Sunday, June 27, 2010

LAPORAN PROGRAM ZOOM-A & PEKAN DIGITAL

LAPORAN PROGRAM PEMBELAJARAN INTERAKTIF MELALUI INTERNET - ZOOM.A.

TARIKH : 26 JUN 2010.
TEMPAT : DATARAN MAJLIS DAERAH PEKAN.
MASA : 8.00 PAGI – 12.30 TENGAHARI

8.00 PG.
- Pendaftaran murid dan guru.
- Seramai 110 orang murid Tahun 6 terlibat .( 8 buah sekolah )
- Fasilitator dari SMK Seri Pekan seramai 8 orang dengan seorang guru pengiring.
- Guru dan guru besar seramai 44 orang hadir bagi menjayakan program ini.
8.30 – 10.30 PG
- Murid memulakan aktiviti dengan mengakses menggunakan wireless TARB.
- Ada beberapa buah komputer yang agak sukar untuk mengakses menggunakannya telah menggunakan broadband.
- Pada mulanya murid agak keliru tetapi ia hanya sementara dan apabila telah dapat memasuki laman web zoom.a ia bertukar menjadi satu keseronokan.
10.30 – 10.50 PG
- Rehat.
- Murid, guru, Guru Besar beserta pegawai dari PPD Pekan telah menikmati Nasi Lemak dengan santainya di dataran tersebut. Suasana ini sangat jelas dapat dilihat seperti satu program Rehat Minda kerana tiada tekanan dari segi masa.
10.50 PG
- En.Sulhi dari SK.Tanjung Medang telah memaklumkan kepada murid tentang soalan ujian yang perlu dijawab oleh murid dalam masa 1 jam 15 minit merangkumi bahagian A dan B.
12.15 TGH
- acara penutup.
- Ucapan Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, En. Yahya.bin Zainal Abidin.
· program ini adalah untuk mengabungkan teknologi yang ada di Pekan ini dengan Program zoom.a.
· mengucapkan terima kasih di atas komitmen semua, mengharapkan anak-anak murid ini akan berjaya dan jika ada kelapangan boleh hadir di dataran ini menggunakan kemudahan digital yang ada.
· Harapan semoga program ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
- PPD menyampaikan hadiah kepada 15 pelajar yang berjaya mendapat markah tertinggi untuk ujian yang telah dijalankan tadi.
- Majlis berakhir pada pukul 12.30 tengahari.


Laporan penuh akan menyusul kemudian.
Terima kasih.

Jawatankuasa Laporan.
S.K. TEMAI,PEKAN.

Friday, June 25, 2010

Gerak Gempur Zoom-A dan Pekan Digital



Budak SK Padang Rumbia dan SK Temai sedang ralit mencari jawapan Sains Zoom A. Jika dapat peluang macam ini, mereka pasti maju. Di belakang Encik Zainal GB SK Padang Rumbia turut memerhati.

Hari ini, 26 Jun, benar-benar terjadi seperti yang dirancang. Tahniah!

9 Jun lalu saya ada beritahu rancangan ini. Isnin 21 Jun adakan mesyuarat, Nordin pengerusikan mesyuarat di PKG. Hari ini mulai 8.30pagi hingga 12.30th betul-betul terjadi seperti yang dirancangkan. Seramai 159 orang (murid, GB, GPK, guru sains, fasilitatorSMK Seri Pekan) terlibat. Kami berkumpul di Dataran Pekan. Sekolah yang terlibat ialah SK Ahmad, SK Seri Biram, SK Seri Terentang, SK T Medang, SK Seri Maulana, SK Acheh, SK Temai dan SK Padang Rumbia. Pegawai PPD yang menguruskannya ialah Budin, Nordin dan Rosda. Pegawai PKG encik Rozman ikut sekali memainkan peranan. Seramai 19 orang GB diketuai Encik Abdullah Pengerusi MGB dan GB dari kelompok Bandar, Peramu dan Pantai hadir.
Murid sedang mengakses program Sains Zoom A, guru turut membantu dan pegawai PPD sedang memantau. Semua orang seronok melaksanakan tugas masing-masing.

Murid kata seronok belajar cara santai seperti ini.

