kami berasa berada dikalangan mat salleh tapi masih ada orang Malaysia. Sewaktu rehat kami berborak dengan sekumpulan amoiJB.


Tidak dapat digambarkan betapa mencabarnya perjalanan sejauh 6 km itu. Lebih kurang 200 meter sebelum sampai ke Laban Rata hujan turun. Bukan main sejuk, kami cepat-cepat pakai baju hujan. Rakan kami Zul dan Ahmad mengekori di belakang. Mereka memanjat dalam hujan yang sangat mencabar. Mereka sampai 6ptg.

27/7/2010 jam, 2.30pagi, kami lapan orang memulakan perjalanan ke puncak sejauh 2.7km. Nampak dekat sahaja tetapi sentiasa mendaki. Cuaca ketika itu sangat sejuk. Ikutkan hati nak pusing belakang aja tetapi tak sampai hati kepada Nordin dan Kamarul Zaman. Kami berjalan melawan graviti, melawan sejuk melampau dan lapar. Rupa-rupanya Nordin dan Kamarul Zaman juga hampir tewas tetapi malu hati kepada saya, maka langkahkan juga. Jarak 200 meter terakhir macam mustahil boleh sampai. Angin sejuk semakin kuat menyebabkan kami terpaksa berlindung sebentar balik batu.

Semangat berpasukan sahaja yang mendorong kami terus memanjat ke atas.

Saya akan hurai lagi topik ini bila sampai ke rumah. Kini saya singgah sebentar di bandar Kota Kinabalu sementara menunggu waktu berlepas pulang jam 7.15 malam.

Saturday, July 24, 2010

Menuruni arus deras sungai Kiulu, Sabah

Semalam kami melaksanakan satu aktiviti yang dirancang enam bulan yang lalu. Sebenarnya ideanya bermula tahun lepas iaitu selepas berjaya berakit mengilir sungai Pahang.

Apa yang boleh saya katakan,

Sungguh indah negeraku, alam semula jadi yang menarik dan memukau. Bila melihat Gunung Kinabalu dari jauh, nampak begitu gagah.

Lepas itu kami sampai di hulu sungai Kiulu. Kami 11 orang naik dua bot getah. Amran yang baru menyambung tugas ikut serta tetapi tidak boleh ikut aktiviti yang lasak ini. Dua orang minah mat salleh naik sekali. Pihak Exzotic Edventure minta kami benarkan mereka dari Belanda naik sekali. Kami ada sikap yang friendly, mereka dialu-alukan. Kakak naik bot saya dan adik naik bot yang satu lagi.

Tidak dapat digambarkan betapa mencabarnya aktiviti ini. Saya di haluan menjaga arah. Tidak disangka, satu ketika bot kami yang sedang laju dibawa arus meluncur menghentam tepat tebing batu. Bot hampir terbalik, saya nyaris tercampak ke batu tetapi sempat mengelak dan jatuh semua dalam bot. Sungguh malang, mat salleh itu tercampak ke tengah arus yang laju itu. Nasib baik dia boleh mengapungkan dirinya. Kami bertungkus lumus berkayuh menghampirinya. Kami telah diajar bagaimana menyelamatkan rakan yang bercampak dalam sungai. Dengan mudah sekali Syed, Nordin dan Zul menarik dan mengusung minah itu ke dalam bot. Kami ingatkan dia takut, rupanya dia turut ketawa. Rupanya minah itu pandai berenang. Jaket keselamatan yang kami pakai terbukti berfungsi dengan baik.

Saya akan sambung lagi.

Esok kami akan bergerak ke kaki Gunung Kinabalu.

Sunday, July 18, 2010

Latihan terakhir sebelum mendaki Gunung Kinabalu

Hari ini saya bersama rakan-rakan pejabat PPD Pekan mendaki Bukit Pelindung dengan bersemangat sekali. Latihan hari paling mencabar kerana kami mendaki sampai ke puncak, kemudian turun menghala ke pantai Teluk Cempedak. Berihat dan minum sebentar di Teluk Cempedak kemudian mendaki semula hingga ke puncak dan turun. Kami berjalan turun dan naik bukit melebihi enam kilometer. Jurulatih kami ialah cikgu Shakri sangat berpuas hati dengan kesungguhan kami berlatih hari ini. Ramai yang mengenakan kasut mendaki yang baru.

22 Julai 2010 kami akan berlepas ke Kota Kinabalu membawa misi Pendidikan Pekan Melangkah Maju.

Thursday, July 15, 2010

Hari terakhir bertugas di PPD Pekan

Tak sangka khidmat saya di Pekan sebagai PPD berakhir hari ini. Rasanya belum puas. Terima kasih kawan-kawan yang rainkan saya dalam satu majlis makan tengah hari yang penuh makna. Tapi saya tidak rasa sedih sebab perasaan masih tinggal di sini. Lagipun saya mahu terus bersama rakan-rakan dan pendidik Pekan untuk menjulang pendidikan Pekan. Saya paling seronok bertugas di sini.

Thursday, July 8, 2010

Pencapaian ujian April 2010 menunjukkan Pekan nombor corot

Saya terkejut bila menatap analisis ujian bulan April bagi Negeri Pahang. Terkejut kerana lihat pencapaian Matematik di tempat yang terakhir. Lepas itu tersentak bila lihat keputusan Sains dapat nombor corot juga. Nasib baik BI berada di tempat kelima dan BM(Kefahaman) tempat kedua. Keseluruhannya Pekan berada di tangga ke lapan. Pencapaian ini sangat teruk.
Apa nak buat?

Malu weh.

Hari ini saya bercakap kepada semua GB daerah Pekan di Pusat Sumber Pekan. Saya kupas sejelas-jelasnya. Saya percaya semua GB faham apa nak buat.Saya sebagai ketua di daerah tak boleh duduk diam. Saya nak pastikan pencapaian Matematik 90%. Apa nak buat?Puas fikir timbul nama PROMAT maksudnya program matematik (tahun lepas namanya GALUS, nama itu tak berapa sedap sebab ada GAL bermaksud gagal). Saya meminta GB berbincang dengan guru Matematik untuk melaksanakan program khusus untuk budak yang dapat D dan E. Bilangan yang dapat D dan E seramai 985 orang daripada 2206 orang. Bayangkan betapa ramainya budak Pekan yang tak pandai mengira. Saya juga nak teruskan program tahun lepas yang ternyata berkesan iaitu gunakan khidmat fasilitator tingkatan empat.

Jam 3.30petang bermesyuarat pula dengan lima orang pengetua SBP dan SRK untuk mendapatkan bekalan fasilitator. Syukur semua mereka beri sokongan padu. TQ.

Saya sedang merangka kajian tindakan untuk mencapai 90% lulus.
Harap berjaya.

Sunday, June 27, 2010

LAPORAN PROGRAM ZOOM-A & PEKAN DIGITAL

LAPORAN PROGRAM PEMBELAJARAN INTERAKTIF MELALUI INTERNET - ZOOM.A.

TARIKH : 26 JUN 2010.
TEMPAT : DATARAN MAJLIS DAERAH PEKAN.
MASA : 8.00 PAGI – 12.30 TENGAHARI

8.00 PG.
- Pendaftaran murid dan guru.
- Seramai 110 orang murid Tahun 6 terlibat .( 8 buah sekolah )
- Fasilitator dari SMK Seri Pekan seramai 8 orang dengan seorang guru pengiring.
- Guru dan guru besar seramai 44 orang hadir bagi menjayakan program ini.
8.30 – 10.30 PG
- Murid memulakan aktiviti dengan mengakses menggunakan wireless TARB.
- Ada beberapa buah komputer yang agak sukar untuk mengakses menggunakannya telah menggunakan broadband.
- Pada mulanya murid agak keliru tetapi ia hanya sementara dan apabila telah dapat memasuki laman web zoom.a ia bertukar menjadi satu keseronokan.
10.30 – 10.50 PG
- Rehat.
- Murid, guru, Guru Besar beserta pegawai dari PPD Pekan telah menikmati Nasi Lemak dengan santainya di dataran tersebut. Suasana ini sangat jelas dapat dilihat seperti satu program Rehat Minda kerana tiada tekanan dari segi masa.
10.50 PG
- En.Sulhi dari SK.Tanjung Medang telah memaklumkan kepada murid tentang soalan ujian yang perlu dijawab oleh murid dalam masa 1 jam 15 minit merangkumi bahagian A dan B.
12.15 TGH
- acara penutup.
- Ucapan Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, En. Yahya.bin Zainal Abidin.
· program ini adalah untuk mengabungkan teknologi yang ada di Pekan ini dengan Program zoom.a.
· mengucapkan terima kasih di atas komitmen semua, mengharapkan anak-anak murid ini akan berjaya dan jika ada kelapangan boleh hadir di dataran ini menggunakan kemudahan digital yang ada.
· Harapan semoga program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
- PPD menyampaikan hadiah kepada 15 pelajar yang berjaya mendapat markah tertinggi untuk ujian yang telah dijalankan tadi.
- Majlis berakhir pada pukul 12.30 tengahari.


Laporan penuh akan menyusul kemudian.
Terima kasih.

Jawatankuasa Laporan.
S.K. TEMAI,PEKAN.

Friday, June 25, 2010

Gerak Gempur Zoom-A dan Pekan Digital



Budak SK Padang Rumbia dan SK Temai sedang ralit mencari jawapan Sains Zoom A. Jika dapat peluang macam ini, mereka pasti maju. Di belakang Encik Zainal GB SK Padang Rumbia turut memerhati.

Hari ini, 26 Jun, benar-benar terjadi seperti yang dirancang. Tahniah!