Terima kasih cikgu, MGB Pekan, Majlis Daerah Pekan (guna tempat) dan PDRM (kawalan trfik dan keselamatan).

Jika kita berpadu tenaga,
semua yang dirancang pasti menjadi!

Wednesday, June 23, 2010

Lahirkan ramai Guru Cemerlang di daerah Pekan

Puas juga memikirkan bagaimana nak majukan pendidikan di daerah ini? Selepas merenung dapat idea galakkan ramai guru mohon GC. Masih banyak sekolah belum ada walau seorang pun GC. GC boleh dijadikan pemangkin. Minggu depan akan panggil pemikir handal Pekan untuk merangka pelan tindakan.

Sunday, June 20, 2010

GURU YANG DISUKAI MURID

Seorang Pengetua sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak telah membuat kajian terhadap murid-murid beliau mengenai guru yang mereka sukai.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid suka kepada guru-guru yang menepati masa, komited terhadap tugas dan kecindan (suka berjenaka).

Dapatan kajian beliau menunjukkan murid suka kepada guru yang menetapi masa iaitu masuk kelas tepat pada waktunya dan keluar (menghabiskan sesi pengajaran) kelas juga tepat pada waktunya. Ini menunjukkan bahawa warga guru perlu memberikan penekanan kepada aspek pengurusan masa yang cekap dan berkesan.

Guru yang menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka adalah merupakan guru yang disanjungi oleh murid. Warga guru perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas masing-masing. Guru perlu melakukan sesuatu tugas dengan bersungguh-sungguh supaya mereka dicontohi oleh murid. Dalam satu kajian lain, dapatan kajian menunjukkan ramai kalangan guru mengamalkan kaedah pengajaran dengan meniru apa yang telah dilakukan oleh guru mereka terdahulu. Ini bermakna sekiranya kita mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan, maka anak didik kita sentiasa memerhati dan memberikan keutamaan sehinggakan sekiranya mereka menjadi guru kelak, apa yang kita lakukan terhadap mereka hari ini akan menjadi ikutan mereka kelak. Konsep 'Bapak Borek, Anak Rintik' berlaku disini. Kalau cikgu borek, maka anak muridnya akan menjadi rintik?Aspek yang tidak kurang penting ialah guru yang pandai berjenaka.

Amalan jenaka atau kecindan akan membantu mengurangkan jurang pemisah komunikasi antara guru dan murid. Gelak tawa semasa berinteraksi antara guru dengan murid akan menjadikan hubungan guru-murid lebih mesra dan erat. Ingatlah wahai para guru, anak murid kita sentiasa memerlukan 'kawan' dalam kehidupan sosial mereka dalam persekitaran sekolah. Selain daripada rakan sekelas, atau sekolah, guru adalah merupakan kawan yang boleh mereka kongsi cerita dan jenaka yang bukan semata-mata berunsurkan akademik.

Dipetik daripada
http://deriakacamata.blogspot.com

Saturday, June 19, 2010

Adakah kita mahu melahirkan anak anak luar bandar cemerlang dalam pendidikan?

Sudah lama saya simpan hasrat ini. Tidak boleh disimpan lagi dalam kepala ini, mesti dihamburkan. Hari ini mahu curahkan untuk tatapan rakan guru dan ibu bapa di daerah Pekan.

Kita sentiasa mahu 5A UPSR, 9A PMR, 11A SPM dan 5A STPM. Memang itu hasrat dan cita-cita kita. Kita mahu anak didik kita cemerlang, maka kita bekerjalah berhempas pulas. Ibu bapa juga bersungguh-sungguh. Pemimpin kita terutama YAB Dato' Seri Najib ikut serta memberi sokongan penuh. Kita bekerja setiap tahun mengejarnya. Pada saya ini adalah satu misi yang mesti kita laksanakan. Ini sebenarnya satu matlamat jangka pendek.

Usaha melahirkan generasi yang cemerlang dalam pendidikan adalah satu matlamat jangka panjang. Saya mahu merujuk kepada pandangan dan tiru idea-idea besar seperti berikut;

  1. Fellow Penyelidikan Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Syed Hussein Alatas yang diinterviu oleh Utusan Malaysia pada 20 Mei 2001. (Kupasan penuh boleh rujuk kepada tajuk Budaya Malas Membaca Buku dalam internet ini.
  2. Polisi Presiden Wilson, Presiden USA sekita tahun 1820an (Kupasan penuh rujuk Sejarah Pembinaan Negara Bangsa Amarika atau catatan ringkas dari buku Watak Pendidik hasil tulisan saya m/s 144 hingga 146) tentang budaya membaca, menulis dan mencipta.
  3. Polisi presiden Presiden Park Chung Hee membangun semula Korea Selatan yang hancur dan papa selepas perang dengan Jepun(Kupasan penuh boleh rujuk buku Negara Asia Timur; Mengapa Pendapatan Perkapita Berbeza - Ishihara atau catatan ringkas dari buku Watak Pendidik hasil tulisan saya m/s 142 hingga 144).

Saya rumuskan begini;

  1. Kita mesti belajar dari Sejarah (walaupun saya hanya belajar Sejarah hingga tingkatan tiga sahaja tetapi saya suka baca buku bercorak sejarah dan perjuangan membangunkan negara selepas disarankan oleh Tun Mahathir).
  2. Guru dan ibu bapa mesti ada kesedaran yang mendalam tentang budaya membaca.
  3. Anak mengikut atau meniru apa yang kita lakukan.
  4. Melentur buluh mesti dari rebung.
  5. Aktiviti membaca yang berterusan.
  6. Sanggup terlibat dalam aktiviti membaca.
  7. Sanggup berbelanja untuk aktiviti membaca misalnya membeli buku.

Bukan susah sangat untuk melakukannya, yang penting mesti ada tindakan yang berterusan bertahun-tahun. USA sewaktu pimpinan presiden Wilson mengambil masa 20 tahun. Korea Selatan sewaktu pemerintahan presiden Pack CH (walaupun kuku besi tetapi ada hasilnya) memakan masa 15 tahun. Mesti ada sikap sabar dan percaya apa yang kita buat itu akan mendapat hasil kemudian hari (ini bukan kerja tanam ubi kayu, empat bulan boleh cabut).

Sebenarnya kita sudah memulakannya sejak awal tahun 2010. Contoh PSS 4 bintang dan program DEAR. Saya perhatikan kebanyakan (semua ke?) sekolah di daerah Pekan sedang berjuang melaksanakannya. Jika ada yang belum bermakna anda telah ketinggalan.

Yang belum dilakukan ialah mengajak ibu bapa turut serta. Walau bagaimanapun, ibu bapa yang ada kesedaran sentiasa memupuk semangat sukakan buku ini. Ibu bapa di Kincir, Belimbing, Kuala Pahang, Bebar, Nenasi, Serandu, Serambi, Temai, Padang Rumbia, Mambang, Paloh Hinai, Runchang dan Lepar bagaimana agaknya?

Saya akan berbicara lagi fasal perkara penting ini. Anda dipersilakan beri komen.

Friday, June 18, 2010

Seorang Guru Tua

Guruku yang baik
Masih lagi mengajar
Sedang aku kini sudah besar
Dulu wajahnya muda
Kini rambut memutih kepala
Ada anak-anak muridnya kini memegang jawatan tinggi
Tidak kurang pula bergelar usahawan berjaya
Guruku yang baik
Masih di situ
Masih memandu kereta lama
Masih menuju sekolah yang sama
Tiada kelihatan jemu
Dari air mukanya tiada kedengaran bosan
Dari suara bibirnya
Dia gigih mengenggam tanggungjawab yang diamanahkan
Seorang Guru Tua
Dia masih disitu
Berdiri sebagai guru
Menabur jasa-jasa
Dialah pendidik bangsa !!!