9 Jun lalu saya ada beritahu rancangan ini. Isnin 21 Jun adakan mesyuarat, Nordin pengerusikan mesyuarat di PKG. Hari ini mulai 8.30pagi hingga 12.30th betul-betul terjadi seperti yang dirancangkan. Seramai 159 orang (murid, GB, GPK, guru sains, fasilitatorSMK Seri Pekan) terlibat. Kami berkumpul di Dataran Pekan. Sekolah yang terlibat ialah SK Ahmad, SK Seri Biram, SK Seri Terentang, SK T Medang, SK Seri Maulana, SK Acheh, SK Temai dan SK Padang Rumbia. Pegawai PPD yang menguruskannya ialah Budin, Nordin dan Rosda. Pegawai PKG encik Rozman ikut sekali memainkan peranan. Seramai 19 orang GB diketuai Encik Abdullah Pengerusi MGB dan GB dari kelompok Bandar, Peramu dan Pantai hadir.
Murid sedang mengakses program Sains Zoom A, guru turut membantu dan pegawai PPD sedang memantau. Semua orang seronok melaksanakan tugas masing-masing.

Murid kata seronok belajar cara santai seperti ini.

Terima kasih cikgu, MGB Pekan, Majlis Daerah Pekan (guna tempat) dan PDRM (kawalan trfik dan keselamatan).

Jika kita berpadu tenaga,
semua yang dirancang pasti menjadi!

Wednesday, June 23, 2010

Lahirkan ramai Guru Cemerlang di daerah Pekan

Puas juga memikirkan bagaimana nak majukan pendidikan di daerah ini? Selepas merenung dapat idea galakkan ramai guru mohon GC. Masih banyak sekolah belum ada walau seorang pun GC. GC boleh dijadikan pemangkin. Minggu depan akan panggil pemikir handal Pekan untuk merangka pelan tindakan.

Sunday, June 20, 2010

GURU YANG DISUKAI MURID

Seorang Pengetua sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak telah membuat kajian terhadap murid-murid beliau mengenai guru yang mereka sukai.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid suka kepada guru-guru yang menepati masa, komited terhadap tugas dan kecindan (suka berjenaka).

Dapatan kajian beliau menunjukkan murid suka kepada guru yang menetapi masa iaitu masuk kelas tepat pada waktunya dan keluar (menghabiskan sesi pengajaran) kelas juga tepat pada waktunya. Ini menunjukkan bahawa warga guru perlu memberikan penekanan kepada aspek pengurusan masa yang cekap dan berkesan.

Guru yang menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka adalah merupakan guru yang disanjungi oleh murid. Warga guru perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas masing-masing. Guru perlu melakukan sesuatu tugas dengan bersungguh-sungguh supaya mereka dicontohi oleh murid. Dalam satu kajian lain, dapatan kajian menunjukkan ramai kalangan guru mengamalkan kaedah pengajaran dengan meniru apa yang telah dilakukan oleh guru mereka terdahulu. Ini bermakna sekiranya kita mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan, maka anak didik kita sentiasa memerhati dan memberikan keutamaan sehinggakan sekiranya mereka menjadi guru kelak, apa yang kita lakukan terhadap mereka hari ini akan menjadi ikutan mereka kelak. Konsep 'Bapak Borek, Anak Rintik' berlaku disini. Kalau cikgu borek, maka anak muridnya akan menjadi rintik?Aspek yang tidak kurang penting ialah guru yang pandai berjenaka.

Amalan jenaka atau kecindan akan membantu mengurangkan jurang pemisah komunikasi antara guru dan murid. Gelak tawa semasa berinteraksi antara guru dengan murid akan menjadikan hubungan guru-murid lebih mesra dan erat. Ingatlah wahai para guru, anak murid kita sentiasa memerlukan 'kawan' dalam kehidupan sosial mereka dalam persekitaran sekolah. Selain daripada rakan sekelas, atau sekolah, guru adalah merupakan kawan yang boleh mereka kongsi cerita dan jenaka yang bukan semata-mata berunsurkan akademik.

Dipetik daripada
http://deriakacamata.blogspot.com

Saturday, June 19, 2010

Adakah kita mahu melahirkan anak anak luar bandar cemerlang dalam pendidikan?

Sudah lama saya simpan hasrat ini. Tidak boleh disimpan lagi dalam kepala ini, mesti dihamburkan. Hari ini mahu curahkan untuk tatapan rakan guru dan ibu bapa di daerah Pekan.

Kita sentiasa mahu 5A UPSR, 9A PMR, 11A SPM dan 5A STPM. Memang itu hasrat dan cita-cita kita. Kita mahu anak didik kita cemerlang, maka kita bekerjalah berhempas pulas. Ibu bapa juga bersungguh-sungguh. Pemimpin kita terutama YAB Dato' Seri Najib ikut serta memberi sokongan penuh. Kita bekerja setiap tahun mengejarnya. Pada saya ini adalah satu misi yang mesti kita laksanakan. Ini sebenarnya satu matlamat jangka pendek.

Usaha melahirkan generasi yang cemerlang dalam pendidikan adalah satu matlamat jangka panjang. Saya mahu merujuk kepada pandangan dan tiru idea-idea besar seperti berikut;

  1. Fellow Penyelidikan Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Alatas yang diinterviu oleh Utusan Malaysia pada 20 Mei 2001. (Kupasan penuh boleh rujuk kepada tajuk Budaya Malas Membaca Buku dalam internet ini.
  2. Polisi Presiden Wilson, Presiden USA sekita tahun 1820an (Kupasan penuh rujuk Sejarah Pembinaan Negara Bangsa Amarika atau catatan ringkas dari buku Watak Pendidik hasil tulisan saya m/s 144 hingga 146) tentang budaya membaca, menulis dan mencipta.
  3. Polisi presiden Presiden Park Chung Hee membangun semula Korea Selatan yang hancur dan papa selepas perang dengan Jepun(Kupasan penuh boleh rujuk buku Negara Asia Timur; Mengapa Pendapatan Perkapita Berbeza - Ishihara atau catatan ringkas dari buku Watak Pendidik hasil tulisan saya m/s 142 hingga 144).

Saya rumuskan begini;

  1. Kita mesti belajar dari Sejarah (walaupun saya hanya belajar Sejarah hingga tingkatan tiga sahaja tetapi saya suka baca buku bercorak sejarah dan perjuangan membangunkan negara selepas disarankan oleh Tun Mahathir).
  2. Guru dan ibu bapa mesti ada kesedaran yang mendalam tentang budaya membaca.
  3. Anak mengikut atau meniru apa yang kita lakukan.
  4. Melentur buluh mesti dari rebung.
  5. Aktiviti membaca yang berterusan.
  6. Sanggup terlibat dalam aktiviti membaca.
  7. Sanggup berbelanja untuk aktiviti membaca misalnya membeli buku.

Bukan susah sangat untuk melakukannya, yang penting mesti ada tindakan yang berterusan bertahun-tahun. USA sewaktu pimpinan presiden Wilson mengambil masa 20 tahun. Korea Selatan sewaktu pemerintahan presiden Pack CH (walaupun kuku besi tetapi ada hasilnya) memakan masa 15 tahun. Mesti ada sikap sabar dan percaya apa yang kita buat itu akan mendapat hasil kemudian hari (ini bukan kerja tanam ubi kayu, empat bulan boleh cabut).

Sebenarnya kita sudah memulakannya sejak awal tahun 2010. Contoh PSS 4 bintang dan program DEAR. Saya perhatikan kebanyakan (semua ke?) sekolah di daerah Pekan sedang berjuang melaksanakannya. Jika ada yang belum bermakna anda telah ketinggalan.

Yang belum dilakukan ialah mengajak ibu bapa turut serta. Walau bagaimanapun, ibu bapa yang ada kesedaran sentiasa memupuk semangat sukakan buku ini. Ibu bapa di Kincir, Belimbing, Kuala Pahang, Bebar, Nenasi, Serandu, Serambi, Temai, Padang Rumbia, Mambang, Paloh Hinai, Runchang dan Lepar bagaimana agaknya?

Saya akan berbicara lagi fasal perkara penting ini. Anda dipersilakan beri komen.

Friday, June 18, 2010

Seorang Guru Tua

Guruku yang baik
Masih lagi mengajar
Sedang aku kini sudah besar
Dulu wajahnya muda
Kini rambut memutih kepala
Ada anak-anak muridnya kini memegang jawatan tinggi
Tidak kurang pula bergelar usahawan berjaya
Guruku yang baik
Masih di situ
Masih memandu kereta lama
Masih menuju sekolah yang sama
Tiada kelihatan jemu
Dari air mukanya tiada kedengaran bosan
Dari suara bibirnya
Dia gigih mengenggam tanggungjawab yang diamanahkan
Seorang Guru Tua
Dia masih disitu
Berdiri sebagai guru
Menabur jasa-jasa
Dialah pendidik bangsa !!!

Dipetik dari http://smeh.tripod.com
Nur Akidah Bt. Mohd Azhar

Wednesday, June 16, 2010

Memperkasa Kepimpinan Pengetua/ Guru Besar untuk menjayakan School Improvement Programs (SIP)



16 Jun 2010. Hari ini saya menghadiri Program Pengurusan Pementoran Kementerian Pelajaran Malaysia di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. YAB Tan Sri Dato'Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. TPM meminta Pengarah dan PPD melaksanakan perkara yang berikut;

1. Mendokong dan melaksanakan dasar2 kerajaan 2. melahirkan guru cemerlang kelas pertama 3. komitmen yang tinggi dalam tugas 4. bertindak secara proaktif 5. reaksi profesional 6. membetulkan kekeliruan yang timbul 7. menterjemahkan daya saing negara melalui pendidikan yang berkualiti dan modal insan 8. berfikir dan bertindak secara kreatif dan "di luar kotak".

Saya terus teringat kepada 63 orang penegtua dan guru besar di daerah Pekan. Kita adalah pemimpin di baris hadapan peringkat akar umbi yang akan menerjemahkan SIP. Saya terus mencari bahan bacaan yang boleh dijadikan panduan kepada kita untuk memperkasakan kepimpinan peringat sekolah. Saya memilih bahan dari http://kulanzsalleh.com/. Sila telitikan tulisan berikut.


CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK

Sekiranya anda ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima seperti berikut:


  • Seseorang pemimpin harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman.

  • Seseorang pemimpin mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya.

  • Seseorang pemimpin yang baik berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus.