Dipetik dari http://smeh.tripod.com
Nur Akidah Bt. Mohd Azhar

Wednesday, June 16, 2010

Memperkasa Kepimpinan Pengetua/ Guru Besar untuk menjayakan School Improvement Programs (SIP)



16 Jun 2010. Hari ini saya menghadiri Program Pengurusan Pementoran Kementerian Pelajaran Malaysia di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. YAB Tan Sri Dato'Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. TPM meminta Pengarah dan PPD melaksanakan perkara yang berikut;

1. Mendokong dan melaksanakan dasar2 kerajaan 2. melahirkan guru cemerlang kelas pertama 3. komitmen yang tinggi dalam tugas 4. bertindak secara proaktif 5. reaksi profesional 6. membetulkan kekeliruan yang timbul 7. menterjemahkan daya saing negara melalui pendidikan yang berkualiti dan modal insan 8. berfikir dan bertindak secara kreatif dan "di luar kotak".

Saya terus teringat kepada 63 orang penegtua dan guru besar di daerah Pekan. Kita adalah pemimpin di baris hadapan peringkat akar umbi yang akan menerjemahkan SIP. Saya terus mencari bahan bacaan yang boleh dijadikan panduan kepada kita untuk memperkasakan kepimpinan peringat sekolah. Saya memilih bahan dari http://kulanzsalleh.com/. Sila telitikan tulisan berikut.


CIRI-CIRI PEMIMPIN YANG BAIK

Sekiranya anda ingin menjadi pemimpin yang baik, dia hendaklah mengamalkan perkara-perkara yang diketahui, dilihat dan diterima seperti berikut:


  • Seseorang pemimpin harus bersedia untuk belajar dari siapa sekalipun apa yang dia tidak tahu kerana kepimpinan itu sesuatu yang boleh terus menerus dipelajari dari latihan dan pengalaman.

  • Seseorang pemimpin mesti berani memberi jawapan yang tegas kepada sesuatu yang difikirkan baik atau tidak baik kepada organisasinya.

  • Seseorang pemimpin yang baik berupaya memudahkan semua kerja, dengan menjadikannya kerja-kerja biasa yang boleh dilakukan oleh kebanyakkan orang bawahannya dan tidak memerlukan pakar khusus.

  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai perhubungan baik dengan orang-orang bawahannya. Dia mengenali mereka sebagai individu-individu yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Pada kebiasaannya, pemimpin yang baik jarang berkasar dengan orang-orang bawahannya.

  • Seseorang pemimpin yang baik pandai membahagikan masa. Dia tahu bila masa bertugas dan bila masa di luar tugas dan bertindak bersesuaian dengan keadaan. Pemimpin yang tidak cekap selalu merasa runsing dan bimbang dengan hal-hal tugas di mana juga dia berada.

  • Dalam sesebuah organisasi terdapat pelbagai jenis manusia: ada yang malas, ada yang rajin dan ada yang boleh diharap serta ada yang tidak boleh diharap. Seorang pemimpin yang bijak tidak lemah semangat dengan keadaan ini. Dia menerima hakikat sedemikian dan menggunakan sebaik-baiknya apa yang ada.

  • Seorang Pemimpin yang baik tahu dan mahu berbincang dengan orang-orang bawahannya mengenai sesuatu hal yang dia sendiri tidak pasti. Dia tidak hanya pandai mengeluarkan arahan saja.

  • Seorang pemimpin yang baik mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman mengenai tugas dan manusia.

  • Seorang pemimpin yang baik pandai memperkembangkan kebolehan bekerja orang bawahannya. Dia tahu mengagihkan tugas kepada mereka.

  • Seorang pemimpin yang bijak tidak sekali-kali lemah semangat dan cepat mengaku kalah apabila berdepan dengan sesuatu masalah. Kalau masalah tidak dapat diselesaikan dengan satu cara, dia menggunakan cara lain. Dia sentiasa bersikap positif.

Melalui perbincangan mengenai ciri-ciri pemimpin berkesan di atas, beberapa kesimpulan dapat dibuat. Diantaranya ialah kepimpinan ialah perlakuan seseorang yang boleh menggerakkan orang lain untuk berfikir, merasa, bertindak dengan cara-cara tertentu. Dalam hal ini seorang pemimpin harus mengetahui keperluan dan motif orang-orang yang berkerja dengannya dan harus menitikberatkan pencapaian matlamat kumpulan. Dia juga harus berjaya mengekalkan kekuatan yang ada pada kumpulannya untuk menyelesaikan masalah dan mencapai matlamat masa depan.


Seseorang pemimpin boleh menonjolkan kepimpinannya hanya melalui penglibatannya dalam kumpulan. Dalam kumpulan pula kekerapan interaksi bersama kakitangan membolehkan keberkesanan kepimpinannya. Kalau seorang pemimpin sentiasa “bersembunyi” dalam biliknya dan tidak mempunyai masa untuk berinteraksi dengan kakitangannya, maka kepimpinannya kurang berkesan.


Kepimpinan bukan bergantung sepenuhnya kepada jawatan. Status jawatan yang disandanghanya satu daripada punca potensi kepimpinan. Kejayaan kepimpinan adalah fungsi kedua-dua kuasa formal melalui jawatan dan penerimaan orang-orang bawahan secara tidak formal yang bukan kerana jawatan.


Dipetik daripada http://kulanzsalleh.com/ciri-ciri-pemimpin-yang-baik

Monday, June 14, 2010

Mendaki Bukit Pelindung dan Body Mass Index

Saya telah mendaki tidak kurang 10 kali. Sebelum ini saya banyak bercerita tentang apa yang saya nampak dan gelagat pendaki yang lain.

Kini saya mula berfikir tentang berat badan, sukatan tenaga haba yang dibebaskan dalam calori. Bila sebut berat badan, kita mesti ambil tahu Indek BMI bermaksud Body Mass Index. Tenaga yang dibebaskan adalah hasil pembakaran lemak yang terkumpul dalam badan. Saya berazam mahu turunkan Indek kepada 25 sebelum 22 Julai 2010. Ada sebabnya. Pada 25 Julai 2010 saya bersama rakan pendidik Pekan seramai 10 orang akan mendaki Gunung Kinabalu. Pengiraan BMI boleh diperolehi dengan mudah daripada BMI Calculator dalam internet. Isi sahaja maklumat tinggi dan berat, BMI Calculator akan mengira dengan pantas. BMI saya ialah 27.2, bermakna telah terlebih berat ( Over weight). Bermula dari mendaki BP, saya mula mengambil berat tentang berat badan yang unggul.

Satu persoalan seterusnya ialah berapakah berat yang harus dikurangkan? Kiraannya ialah 2.2x1.62x1.62 = 5.8 kg. Satu tugas berat untuk mengurangkan 5.8kg dalam masa 6 minggu ini. Rasa macam mustahil aja. Walau bagaimana pun saya akan memilih makanan yang sesuai calorinya dan akan terus melakukan latihan fizikal untuk membakar lemak yang berkumpul pada perut. Bila sebut over weight. Ini adalah isyarat bahaya. Boleh dikaitkan dengan meningkatnya tekanan darah, kencing manis dan jantung. Oleh itu, saya mesti mengambil langkah mencegah mulai sekarang.

Saya mengajak guru daerah Pekan mengira BMI masing-masing. Boleh rujuk kepada BMI Calculator atau kira sendiri menggunakan formula (Berat dlm kilogram)/ (Tinggi x Tinggi dlm cm). Jika melewati 25 elok dapatkan nasihat doktor perubatan.

Kita pendidik mesti dalam kaedaan sihat agar dapat menjalankan tugas dengan baik. Menjaga kesihatan diri adalah satu usaha yang mulia di sisi Agama Islam.

Wednesday, June 9, 2010

Cerita guru tidak ingat nama pelajar

Hari ini saya mahu bercakap perkara yang ringan sahaja iaitu cerita guru yang tidak ingat nama pelajarnya.

Cerita 1

Cikgu Rosnah bercerita ...

Satu hari semasa saya mengumpulkan nama pelajar rumah Temenggung untuk acara sukan tahunan, seorang pelajar datang kepada saya untuk masuk acara lompat jauh. Saya mengajar kelas itu tetapi tidak tahu nama dan kelasnya. Dengan muka selamba saya tanya pelajar itu nama dan kelasnya.
"Cikgu tak ingat nama saya?". Terpapar kekecewaan dari raut wajahnya.