  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pada kebiasaannya, pemimpin yang baik jarang berkasar dengan orang-orang bawahannya.

  • Seseorang pemimpin yang baik pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.

  • Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.

  • Seorang Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang dengan orang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja.

  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia.

  • Seorang pemimpin yang baik pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.

  • Seorang pemimpin yang bijak tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.

Melalui perbincangan mengenai ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.


Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.


Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandanghanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa formal melalui jawatan dan penerimaan orang-orang bawahan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan.


Dipetik daripada http://kulanzsalleh.com/ciri-ciri-pemimpin-yang-baik

Monday, June 14, 2010

Mendaki Bukit Pelindung dan Body Mass Index

Saya telah mendaki tidak kurang 10 kali. Sebelum ini saya banyak bercerita tentang apa yang saya nampak dan gelagat pendaki yang lain.

Kini saya mula berfikir tentang berat badan, sukatan tenaga haba yang dibebaskan dalam calori. Bila sebut berat badan, kita mesti ambil tahu Indek BMI bermaksud Body Mass Index. Tenaga yang dibebaskan adalah hasil pembakaran lemak yang terkumpul dalam badan. Saya berazam mahu turunkan Indek kepada 25 sebelum 22 Julai 2010. Ada sebabnya. Pada 25 Julai 2010 saya bersama rakan pendidik Pekan seramai 10 orang akan mendaki Gunung Kinabalu. Pengiraan BMI boleh diperolehi dengan mudah daripada BMI Calculator dalam internet. Isi sahaja maklumat tinggi dan berat, BMI Calculator akan mengira dengan pantas. BMI saya ialah 27.2, bermakna telah terlebih berat ( Over weight). Bermula dari mendaki BP, saya mula mengambil berat tentang berat badan yang unggul.

Satu persoalan seterusnya ialah berapakah berat yang harus dikurangkan? Kiraannya ialah 2.2x1.62x1.62 = 5.8 kg. Satu tugas berat untuk mengurangkan 5.8kg dalam masa 6 minggu ini. Rasa macam mustahil aja. Walau bagaimana pun saya akan memilih makanan yang sesuai calorinya dan akan terus melakukan latihan fizikal untuk membakar lemak yang berkumpul pada perut. Bila sebut over weight. Ini adalah isyarat bahaya. Boleh dikaitkan dengan meningkatnya tekanan darah, kencing manis dan jantung. Oleh itu, saya mesti mengambil langkah mencegah mulai sekarang.

Saya mengajak guru daerah Pekan mengira BMI masing-masing. Boleh rujuk kepada BMI Calculator atau kira sendiri menggunakan formula (Berat dlm kilogram)/ (Tinggi x Tinggi dlm cm). Jika melewati 25 elok dapatkan nasihat doktor perubatan.

Kita pendidik mesti dalam kaedaan sihat agar dapat menjalankan tugas dengan baik. Menjaga kesihatan diri adalah satu usaha yang mulia di sisi Agama Islam.

Wednesday, June 9, 2010

Cerita guru tidak ingat nama pelajar

Hari ini saya mahu bercakap perkara yang ringan sahaja iaitu cerita guru yang tidak ingat nama pelajarnya.

Cerita 1

Cikgu Rosnah bercerita ...

Satu hari semasa saya mengumpulkan nama pelajar rumah Temenggung untuk acara sukan tahunan, seorang pelajar datang kepada saya untuk masuk acara lompat jauh. Saya mengajar kelas itu tetapi tidak tahu nama dan kelasnya. Dengan muka selamba saya tanya pelajar itu nama dan kelasnya.
"Cikgu tak ingat nama saya?". Terpapar kekecewaan dari raut wajahnya.

Satu ketika yang lain, saya hendak membawa pelajar kelas 3 Cekal ke Makmal Sains untuk melakukan eksprimen. Malas nak naik tangga untuk memberitahu pelajar supaya turun ke makmal. Waktu rehat menengah rendah baru sahaja tamat, oleh itu saya tunggu saahaja kelibat pelajar 3 Cekal di depan bilik guru. Saya nampak seorang pelajar perempuan, tak ingat namanya, rasanya pelajar ini dari kelas 3 Cekal. Saya pun memesan padanya untuk pergi ke makmal. Pelajar itu membalas,
"Sampai hati cikgu, saya dari kelas 3 Amanahlah." Malunya aku ...

Saya bertanya rakan-rakan lain, kebanyakannya mempunyai masalah yang hampir sama, sukar nak ingat nama pelajar, tapi tidak sekritikal saya. Agaknya sayalah yang paling teruk di ABS ini. Bukan setakat tak ingat nama pelajar malah kelas mana pun saya tak ingat. Saya mesti berubah, saya tak mahu memalukan diri sendiri lagi.

Cikgu Rosnah membuat refleksi tentang dirinya terhadap muridnya. Ini adalah satu bahagian penting dalam proses mendidik. Cikgu Rosnah menyedari kelemahannya dan mahu berubah. Refleksi seperti ini adalah penting untuk memulakan satu Kajian Tindakan. Seseorang guru tahu di mana kelemahannya. Beliau mahu membaiki diri. Tahniah cikgu Rosnah.

Seterusnya cikgu Rosnah telah membuat Kajian Tindakan Mengingat Nama Pelajar kelas 3 Fitrah. Selepas bertungkus lumus selama empat minggu, akhirnya beliau berjaya mengingati semua 37 orang pelajar kelas itu.

Selepas sebulan . Apakah yang dirasai oleh cikgu Rosnah?
  1. Saya telah berjaya mengingati semua nama pelajar 3 Fitrah serta sedikit makumat peribadi mereka.
  2. Saya tidak lagi rasa tertekan apabila masuk ke kelas 3 Fitrah. Motivasi saya untuk mengajar mereka meningkat dan nampaknya motivasi pelajar juga bertambah baik.
  3. Pelajar lebih gembira berjumpa saya, sama ada di dalam atau di luar kelas sebab saya boleh membalas sapaan mereka.
  4. Kawalan kelas juga bertambah baik.

Saya berharap cikgu di daerah Pekan turut menjalankan muhasabah diri. Adakah anda tergolong seperti cikgu Rosnah? Jika ya, laksanakan langkah seperti cikgu Rosnah. Langkah ini adalah selari dengan cadangan School Improvement Programs (SIP).

Cerita 2
Permaisuri bercerita …
Saya memang suka mengingat nama pelajar. Saya memang tidak suka memanggil pelajar “oi” atau “awak” dan sebagainya. Cuma saya ada masalah untuk mengekalkan ingatan. Saya hanya boleh ingat nama mereka semasa mengajar di kelas sahaja. Apabila melihat wajah mereka di dalam kelas memang saya boleh sebut namanya tetapi bila berada di luar agak bercelaru sedikit. Saya sukar membayangkan bila disebut nama sahaja.
Peristiwa ini mungkin suatu yang menarik untuk membuktikan masalah yang saya hadapi. Pada bulan Mei lalu saya menghadiri kursus selama tiga hari di daerah ini. Pada hari kedua berkursus saya disapa oleh seorang peserta.
“Mengajar di mana?”, soalnya.
“Di ABS,” saya membalas.
“Anak saya ada belajar di sekolah itu,” balasnya kembali.
“Di tingkatan berapa?” soal saya pula.
“Tingkatan lima.” Jawabnya ringkas.
“Lima sains ke sastera?” Tanya saya lagi.
“Sains”, katanya.
“Oh, saya mengajar kelas sains, apa namanya?” balas saya.
“Nor Adilah”, jawabnya dengan senyum.
Tentu dia berasa gembira sebab kita mengajar anaknya. Berkerut dahi saya mengingatkan nama dan wajah pelajar ini. Namun tidak terbayang difikiran saya. Saya rasa serba salah, tak kanlah nak berbohong. Nanti kalau dia tanya macam- macam lagi fasal anaknya apa saya nak jawab. Akhirnya saya menjawab, “Oh ya” dan cepat-cepat mengubah tajuk perbualan.
Sepanjang perjalanan pulang saya masih memikirkan siapakah Nor Adilah? Bila masuk ke kelas saya terus terpandang wajahnya, oh itulah Nor Adilah… Sampai sekarang nama itu tetap kekal dalam ingatan saya.

Mengingat nama pelajar memang membantu proses pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan. Pelajar suka dan lebih mesra dengan kita. Mereka semakin suka belajar.

Cikgu Permaisuri ingat nama murid bila duduk di tempat masing-masing. Ini dikira lebih baik daripada guru yang terus tidak ingat nama muridnya. Masalah yang dihadapi oleh Permaisuri ialah hendak memadankan nama dengan orangnya bila berjumpa di luar misalnya ketika bertemu di pasar minggu. Apakah caranya untuk mengatasi masalah ini?

Pasti ada jawapannya. Kita jumpa lagi dalam topik ingat nama murid ini.

Refleksi yang diluahkan oleh Rosnah dan Permaisuri itu saya petik dari buku bertajuk KAJIAN TINDAKAN MENGINGAT NAMA PELAJAR (Siri 1, Tahun 2005) yang dihasilkan oleh 20 orang guru SMK Abuk Bakar, Temerloh. Ketika itu saya adalah pengetuanya.

Walau pun cerita ini ringan sahaja, mudah difahami tetapi kesannya sangat mendalam kepada suasana pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Ini adalah satu topik dalam tajuk The Art of Teaching. Topik ini sentiasa raleven sejak dahulu hingga kini.

Cerita 3

Cerita ini saya petik dari http//www.melayu.com. Ceritanya panjang dan sangat menarik. Saya hanya salin sebahagian sahaja. Jika anda ada kesempatan sila baca tulisan bertajuk Hati Seorang Guru sepenuhnya. Memang berbaloi masa yang diluangkan kira-kira sepuluh minit itu.

Tajuk: Hati Seorang Guru

Hasil karya : luvbieyuk

... Aku berdepan dengan pelbagai karenah pelajar, alhamdulillah..semuanya dapat kutangani. Ragam pelajar yang nakal..InsyaAllah boleh ku berdepan..malah aku tahu anak-anak didikku ini sangat takut dengan aku, kalau nak tegur pun mereka akan tengok dulu mood aku..(haha)..kadang-kadang mereka membuat aku tersenyum memerhati gelagat dan telatah mereka sesekali terhibur juga..aku suka ucapan 'selamat pagi' yang tak lekang di bibir setiap pelajar yang melintasi aku..entahlah ek..bila students greet aku je..aku rasa aku "seorang guru"..macam tak percaya pun ada jugak..tapi aku terharu berdepan dengan pelajar-pelajar yang greet kat aku...cuma aku tak tunjuk je lar..proffesional kan..tapi berbeza dengan seorang pelajar yang bernama DJ ni ..(aku panggil dia budak lesung pipit). Sejak bila eh..budak ni wujud dalam kotak fikiran aku???...erm dia mentee aku dalam subjek sejarah PMR 2007..ni semua gara-gara program anjuran sekolah lar ni. Aku pernah ajar DJ ni subjek sejarah masa di di kelas 1A dan 2A tapi kan..peliklah masa aku jadi guru subjek sejarah dia..aku rasa dia macam tak pernah wujud je dalam kelas tu..aku ni memang ketaralah kelemahannya dari sudut mengingat nama-nama pelajar..sungguh..aku tak ingat..masa mengajar pun aku main lontar je apa yang ada dalam hati aku..ye lar namapun niat nak mengajar kan..tapi rakan seangkatan ngan aku pernah berkongsi ngan aku kalau kita dapat ingat dan sebut nama pelajar-pelajar kita dari sudut psikologi self esteem pelajar tu akan tinggi dan mereka rasa gembira..ouh yeke...

Karya ini telah disunting oleh luvbieyuk pada 11hb Mei 2009, 10:29:24 mlm
--------------LuV n LoVes, alwayz get HurT in It..

Tahniah Luvbieyuk. Anda berjaya mengupas dengan jelas dan jujur. Setiap orang guru memang berhadapan dengan masalah yang anda timbulkan itu. Bayangkan di Malaysia ada 250,000 orang guru. Jika setiap orang guru berhadapan dengan budak seperti DJ itu, ini bermakna budak seperti DJ ada 250,000 orang juga. Namun begitu, mungkin DJ serasi dengan guru yang lain. Barangkali DJ berjaya dibentuk oleh rakan-rakan kita pula. Tetapi ingat, mana maruah kita yang gagal memikat hati budak seperti DJ itu. Saya sendiri sewaktu sekolah dulu adalah DJ kepada guru tertentu termasuklah seorang Pengetua. Tetapi saya ada banyak lagi guru yang berjaya membelai perasaan dan memujuk saya hingga rajin belajar. Tidak mengapa Luvbieyuk, kita mesti terus belajar menjadi pendidik yang lebih baik.

Zoom-A dan Pekan Digital

Pagi ini saya berbincang dengan Nordin dan Rosda. Saya tanya apakah yang paling menyeronokkan kepada pelajar sewaktu kem sains minggu lepas? Nordin kata budak seronok belajar guna Zoom-A. Rosda menambah, ramai yang tidak mahu keluar dari makmal komputer walaupun masa rehat. Mereka kata tidak pernah belajar guna program ini.

Saya sudah nampak satu peluang baru. Saya mencadangkan agar kita gunakan kelebihan yang ada. Kita gabungkan Pekan Digital dan Zoom-A. Mereka berdua bersetuju. Langkah pertama saya mahu tahu sejauh makah jangkauan capaian internet Pekan Digital ini? Tanpa membuang masa saya bersama Nordin, Rosda dan Budin membawa komputer masing-masing, kami menaiki kereta menuju kawasan lapang di hadapan bangunan bangunan UMNO Pekan. Kami berpecah. Saya di bawah pokok. Nordin di kawasan pentas. Rosda di dalam kawasan legar bangunan UMNO dan Budin di tepi jalan masuk. Kami menghidupkan komputer masing-masing dan cuba mencapai internet. Hasilnya sangat membanggakan, capaian internet sangat laju.

Selepas berbincang, kami mencapai kata sepakat untuk mewar-warkan Zoom-A di kawasan sekitar bandar Pekan ini.

Isnin, 21 Jun 2010 ini, kami akan beri taklimat kepada GPK dan guru penyelaras Zoom-A di PKG Pekan, seterusnya tanggal 24 Jun 2010, jam 3-5ptg, kami akan memulakan program Gerak Gempur Zoom-A bagi Kelompok Bandar.

Perkara yang baik tidak boleh dilengahkan.

Sunday, June 6, 2010

Kem Sains untuk lonjakan kecemerlangan UPSR 2010

Pelajar sedang menyemak nama untuk pendaftaran.



06 Jun 2010, di SMK Seri Pekan
14 Mei 2010 yang lalu saya membicarakan keputusan ujian murid tahun enam yang sangat teruk. Hanya 45.1% sahaja yang lulus dan gps pula ialah 2.80. Pencapaian mata pelajaran Sains pula sangat rendah, bilangan yang dapat A paling sedikit.

Saya mengajak Zailani, Nordin, Rosda, Seha dan Sh Kasimi mencari jalan. Akhirnya kami bertemu dengan langkah-langkah segera yang perlu dilaksanakan. Antaranya ialah kem di SMK Seri Pekan selama 3 hari berakhir hari ini berjaya dilaksanakan dengan baik. Guru Sains seramai 20 orang berpadu tenaga diketuai oleh cikgu Norjahan dari SK Seri Terentang dibantu oleh fasilitator dari kalangan pelajar tingkatan empat SMK Seri Pekan seramai 25 orang berjaya membimbing seramai 227 orang murid th enam dari sekolah-sekolah daerah Pekan yang dapat markah antara 52 hingga 59. Kumpulan ini perlu dilonjakkan hingga boleh dapat A.

Guru, fasilitator dan murid sedang berbincang.

Keputusanya sangat menggalakkan. Sewaktu pretest hanya 36 org dapat A, posttest pula 157 orang dapat A. Adik Wan Nor Amirah bt Wan Nor Asmara paling berjaya, pra dpt 34 dan post dpt 92, peningkatan 58 markah. Tahniah!

Semua peserta puas hati.
Murid sedang mengkaji pelajaran Sains dalam program Zoom A. Inilah sesi yang paling menyeronokkan mereka.

Terima kasih kpd Tuan Haji Miftah, Pengetua SMK Seri Pekan yang bermurah hati beri segala kemudahan. Terima kasih kepada Majlis Guru Besar Pekan yang turut terlibat. Terima kasih Yayasan Pahang terutama Tuan Haji Idrus yang sangat prihatin. Terima kasih kepada semua.

Kalau gandingan macam ini dapat diteruskan, saya percaya hasrat kita untuk menterjemah Pendidikan Pekan Melangkah Maju yakin boleh. Kita utamakan masa depan anak didik kita, kita mahu anak didik kita cemerlang.

Sunday, May 30, 2010

Gelagat Pendaki Bukit Pelindung

30 Mei 2010, 10pagi.
Saya memulakan langkah mendaki Bukit Pelindung sendirian lagi. Jalan mendaki kelihatan basah dan cuaca nyaman tidak seperti semalam sangat panas. Selepas beberapa minit saya bertemu seorang wanita veteran, saya menyapanya dengan ucapan “selamat pagi”. Beliau terus memuji, “Wau your dress look macching. shirt red, track bottom white and shoes’s color combination of white and red, very smart.” Saya tersenyum aja, tak dapat nak kata apa-apa hanya kata “Thank you” sahaja. Terasa seronok juga dipuji. Rupanya bukan kanak-kanak dan remaja sahaja suka dipuji, semua golongan rupanya. OK, elok juga kita murahkan senyum dan beri pujian bila patut.

Saya terus melangkah, di hadapan kelihatan sekumpulan pendaki mungkin satu keluarga melangkah turun. Tiba-tiba seorang wanita yang dewasa tergelincir, menggelonsor dan terhentak. Melihat mukanya, saya percaya beliau kesakitan. Dia dipapah oleh ahli kumpulannya. Saya lihat wanita itu mengepit beg tangan dan tangan kanan memegang botol air sewaktu dia jatuh. Sebaik-baiknya sewaktu mendaki, kita berlengang tangan sahaja agar badan dapat diseimbangkan bila tersampuk atau tergelincir. Mulai saat itu saya lebih berhati-hati melangkah naik.

Beberapa minit kemudian saya ditegur pula oleh seorang kanak-kanak dari satu keluarga. Dia berkata, “Good morning.” Saya membalas pantas, “Good morning.”

Berselisih pula dengan satu keluarga ; ibu dan lima orang anak. Anak yang paling kecil masih pakai baju tidur. Saya bertanya, “Sampai ke puncak ke?”. Si ibu membalas, “Separuh jalan aja.”
Di tengah hutan ini kedengaran bunyi nyaring bersahutan. Suara siamang atau ungka kah itu?. Inilah bunyi yang menjadi kemegahan penghuni rimba Hutan Simpan Dara Beserah ini.

Tidak berapa lama kemudian saya dipintas oleh seorang pendaki umur 40an, beliau kelihatan begitu menumpukan langkahnya. Ketika hampir di puncak saya berselisih pula dengannya. Dia kelihatan tak pada sahaja membuat saya juga tidak berani nak tegur kerana dia tidak angkat muka. Beberapa minit kemudian ketika dalam perjalanan turun, di jalan datar nampak orang itu tunduk menyelia dan mengutip sesuatu, lalu saya tegur, “Kutip buah apa?”.
Dia membalas,“kutip batu sahaja.” Saya kena memulakannya.

Sewaktu turun saya menyapa seorang veteran yang mendaki. Saya beritahu bahawa jalan licin. Beliau bertahu kasut dalam keadaan baik untuk mendaki.

Dikejar pula oleh sekumpulan pelajar. Mereka ialah kumpulan pelajar tingkatan satu MRSM Kuantan turun, 58 orang semuanya disertai oleh dua orang guru. Tahniah guru dan pelajar MRSM, ini adalah satu aktiviti yang baik yang sepatutnya setiap orang pelajar MRSM perlu tempuh sekurang-kurangnya sekali.