Satu ketika yang lain, saya hendak membawa pelajar kelas 3 Cekal ke Makmal Sains untuk melakukan eksprimen. Malas nak naik tangga untuk memberitahu pelajar supaya turun ke makmal. Waktu rehat menengah rendah baru sahaja tamat, oleh itu saya tunggu saahaja kelibat pelajar 3 Cekal di depan bilik guru. Saya nampak seorang pelajar perempuan, tak ingat namanya, rasanya pelajar ini dari kelas 3 Cekal. Saya pun memesan padanya untuk pergi ke makmal. Pelajar itu membalas,
"Sampai hati cikgu, saya dari kelas 3 Amanahlah." Malunya aku ...

Saya bertanya rakan-rakan lain, kebanyakannya mempunyai masalah yang hampir sama, sukar nak ingat nama pelajar, tapi tidak sekritikal saya. Agaknya sayalah yang paling teruk di ABS ini. Bukan setakat tak ingat nama pelajar malah kelas mana pun saya tak ingat. Saya mesti berubah, saya tak mahu memalukan diri sendiri lagi.

Cikgu Rosnah membuat refleksi tentang dirinya terhadap muridnya. Ini adalah satu bahagian penting dalam proses mendidik. Cikgu Rosnah menyedari kelemahannya dan mahu berubah. Refleksi seperti ini adalah penting untuk memulakan satu Kajian Tindakan. Seseorang guru tahu di mana kelemahannya. Beliau mahu membaiki diri. Tahniah cikgu Rosnah.

Seterusnya cikgu Rosnah telah membuat Kajian Tindakan Mengingat Nama Pelajar kelas 3 Fitrah. Selepas bertungkus lumus selama empat minggu, akhirnya beliau berjaya mengingati semua 37 orang pelajar kelas itu.

Selepas sebulan . Apakah yang dirasai oleh cikgu Rosnah?
  1. Saya telah berjaya mengingati semua nama pelajar 3 Fitrah serta sedikit makumat peribadi mereka.
  2. Saya tidak lagi rasa tertekan apabila masuk ke kelas 3 Fitrah. Motivasi saya untuk mengajar mereka meningkat dan nampaknya motivasi pelajar juga bertambah baik.
  3. Pelajar lebih gembira berjumpa saya, sama ada di dalam atau di luar kelas sebab saya boleh membalas sapaan mereka.
  4. Kawalan kelas juga bertambah baik.

Saya berharap cikgu di daerah Pekan turut menjalankan muhasabah diri. Adakah anda tergolong seperti cikgu Rosnah? Jika ya, laksanakan langkah seperti cikgu Rosnah. Langkah ini adalah selari dengan cadangan School Improvement Programs (SIP).

Cerita 2
Permaisuri bercerita …
Saya memang suka mengingat nama pelajar. Saya memang tidak suka memanggil pelajar “oi” atau “awak” dan sebagainya. Cuma saya ada masalah untuk mengekalkan ingatan. Saya hanya boleh ingat nama mereka semasa mengajar di kelas sahaja. Apabila melihat wajah mereka di dalam kelas memang saya boleh sebut namanya tetapi bila berada di luar agak bercelaru sedikit. Saya sukar membayangkan bila disebut nama sahaja.
Peristiwa ini mungkin suatu yang menarik untuk membuktikan masalah yang saya hadapi. Pada bulan Mei lalu saya menghadiri kursus selama tiga hari di daerah ini. Pada hari kedua berkursus saya disapa oleh seorang peserta.
“Mengajar di mana?”, soalnya.
“Di ABS,” saya membalas.
“Anak saya ada belajar di sekolah itu,” balasnya kembali.
“Di tingkatan berapa?” soal saya pula.
“Tingkatan lima.” Jawabnya ringkas.
“Lima sains ke sastera?” Tanya saya lagi.
“Sains”, katanya.
“Oh, saya mengajar kelas sains, apa namanya?” balas saya.
“Nor Adilah”, jawabnya dengan senyum.
Tentu dia berasa gembira sebab kita mengajar anaknya. Berkerut dahi saya mengingatkan nama dan wajah pelajar ini. Namun tidak terbayang difikiran saya. Saya rasa serba salah, tak kanlah nak berbohong. Nanti kalau dia tanya macam- macam lagi fasal anaknya apa saya nak jawab. Akhirnya saya menjawab, “Oh ya” dan cepat-cepat mengubah tajuk perbualan.
Sepanjang perjalanan pulang saya masih memikirkan siapakah Nor Adilah? Bila masuk ke kelas saya terus terpandang wajahnya, oh itulah Nor Adilah… Sampai sekarang nama itu tetap kekal dalam ingatan saya.