Sewaktu hampir tamat, seekor ular hijau baya jari kelengking sedang melintas jalan. Saya beri laluan kepada si hijau itu.

Pagi ini prestasi saya amat baik, boleh berjaalan naik dan turun tanpa berhenti. Boleh berjalan terus tanpa henti, apa sebab?

Saya sedang berjuang membina kekuatan. Kekuatan apa?

Saturday, May 29, 2010

Membina Kekuatan Menyeluruh

Sewaktu berucap di Masjid Al-Taqua Peramu, YAB Dato' Seri Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia merasmikan Program Imam Muda berkata,

"Kita mesti membina kekuatan menyeluruh, bila hilang kekuatan kita akan
dijajah malah kerja ibadah pun dikawal."

Sangat mendalam maksudnya.
Mengikut fahaman saya, kekuatan menyeluruh itu (saya mahu cari) meliputi,
  • Kekuatan iman
  • Kekuatan melaksanakan tugas/ tanggungjawab
  • Kekuatan fizikal
  • Kekuatan sifat kepimpinan
  • Kekuatan mental/daya fikir

29 Mei 2010. Pagi ini saya mahu membina kekuatan fizikal dan mental dengan cara mendaki Bukit Pelindung. Saya memulakan langkah sendirian pada jam 10.45pagi, agak lewat. Sebelum ini saya pernah mendaki sendirian sekali dan kemudian bersama-sama rakan sepejabat sebanyak dua kali. Sangat mencabar, terasa sangat letih dan macam tak cukup nafas, rasa mahu pusing belakang. Sangat berbeza jika mendaki bersama kawan, sambil melangkah boleh berborak. Rasa letih dan rasa tewas hilang bila berjuang dalam pasukan. Kini saya menghadapi cabaran yang lebih berat. Untuk meredakan rasa letih/ tewas/jemu, saya terpaksa rehat beberapa minit sebanyak tiga kali sebelum sampai di puncak. Sewaktu naik saya berselisih dengan cikgu Tan yang berusia 70 tahun bersama isterinya. Saya ambil peluang berbual-bual seketika. Cikgu Tan menasihatkan saya agar terus menjalankan aktiviti mendaki. Cikgu Tan mencadangkan agar saya dapat mengurangkan berat badan 5kg lagi. Waktu itu baru rasa selesa mendaki bukit. Jika berat badan dikurangkan kepada 66kg, maka Index berat/(tinggixtinggi) menjadi 24.5 unit. Ini bermakna berat badan saya dalam lingkungan berat badan yang unggul. Saya akan berusaha mengikut nasihat cikgu Tan itu. Dalam perjalanan mendaki tiba-tiba dahan pokok sebelah kiri bergegar. Saya nampak dua ekor monyet besar, ekornya panjang sedang meniti dahan yang bersanggit dengan dahan pokok seberang jalan. Saya mendongak memerhati gegagat mereka berdua itu. Saya bimbang juga takut monyet itu melompat ke tengkuk saya. Akhirnya sepasang monyet itu meniti dahan pokok seberang jalan. Ini adalah habitat mereka. Sewaktu berjalan turun, saya bertemu dengan seorang Mat Salleh sedang menolak bekas bayi beroda. Di dalam bekas itu ada dua orang bayi, yang seorang itu dalam lingkungan setahun dan seorang lagi baru berusia dua bulan (agak sahaja). Saya berbual sebentar. Mat Salleh itu kata budak itu ialah cucunya. Saya terfikir dalam hati, ini adalah satu kerja yang bahaya. Saya berasa lebih bimbang sewaktu turun, sukar mengawal. Mat Salleh itu kata sewaktu turun dia pasang tali pinggang yang mengikat bekas beroda itu ke pinggangnya. Puas juga saya memikirkan perangai dan tujuan Mat Salleh itu. Dari segi kekuatan fizikal dan semangat, sudah tentulah Mat Salleh itu jauh lebih hebat daripada saya.

Untuk membina kekuatan fizikal dan mental diri, ada kalanya kita perlu berjuang sendiri. Ada kalanya kita berjuang dalam pasukan. Ada ketikanya kita tidak perlu tunggu kawan untuk mencari kekutan. Kita perlu ada sifat berani dan yakin diri.

Monday, May 24, 2010

Staf PPD Pekan mendaki dan makan angin di Bukit Pelindung





Dah tiga hari saya bercakap fasal yang berat-berat. Kali ini kita rehat minda pula. Ahad 22/5/2010 yang lalu saya ada program bersama JPNP dan JHEOA di SK Permatang Keledang, tak dapat ikut serta aktiviti mendaki Bukit Pelindung. Oleh kerana pegawai di PPD dah mula terpikat dengan Bukit Pelindung, mereka gagahi juga.
Saya nampak mereka kelihatan gembira, tapi bagaimana boleh sampai tepi laut? Rupa-rupanya mereka terlajak turun bukit ikut denai menghala ke pantai Teluk Cempedak. Sesat atau sengaja nak teroka? Bukan main seronok nampak. Nampak seorang adik comel ikut sekali, anak siapa ye? Tak letih ke adik naik dan turun bukit?


Baguslah, ada aktiviti rekreasi, boleh hilangkan penat bekerja tetapi masih dalam kumpulan sepejabat. Ini menandakan ada "team work". Tahniah!
Bila pandang betul-betul dalam gambar atas, adik ni nampak dukung belakng ayah, betul tak?


Sunday, May 23, 2010

Idealisme dan Pemikiran Tun Abdul Razak

Ini adalah tokok tambah daripada hujah YH Dato' Haji Yaakub Isa sewaktu Bicara Buku pada Sabtu minggu lepas tentang Idealisme dan Pemikiran Tun Razak.

Saya mengajak pendidik dan masyarakat Pekan mengimbas kembali jasa Allahyarham Tun Razak kepada orang Pekan dalam pelajaran. Saya ambil satu contoh. Tahun 60an dulu kesedaran ibubapa hendak menghantar anak belajar ke sekolah menengah masih rendah sebabnya kesusahan pengangkutan, kesusahan kewangan dan kurang semangat. Menyedari masalah itu maka Tun Razak mengambil langkah berani menubuhkan sekolah menengah di kampung yang terpencil ketika itu. Maka wujudlah Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan (SMRK) Temai, SMRK Ganchong, SMRK Kampung Marhom dan SMRK Ubai. Sekolah ini menumpang di bangunan sekolah rendah. Operasinya berjalan di sebelah petang. Melalui langkah itu kebanyakan anak anak kampung dapat meneruskan pelajaran menengah dan menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dengan kos yang rendah. Kawan sekelas dengan saya sewaktu tingkatan empat di SMART tahun 1970 iaitu saudara Othman Sulong belajar di SMRK Kampung Marhom. Kini saudara Othman adalah seorang usahawan bidang kejuruteraan meknikal yang berjaya. Mohamad Karim rakan sekelas saya sewaktu tingkatan enam atas tahun 1973 adalah lepasan SMRK Temai. Apabila asrama SMRK Tanah Putih, SMRK Paloh Hinai, SMRK Pekan(kini SMK Tengku Abdullah) dan SM Ahmad siap beberapa tahun berikutnya maka empat "sekolah kilat" itu ditutup. Kini sahabat saya ini sedang giat membantu merawat pengunjung ke klinik. Ramai lagi... Sebaliknya kampung saya yang jauh dari Chenor hanya 5 orang sahaja lepasan darjah enam dari 25 orang yang menyambung pelajaran ke sekolah menengah tahun 1967, hanya 20% sahaja. Peluang anak-anak kampung Pesagi, Chenor sangat jauh berbeza dengan peluang anak-anak di kampung Temai, Pekan. Cukuplah saya beri satu contoh untuk menyedarkan orang Pekan yang mungkin telah terlupa.

Moralnya?
Jika kita mohon menjadi guru dan diterima, syukurlah. Gunakan peluang itu untuk mengajar anak didik kita bersungguh-sungguh.
Jika kita diberi peluang menjadi Guru Besar atau Pengetua, uruslah sekolah kita dengan sepenuh hati.
Jika kita diberi peluang menjadi PPD? Saya sedang cuba untuk memberi nilai tambah kepada Pengetua, Guru Besar dan guru.
Seorang pemimpin mesti memperlihatkan inovasi dan keberanian dalam amalan dan tindakannya.

Saturday, May 22, 2010

BICARA BUKU DAERAH PEKAN 2010



22 Mei 2010, 9.00 pagi hingga 4.00 petang di Dewan Amphitheatre, Bangunan UMNO Pekan berlangsungnya satu acara penting dan bersejarah. Kami berjaya melaksanakan Bicara Buku Daerah Pekan 2010. Paling membanggakan ialah bilangan peserta yang hadir ialah 509 orang penuh semua kerusi dalam dewan. Program ini diuruskan oleh PKPSM, MGB dan PERPUSPA. Pengerusi pada kali ini ialah Tuan Haji Miftah bin Surif. Semuanya berjalan lancar. Sekolah yang membentangkan hasil pembacaan ialah SMK Ahmad, SMK Ubai, SMK Lepar, SK Seri Biram, SK Nenasi dan SK Chini Timur 2. Setiap sekolah diwakili oleh lima orang guru. Mereka semua kelihatan yakin, bercakap penuh semangat di hadapan 509 orang rakan pendidik daerah Pekan.
Buku Guru Sebagai Pemimpin dikupas oleh pasukan guru SK Chini Timur 2




Pembetang undangan ialah Dato' Hj Yaakub Isa. Dato' Yaakub menceritakan bagaimana beliau berusaha menghasilkan buku Idealisme dan Pemikiran Tun Razak. Dato' Yaakub juga menjelaskan mengapa kita perlu mengkaji tokoh ini? Tidak puas mendengar hujah Dato' Yaakub. Kita orang Pekan patut menghayati perjuangan Tun Razak. Majlis penutup disempurnakan oleh Tuan Haji Murad bin Ab Jalil, Ketua Sektor Pendidikan Khas dan Swasta. Dalam ucapannya, Tn Hj Murad kerap kali mencuit hati peserta. Memang tepat tokoh yang kita undang.

Apakah objektifnya BICARA BUKU INI?






  • Menyemai budaya membaca di kalangan guru



  • Berkongsi ilmu dan pengetahuan untuk diaplikasikan dalam P&P



  • Miningkatkan pengetahuan dan kemahiran profesionalsme keguruan secara berterusan.


Sebaik sahaja tamat, saya menerima SMS daripada seorang guru,


"As.kum. Tahniah d atas kjyaan majlis bicara buku td, ramai yang kata xpuas, patut d adakan lg." .... Dari 0199xxxy49



Walaupun dikatakan berjaya, kita perlu lihat apakah kelemahan yang perlu dibaiki lagi.



Terima kasih kepada AJK, pasukan pembentang dan Dato' Hj Yaakub Isa dan Tuan Haji Murad bin Ab Jalil.





Melawat SK Acheh

20 Mei 2010, 7.35pagi melawat SK Acheh


Guru Besar, puan Zaiton, guru-guru dan murid seramai 53 orang sedang menatap buku cerita masing-masing. Mereka duduk dalam kumpulan diawasi oleh seorang guru. Saya nampak pengurusan program DEAR sekolah ini diurus dengan baik. Ini adalah hasil komitmen semua guru. Program DEAR Bahasa Inggeris sekolah ini ada kelainan. Guru menyediakan cerita pendek dalam bentuk kad. Di belakangnya ada perkataan yang perlu dicari maknanya. Selepas habis membaca murid dikehendaki membaca kuat untuk pembetulan sebutan. GB kata banyak kesalahan menyebut perkataan berjaya dibetulkan serta merta. Kaedah ini patut ditiru oleh sekolah lain. Rekod bacaan NILAM juga dikemas kini. Saya sempat menyemak rekod setiap kelas. Rekod memperlihatkan murid sekolah ini banyak membaca buku. Seterusnya empat orang murid menceritakan hasil bacaan mereka dalam Bahasa Inggeris, seorang daripada mereka adalah murid pra sekolah.
Persekitaran sekolah, bangunan, bilik pra dan bilik darjah kelihatan ceria dan banyak maklumat terkini. Walaupun sekolah ini kecil tetapi berjiwa besar. Pencapaian UPSR sejak lima tahun yang lalu sentiasa 100%.

Tahniah kepada Guru Besar, GPK, guru dan staf sokongan. Saya yakin sekolah ini akan terus maju.

Saya berpeluang bergambar dengan semua guru.




Tuesday, May 18, 2010

Road Show PPD

Hari ini kami pergi ke SMK Dato'Mahmud Mat. 65 orang guru menunggu rombongan kami. Mulanya pengetua, Tuan Haji Aidun menyampaikan ucapan aluan. Beliau memberitahu bahawa buku Kawalan Kelas telahpun diamalkan, katanya 90% masalah ponteng kelas dapat diatasi. Banyak lagi pembaharuan dilaksanakan.



Saya menyampaikan ucapan berkisar kepada merealisasikan pendidikan yang berkualiti. Ini adalah selari dengan pesanan TPM serta kehendak NKRA dan PIPP. Saya menghuraikan peranan pemimpin sekolah dan tindakan guru. Berikut adalah kandungan ceramah saya.


Monday, May 17, 2010

Hari Guru dan Seminar Tingkatan Enam

Lima hari tidak jenguk Pekan, terasa sangat rindu. Tempoh itu saya terlibat dengan perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Kuantan. Banyak sekali pelajaran dan pesanan yang saya dapat tangkap. Dari ucapan TPM hinggalah hujah ahli panel forum Hari Guru di Shahputera. Seronok betul dapat jumpa rakan guru yang telah lama bersara antaranya ialah Tuan Haji Shahruddin bin Shamsudin. Saya jumpa di masjid negeri selepas majlis solat hajat. Kami berbual panjang.

Kesimpulan yang saya dapat dan tekadkan ialah mahu ikut serta menjayakan agenda pendidikan yang berkuali. Ertinya saya perlu gembelingkan tenaga bergerak dalam pasukan yang besar. Kerja seorang PPD ialah mempengaruhi pemimpin sekolah dan mengajak mereka bekerja. Itulah yang saya mahu teruskan.

Saya terus menghubungi cikgu Hassan Mutalib, nak dapatkan laporan lisan tentang Seminar Tingkatan Enam daerah Pekan yang berjalan dari 13 hingga 15 Mei di SMK Ahmad. Saya minta Nordin mewakili saya memantau perjalanan seminar itu. Dulu guru SMKTA yang anjurkan seminar, kini guru SMK Ahmad pula. Tahniah dan terima kasih cikgu. Kita mahu keempat-empat sekolah di Pekan akan dapat top four Pahang dalam STPM tahun 2010 ini.

Saya terima banyak sekali SMS ucap selamat Hari Guru. Antara yang menyentuh hati kecil saya seperti berikut;


  1. "Kepalang menjadi guru, sebutir pasir dijadikan intan, seketul batu dijadikan berlian, sekelas murid dijadikan insan, seikhlas janji tetap ditunaikan. Kerana mu Tuhan bekorban.. semuga menjadi guru cemerlang". Selamat hari guru 2010. .... 01xx8vv121

  2. Assalamualaikum, selamat hari guru. Cikgu ikhlas murid jelas, cikgu culas murid malas, cikgu garang murid berang, cikgu baik murid sayang, cikgu temberang murid tembelang, cikgu kreatif murid kritis. Cikgu sejati umpama lampu niun bersinar dan menyinar. TERIMA KASIH CIKGU. .... Ustaz Aziz

  3. Apa erti sebenar CIKGU? C: Cantik budinya. I: Inovatif. K: Kreatif G: Garang semangatnya. U: Unggul ilmunya.. Selamat Hari Guru cikgu. Guru pembina negara bangsa. Terima kasih cikgu .... 012958bj29

  4. Bad TEACHER complains, Good TEACHER explains, Better TEACHER demondtrates, Great TEACHER inspires... HAPPY TEACHER'S DAY .... Mokhtar ABS

Pagi ini, sewaktu sampai di pejabat saya terus diiring masuk ke dewan seminar. Semua pegawai dan staf sedang menunggu saya. Rupa-rupanya staf sokongan telah merancang untuk merainkan kami, mereka mengadakan majlis hari guru. Hebat juga. Hamdan baca sajak, ada kumpulan berbalas pantun. Waktu makan, Yusuf pula menyanyi. Inilah kali pertama saya dalam masa tiga tahun saya mengikuti perayaan hari guru di pejabat. Tahniah kepada staf yang sibuk menjayakan majlis ini. Akhir sekali kami makan ramai-ramai. Selepas jam 5.30ptg saya tumpang semangkuk, dapat menyanyi ikut karaoke. Meriah juga hari guru tahun depan.

Thursday, May 13, 2010

Keputusan ujian pengesanan UPSR 45.1% sahaja

Saya meneliti keputusan ujian terkini murid darjah enam, mengerunkan masih rendah iaitu hanya 45.1% sahaja. Sains dan Matematik parah, lulus tidak sampai 60%. Peratus cemerlang Sains sangat rendah. Sementara peratus cemerlang BI nampak ada kemajuan iaitu 7.4%, mungkin ada tanda keberkesanan Program A English yang telah dijalankan bulan Mac dan April lepas.

Saya ada meninjau pandangan guru mengapa kelulusan Sains sangat rendah? Ramai yang memberi alasan murid lupa pelajaran darjah empat dan lima.

Saya memanggil pemikir-pemikir di PPD. Kami berbincang dan mengambil keputusan yang strategik. Berdasarkan data markah dan rekod pencapaian UPSR yang lalu, kami memilih 10% iaitu 220 orang murid untuk mengikuti Kem Ulangkaji Sains dalam masa cuti nanti. Zailani, Nordin, Seha dan Norosda sibuk menyediakan kertas kerja. Kami akan menggunakan khidmat 24 orang pelajar tingkatan empat yang cemerlang dari SBPI dan SMK Seri Pekan. Murid akan dibekalkan buku ulangkaji Sains darjah 4 dan 5.

Ok, pendidik Pekan, jangan berhenti mencari jalan memajukan pendidikan anak-anak kita. Terima kasih.

Sunday, May 9, 2010

Kursus Physical and Brain Chellenge di Bukit Pelindung

8.30-12.00th, 9 Mei 2010
Kami berkumpul seramai 17 orang (14 orang pegawai PPD dan 3 orang guru) untuk memulakan pendakian. Kami mendaki beramai-ramai, sambil melangkah kami berbual-bual dan bertegur sapa dengan pendaki yang telah turun. Hari ini ramai rakan pendaki dari pasukan Wataniah dan Bomba berlumba-lumba turun. Ini kali keempat saya mendaki BP. Saya mula serasi, tidak terlalu penat tetapi peluh keluar hingga basah baju.
Kami bergambar di puncak.




"Seronoknya belajar di luar kelas ye, kalau masa sekolah dulu cikgu buat macam ni mesti kita dapat semua A+."






Selepas itu saya menerangkan maksud kursus physical and brain chellenge hari ini. Seterusnya Asrul mengedarkan kertas aktiviti. Ada 9 aktiviti, saya membimbing mereka mencari jawapan. Sungguh meriah, semua peserta berbincang mencari jawapan. Selepas 30minit, kami berjalan turun sambil berbincang mencari jawapan.




"Ngapa buat soalan susah amat ni, tak apa aku cuba hingga betul semua, aku anak pahlawan!"




Kursus hari ini mencakup aspek fizikal, aspek intelek dan aspek nilai/moral. Paling penting kami semakin akrab dalam satu pasukan.





"Mari kita bincanglah, tak tahan rasa nak pecah kepala fikir seorang. Pakar mana yang buat soalan macam ni? Sedap juga belajar tepi jalan ye."




Peserta kursus sila beri komen. Ini zaman ICT, komen terus dalam ruangan ini. Terima kasih.