Mengingat nama pelajar memang membantu proses pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan. Pelajar suka dan lebih mesra dengan kita. Mereka semakin suka belajar.

Cikgu Permaisuri ingat nama murid bila duduk di tempat masing-masing. Ini dikira lebih baik daripada guru yang terus tidak ingat nama muridnya. Masalah yang dihadapi oleh Permaisuri ialah hendak memadankan nama dengan orangnya bila berjumpa di luar misalnya ketika bertemu di pasar minggu. Apakah caranya untuk mengatasi masalah ini?

Pasti ada jawapannya. Kita jumpa lagi dalam topik ingat nama murid ini.

Refleksi yang diluahkan oleh Rosnah dan Permaisuri itu saya petik dari buku bertajuk KAJIAN TINDAKAN MENGINGAT NAMA PELAJAR (Siri 1, Tahun 2005) yang dihasilkan oleh 20 orang guru SMK Abuk Bakar, Temerloh. Ketika itu saya adalah pengetuanya.

Walau pun cerita ini ringan sahaja, mudah difahami tetapi kesannya sangat mendalam kepada suasana pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Ini adalah satu topik dalam tajuk The Art of Teaching. Topik ini sentiasa raleven sejak dahulu hingga kini.

Cerita 3

Cerita ini saya petik dari http//www.melayu.com. Ceritanya panjang dan sangat menarik. Saya hanya salin sebahagian sahaja. Jika anda ada kesempatan sila baca tulisan bertajuk Hati Seorang Guru sepenuhnya. Memang berbaloi masa yang diluangkan kira-kira sepuluh minit itu.

Tajuk: Hati Seorang Guru

Hasil karya : luvbieyuk

... Aku berdepan dengan pelbagai karenah pelajar, alhamdulillah..semuanya dapat kutangani. Ragam pelajar yang nakal..InsyaAllah boleh ku berdepan..malah aku tahu anak-anak didikku ini sangat takut dengan aku, kalau nak tegur pun mereka akan tengok dulu mood aku..(haha)..kadang-kadang mereka membuat aku tersenyum memerhati gelagat dan telatah mereka sesekali terhibur juga..aku suka ucapan 'selamat pagi' yang tak lekang di bibir setiap pelajar yang melintasi aku..entahlah ek..bila students greet aku je..aku rasa aku "seorang guru"..macam tak percaya pun ada jugak..tapi aku terharu berdepan dengan pelajar-pelajar yang greet kat aku...cuma aku tak tunjuk je lar..proffesional kan..tapi berbeza dengan seorang pelajar yang bernama DJ ni ..(aku panggil dia budak lesung pipit). Sejak bila eh..budak ni wujud dalam kotak fikiran aku???...erm dia mentee aku dalam subjek sejarah PMR 2007..ni semua gara-gara program anjuran sekolah lar ni. Aku pernah ajar DJ ni subjek sejarah masa di di kelas 1A dan 2A tapi kan..peliklah masa aku jadi guru subjek sejarah dia..aku rasa dia macam tak pernah wujud je dalam kelas tu..aku ni memang ketaralah kelemahannya dari sudut mengingat nama-nama pelajar..sungguh..aku tak ingat..masa mengajar pun aku main lontar je apa yang ada dalam hati aku..ye lar namapun niat nak mengajar kan..tapi rakan seangkatan ngan aku pernah berkongsi ngan aku kalau kita dapat ingat dan sebut nama pelajar-pelajar kita dari sudut psikologi self esteem pelajar tu akan tinggi dan mereka rasa gembira..ouh yeke...

Karya ini telah disunting oleh luvbieyuk pada 11hb Mei 2009, 10:29:24 mlm
--------------LuV n LoVes, alwayz get HurT in It..