Thursday, May 6, 2010

Kejohanan Taekwondo (WTF) Remaja Koryo Daerah Pekan Ke- 1




Kejohanan Taekwondo (WTF) Remaja Koryo Daerah Pekan Ke- 1 /2010 telah dilangsungkan pada 2 may 2010 di Dewan Seroja, Majlis Daerah Pekan. Pertandingan disertai oleh pelajar-pelajar dari 25 buah sekolah rendah dan sekolah menengah dari Daerah Pekan. Selain itu terdapat juga penyertaan dari pelajar luar Daerah Pekan seperti dari Jengka, Temerloh dan Jerantut.






Wednesday, May 5, 2010

Langkah meningkatkan kualiti hasil kerja pemimpin sekolah dan guru

Bagaimana mahu mempastikan guru memeriksa hasil kerja murid dengan teliti dan murid membuat pembetulan?
  1. Pengetua/Guru Besar mesti mengadakan jadual pemeriksaan buku latihan/ buku kerja/ buku laporan makmal.





Tuesday, May 4, 2010

Beri motivasi 30 minit kepada murid SK Chini Timur 1 dan SK Chini Timur 2

12.15th, 4 Mei 2010

Selepas mesyuarat dengan JPA di Felda Chini Timur 3, cikgu Radzi (GB SK Chini Timur 2) beritahu bahawa murid darjah enam dia dan murid SK Chini Timur 1 seramai 132 orang sedang mengikuti kursus motivasi anjuran Felda. Beliau mempelawa saya untuk hadir. Saya terus setuju tetapi mahu bercakap 30 minit kepada murid.

Saya bercakap jual Prinsip JSB bermaksud jawab sampai betul. Untuk mencapai JSB termakna kita mesti teliti dan buangkan sikap lebih kurang. Untuk mencapai JSB kita mesti buat pembetulan. Untuk mempastikan pembetulan itu betul, kita mesti berani bertanya guru, berbincang dengan kawan atau merujuk kepada buku. Guru mesti semak kerja pelajar dengan pantas, suruh murid buat pembetulan.

Akhir sekali sewaktu makan. saya minta cikgu Mohd Zain dan cikgu Radzi terus ulas Prinsip JSB kepada murid masing-masing. Saya juga menanyakan program bacaan waktu pagi? Kedua-dua mereka mengatakan ada melaksanakan program DEAR itu. Saya minta mereka hantar laporan kepada PPD melalui e-mail yahya104@gmail.com .

Bukannya susah untuk mencapai kecemerlangan, GB, guru dan murid jalankan tugas masing-masing bersungguh-sungguh dan teliti.

Saya lihat persediaan dan kesepakatan SK Chini Timur 1 dan SK Chini Timur 2 patut dijadikan contoh.

Monday, May 3, 2010

Dapat Semangat Baru Sewaktu Mendaki Bukit Pelindung

2 Mei, 8.45pagi.

Latihan pagi ini secara sendiri-sendiri. Hj Ramli dan Ahmad bersama keluarga telah memanjat awal. Saya memulakan langkah sendirian. Tiba-tiba seorang pendaki memberi salam kepada saya, beliau bersama anak-anaknya, suaminya cikgu Sakri naik basikal. Seorang daripada anaknya baru darjah lima, kelihatan sangat cergas sambil membawa kamera besar. Rupanya itulah budak SK Seri Biram yang telah berjaya mendaki Gunung Kinabalu pada bulan Mac yang lalu. Ibunya bernama Rosmah mengajar di SK Pasir Panjang. Rupanya ramai orang Pekan yang meminati Bukit Pelindung. Saya sempat bergambar dengan adik Nor Aziman. Sambil mendaki kami berbual, tetapi saya rasa tercungap-cungap bersaing mengikut rentak keluarga cikgu Rosmah.

Tak sangka berselisih dengan cikgu Faudzi (GB SK Beserah), dia adalah peminat Bukit Pelindung. Sampai separuh jalan berjumpa pula dengan cikgu Ahmat (GB SK Sg Soi) sedang menunggang basikal menurun bukit. Seperti dihajati, saya bertemu Pakcik Kaki Ayam, kami saling bertegur sapa. Saya tidak melepaskan peluang berkenalan, namanya Wong kelihatan sangat gagah walaupun telah menjangkau 65 tahun. Adik Aziman merakam gambar kami berdua. Saya bersemangat bila berselisih dengan orang warga emas yang kelihatan bersungguh-sungguh.

Saya sempat melihat tong sampah, memang semuanya bersih. Memang pihak JHP telah mengutipnya, terima kasih. Saya harap peminat Bukit Pelindung sama-sama jaga kebersihan.
Bila sampai di puncak berjumpa pula dengan sekumpulan pelajar UIAM. Kumpulan ini memang kaki memanjat bukit. Mereka telah berjaya mendaki Gunung Tahan. Kami bergambar lagi.
Sewaktu turun berjumpa dengan Pak Alang (SKM Datok Mahmud Mat). Kami turun sambil berbual. Kali ini berselisih dengan seorang pendaki tua yang unik. Beliau mendaki sambil menatap buku. Beliau buat dua kerja dalam satu masa. Hebat betul pakcik ini. Seketika selepas itu bertemu pula dengan pendaki vetren, kami berbual-bual. Beliau ialah cikgu Tan telah berumur 70 tahun. Beliau pernah mengajar Pak Alang di SK Ubai. Cikgu Tan naik BP ini hampir setiap hari. Mukanya kelihatan senyum aja, tidak seperti saya yang kelihatan sangat letih. Cikgu Tan kata ini adalah pendakian kali kedua pagi ini. Saya jadikan mereka penguat semangat saya.

Sewaktu membelok keluar, saya berselisih dengan Nordin bersama kelurganya. Beliau mahu mendaki bersama dua orang anaknya Syamimi dan Adriana.

Sungguh seronok, jumpa ramai kawan lama dan kenalan baru. Kami dapat bertegur sapa dengan pendaki lain. Ini adalah tempat yang baik bertegur sapa dengan pendaki dari berbagai kaum. Elok benar tempat ini dipelihara. Cadangan kursus Physical & Brain Challenge ditangguhkan kepada 9 Mei (Ahad depan). BP adalah tempat kita membina kekuatan semangat dan fizikal. Di sini juga kita akan berjumpa ramai kenalan baru. Jumpa lagi 9 Mei 2010.

Apakah relevenya cerita mendaki bukit ini dengan usaha memajukan pendidikan daerah Pekan? Saya bukakan persoalan ini untuk difikirkan bersama, apakah komen anda?

Friday, April 30, 2010

SMK Dato'Mahmud Mat

Beberapa minggu yang lalu hingga pagi ini saya banyak memberi perhatian kepada SMK Dato' Mahmud Mat (kami panggil Sekolah Datok). Semua tahu Sekolah Datok tiba-tiba sahaja heboh seluruh pelusuk, berita hangat dalam akhbar. Akhirnya selepas berbalah kerana anak, semua kembali reda, beberapa masalah berjaya diselesaikan. Saya mengucapkan terima kasih banyak kepada Tuan Yahaya Othman, Ketua Polis Daerah Pekan yang turut sama mendamaikan ibubapa dan murid-murid. Sebenarnya peristiwa itu ada hikmahnya. Saya ditanya oleh pemberita apakah tindakan PPD terhadap Sekolah Datok? Jawapan saya mudah sahaja. Saya mahu pihak pengurusan sekolah mengemaskan lagi pengurusan hal ehwal murid dan memantapkan urusan pengajaran dan pembelajaran. Ini merupakan janji PPD, mesti buat tindak ikut segera.

Tindakan pertama:
Saya telah mendapatkan contoh buku kawalan kelas daripada SMK Ahmad Pekan, SMK Abu Bakar Temerloh(ABS) dan SMK Air Putih Kuantan. Saya berikan kepada encik Mohd Amin, GPK HEM untuk rujukan. Saya percaya mereka telah nampak contoh yang patut diikuti. Pihak sekolah menerima baik dan telah mula melaksanakan ke semua kelas. Saya akan pantau lagi dua minggu lagi. Menurut encik Chim Siew Wai, penggunaan buku ini sangat berkesan, semua pihak telah beri kerjasama. Terima kasih encik Chim. Buku ABS pula saya daripada cikgu Sokeh (GPK Koko) dan cikgu Azhar. Cikgu ABS sentiasa beri kerjasama kepada saya. Lihat contoh yang baik lebih mudah meyakinkan dan boleh ikut terus. Saya harap pihak sekolah bertindak segera!

Tindakan kedua:
Pada hari Selasa, 27 April 2010, pasukan PPD Pekan seramai 13 orang ahli melakukan pemantauan ke sekolah ini. Saya menghuraikan analisis audit akademik. Aspek yang saya bahaskan ialah pemeriksaan buku latihan murid oleh guru dan semakan pentadbir terhadap buku latihan murid (semakan pentadbir bertujuan untuk melihat/mengawal hasil kerja guru). Analisis yang disampaikan berdasarkan dapatan yang dikemukan pada 20 April 2010 yang lalu yang bertajuk Punca Defisit Pembelajaran. Saya menggunakan kaedah rajah ranting dan kiraan seperti berikut;





Sebelum pulang saya hadiahkan sebuah buku Watak Pendidik kepada Tuan Haji Aidun. Mungkin boleh ambil idea dalam buku ini untuk mempengaruhi guru.



Thursday, April 29, 2010

Pekan Johan tilawah L12, Johan Bola Jaring P15, Johan Bola Sepak L12 dan Kriket L12,L18

Hujung minggu lepas saya rasa sedih kerana keupayaan Pekan dalam balapan dan padang (lebih senang panggil olahraga) masih di belakang tetapi sabtu lepas dan sepanjang minggu ini peserta tilawah, pasukan bola jaring, bola sepak dan kriket menyinar.

Pesarta Pekan dalam tilawah peringkat negeri Pahang banyak mencapai kejayaan. Qari L12 (dari SK Seri Maulana) berjaya menjadi johan. Tahniah!

Pasukan bola jaring P15 berlawan di Bentong dapat johan, tahniah. Pada mulanya PPD tak mahu hantar sebab kosnya tinggi, lagipun rekod lalu pasukan Pekan selalu pulang awal. Encik Kamaludin dan anak buahnya berjaya dapatkan bas, dapatlah pasukan Pekan bersaing di Bentong. Ini adalah rekod baru bagi daerah Pekan, tahniah kepada semua yang terlibat.

Pasukan kriket Pekan memang handal, sukar ditumbangkan. Paling manis, ramai budak SK Inderashah Bandar, Kuala Pahang mewakili pasukan L12 Pekan. Kriket Pekan selalunya berada pada top three peringkat Kebangsaan. Kita mesti jaga kedudukan itu, kalau boleh lagi bagus tahun ini.

Pagi tadi, pasukan bola sepak L12 bermain di Rompin berjaya merebut gelaran johan, mengalahkan lawan 6-1. Tahiah! Pasukan L15 pula dapat naib johan, tujuh orang daripada pemainnya daripada SMK Dato' Mahmmud Mat. Tahniah!

Kejayaan dalam permainan dan kokurikulum ini adalah teras kepada perjuangan Pendidikan Pekan Melangkah Maju.

Sunday, April 25, 2010

Mendaki Bukit Pelindung bersama rakan sepejabat sebagai persediaan mendaki Gunung Kinabalu

25 April 2010, 9.00 pagi.
Saya bersama Zulkifli, Ahmad, Syed, Hamzah dan ramai lagi ahli keluarga Zul dan Ahmad mula mendaki. Jalan agak licin baru lepas hujan. Tidak ramai peminat yang mendaki pagi ini tetapi Pakcik yang berkaki ayam itu tetap gigih. Kami berselisih dengan beliau, saya memberi ucapan "Selamat Pagi" kepada Pakcik Kaki Ayam itu ( nanti minggu depan saya tanya nama sebenarnya). Maaf minggu lepas saya dan rakan-rakan tak jadi naik sebab hujan.
Pada peringkat awal saya rasa tersangat sukar untuk melangkah naik, rasa peha kaku tetapi semangat sahaja yang mendorong. Selepas 200 meter baru rasa stabil. Sambil berjalan kami berbual-bual. Berbual sambil berjalan dapat mengurangkan rasa letih.


Di kanan, saya dan Ahmad. Kami di puncak. Belakang nampak pemandangan bandar Kuantan.


Dua minggu lepas saya ada hantar komen dalam Laman Web Jabatan Hutan yang menjaga Bukit Pelindung ini. Saya beritahu fasal sampah dalam bekas telah melimpah. Sampah itu kelihatan usang, nampak telah lama tidak diselenggara. Pihak JH dengan pantas dalam masa 15 minit menghantar e-mail kepada saya, mengatakan akan menyiasat. Saya berasa sangat gembira kerana teguran saya diberi perhatian. Pagi ini saya berasa lebih seronok kerana semua semua sampah lama dalam semua tong telah dikutip. Malah tong telah dipasang plastik hitam. Terima kasih dan Tahniah Jabatan Hutan. Nampak dua tong telah penuh dengan sampah baru. Sampah itu kebanyakannya ialah bekas makanan, plastik air dan botol plastik. Saya nampak masih ada botol dan plastik disepahkan di tepi jalan. Di sini saya menyeru peminat Bukit Pelindung yang berkenaan sila gunakan tong sampah yang disediakan. Mari kita sama-sama jaga kebersihan dan menghargai keindahan Bukit Pelindung.

Bila bercakap fasal latihan fizikal dan ketahanan mental, saya teringatkan prestasi buruk pasukan MSSD Pekan dalam Kejohanan Balapan dan Padang MSSP 2010 minggu lepas di Temerloh. Pencapaian Pekan merosot, hanya dapat 1 emas, 3 perak dan 3 gangsa. Ramai guru mengatakan peserta dari Bukit Jalil dan Bandar Penawar sangat handal. Itulah alasan orang kalah. Sebenarnya yang menang emas lebih ramai budak sekolah biasa (bukan dari BJ dan BP). Lagi sekali kita kena lihat bagaimana sekolah biasa mampu melahirkan budak yang handal. Ramai pelajar mereka berjaya dapat pingat emas, perak dan gangsa. Cuba dapatkan rahsia SMK Jengka 16, SMK St Thomas dan mana lagi? Pokoknya terletak pada latihan yang berterusan. Pekan masih tercicir, dalam kerangka Pendidikan Pekan Melangkah Maju, kita mesti cari jalan bagimana boleh melonjakkan martabat sukan Pekan? Mari fikir dan bertindak bersama-sama.

Balik semula fasal mendaki Bukit Pelindung. Ahad depan ini 2 Mei 2010, pasukan PPD Pekan akan mendaki lagi tetapi ada kelainan sikit sewaktu turun. Kami rancang mahu melaksanakan aktiviti "Brain Training" di empat tempat rehat. Ok, fikir sudah dan sokongan ada. Saya mahu pastikan apa yang difikir itu dilakukan dengan teliti dan bersungguh-sungguh( pesananan PM). Jumpa lagi di kaki Bukit Pelindung pada 2 Mei 2010, jam 9 pagi.


Kami bergambar setelah kembali di kaki bukit. Dari kanan: Ahmad (baju merah), Syed, saya , Zulkifli dan Hamzah. Adik dalam kereta itu juga berjaya mendaki sampai ke puncak.

Friday, April 23, 2010

Ziarah Guru Besar baru

23 April 2010, 11.25pagi.

06 SK Serandu

Guru Besar baru dah bertugas hampir sebulan tetapi saya masih belum jumpa, beliau ialah ustaz Shafie. Sebelum ini GB di SK Kuala Penor. Sayang tak dapat jumpa sebab GB ada tugas di sekolah lamanya. Saya dilayan oleh GPK. Saya dibawa menjenguk bilik PSS. Habis semua dokumen saya lihat. Memang kemas dan lengkap. Tinggal lagi rekod penggunaan PSS hanya beberapa kali sahaja direkodkan. Saya nasihatkan GPK agar mengingatkan guru menulis dalam buku rekod penggunaan PSS, ini adalah penyumbang kepada taraf empat bintang. Saya mahu sekolah kekalkan tahap empat bintang itu. Saya melihat satu contoh buku NILAM seorang murid, memang banyak buku yang dibacanya. Tahniah!

Saya bertanya GPK adakah sekolah melaksanakan program DEAR pada waktu pagi? GPK dengan pantas mengatakan ada malah ada buat inovasi. Hebat betul. Saya minta laporan bergambar dan hantar guna email yahya104@gmail.com.

Selepas itu saya memeriksa fail guru ganti dan buku kedatangan. Terurus dengan baik.

Saya tanya ada budak darjah enam tak pandai membaca?
GPK kata tiada.
Akhir sekali saya minta GPK terangkan keputusan P1.
Saya lihat pencapaian yang terbaik di kalangan enam buah sekolah yang telah dilawati dalam siri lawatan mengejut fasa dua ke sekolah.
Sebelum keluar sekolah, GB pula memberi salam. Kami berbual-bual. Saya tidak tanya soalan yang berat. Soalan saya mudah sahaja.
"Apakah beza antara sekolah lama dengan sekolah sekarang?"
Termenung sekejap ustaz Shafie, saya tahu dia tidak mahu menyinggung perasaan kami dan agaknya mahu mencari jawapan yang terbaik.
"TOV sekolah ini lebih baik dari sekolah lama saya."
Saya menambah, "Awak dapat kebun durian yang cantik dan jenis baka baik."
Saya lihat GPK tersenyum dan GB menganggukkan kepala.

Itulah rakaman lawatan selama 30 minit ke SK Serandu

Monday, April 19, 2010

Punca Defisit Pembelajaran

Ini adalah satu isu paling penting untuk renungan kita sebagai pemimpin pendidikan dan guru.

Saya menerima satu salinan laporan audit akademik JPNP. Laporan lawatan 21 orang pegawai ke sebuah sekolah besar di daerah yang jauh dari daerah Pekan. Saya baca dari mula hingga akhir. Sekolah ini mengalami kemerosotan dalam peperiksaan awam. Itulah sebabnya diserang.
Saya harian mengapa PPD Pekan sahaja yang terima salinan laporan itu? Bagus juga, boleh saya buat analisis. Hasil cerkainan saya adalah seperti berikut;
  1. Daripada 16 pemerhatian terhadap semakan buku latihan, pentadbir hanya menyemak DUA kelas sahaja. Selebihnya sebanyak EMPAT BELAS kelas tiada bukti semakan oleh pentadbir. Pengetua/ Guru Besar daerah Pekan ambil iktibar perkara ini. Jika masih belum ada tindakan, mesti berubah, lakukan segera. Buat jadual dan beri tugas ini kepada GPK juga.
  2. Daripada 16 pemerhatian terhadap pemeriksaan buku latihan oleh guru mata pelajaran, hanya EMPAT orang guru sahaja yang memeriksa secara teliti termasuk memberi komen dan pembetulan. Selebihnya DUA BELAS lagi memeriksa secara tidak teliti. Pengetua/ Guru Besar daerah Pekan sila ingatkan guru/ nasihatkan guru agar memeriksa dengan teliti, pastikan guru menerap sikap buat pembetulan bagi jawapan yang salah. Kita pendidik Pekan mesti peka kepada nasihat PM kita, "Elakkan kerja lebih kurang, lakukan kerja dengan teliti." Hayati nasihat ini.
  3. Pemantau mendapati Buku Kawalan Kelas tidak direkodkan secara konsisten. Pentadbir di juga tidak pernah menyemak. Pengetua/ Guru Besar daerah Pekan sila tengok buku itu di sekolah anda, ada? tiada? tidak disemak? Jika masih belum memuaskan sila beri perhatian yang utama.

Jika kita boleh laksanakan tiga tugas ini secara berkesan dan berterusan, kita boleh mengelakkan defisit pembelajaran anak didik kita. Malah sekolah kita akan maju. Bukan susah sangat.