Tahniah Luvbieyuk. Anda berjaya mengupas dengan jelas dan jujur. Setiap orang guru memang berhadapan dengan masalah yang anda timbulkan itu. Bayangkan di Malaysia ada 250,000 orang guru. Jika setiap orang guru berhadapan dengan budak seperti DJ itu, ini bermakna budak seperti DJ ada 250,000 orang juga. Namun begitu, mungkin DJ serasi dengan guru yang lain. Barangkali DJ berjaya dibentuk oleh rakan-rakan kita pula. Tetapi ingat, mana maruah kita yang gagal memikat hati budak seperti DJ itu. Saya sendiri sewaktu sekolah dulu adalah DJ kepada guru tertentu termasuklah seorang Pengetua. Tetapi saya ada banyak lagi guru yang berjaya membelai perasaan dan memujuk saya hingga rajin belajar. Tidak mengapa Luvbieyuk, kita mesti terus belajar menjadi pendidik yang lebih baik.

Zoom-A dan Pekan Digital

Pagi ini saya berbincang dengan Nordin dan Rosda. Saya tanya apakah yang paling menyeronokkan kepada pelajar sewaktu kem sains minggu lepas? Nordin kata budak seronok belajar guna Zoom-A. Rosda menambah, ramai yang tidak mahu keluar dari makmal komputer walaupun masa rehat. Mereka kata tidak pernah belajar guna program ini.

Saya sudah nampak satu peluang baru. Saya mencadangkan agar kita gunakan kelebihan yang ada. Kita gabungkan Pekan Digital dan Zoom-A. Mereka berdua bersetuju. Langkah pertama saya mahu tahu sejauh makah jangkauan capaian internet Pekan Digital ini? Tanpa membuang masa saya bersama Nordin, Rosda dan Budin membawa komputer masing-masing, kami menaiki kereta menuju kawasan lapang di hadapan bangunan bangunan UMNO Pekan. Kami berpecah. Saya di bawah pokok. Nordin di kawasan pentas. Rosda di dalam kawasan legar bangunan UMNO dan Budin di tepi jalan masuk. Kami menghidupkan komputer masing-masing dan cuba mencapai internet. Hasilnya sangat membanggakan, capaian internet sangat laju.

Selepas berbincang, kami mencapai kata sepakat untuk mewar-warkan Zoom-A di kawasan sekitar bandar Pekan ini.

Isnin, 21 Jun 2010 ini, kami akan beri taklimat kepada GPK dan guru penyelaras Zoom-A di PKG Pekan, seterusnya tanggal 24 Jun 2010, jam 3-5ptg, kami akan memulakan program Gerak Gempur Zoom-A bagi Kelompok Bandar.

Perkara yang baik tidak boleh dilengahkan.

Sunday, June 6, 2010

Kem Sains untuk lonjakan kecemerlangan UPSR 2010

Pelajar sedang menyemak nama untuk pendaftaran.



06 Jun 2010, di SMK Seri Pekan
14 Mei 2010 yang lalu saya membicarakan keputusan ujian murid tahun enam yang sangat teruk. Hanya 45.1% sahaja yang lulus dan gps pula ialah 2.80. Pencapaian mata pelajaran Sains pula sangat rendah, bilangan yang dapat A paling sedikit.

Saya mengajak Zailani, Nordin, Rosda, Seha dan Sh Kasimi mencari jalan. Akhirnya kami bertemu dengan langkah-langkah segera yang perlu dilaksanakan. Antaranya ialah kem di SMK Seri Pekan selama 3 hari berakhir hari ini berjaya dilaksanakan dengan baik. Guru Sains seramai 20 orang berpadu tenaga diketuai oleh cikgu Norjahan dari SK Seri Terentang dibantu oleh fasilitator dari kalangan pelajar tingkatan empat SMK Seri Pekan seramai 25 orang berjaya membimbing seramai 227 orang murid th enam dari sekolah-sekolah daerah Pekan yang dapat markah antara 52 hingga 59. Kumpulan ini perlu dilonjakkan hingga boleh dapat A.

Guru, fasilitator dan murid sedang berbincang.

Keputusanya sangat menggalakkan. Sewaktu pretest hanya 36 org dapat A, posttest pula 157 orang dapat A. Adik Wan Nor Amirah bt Wan Nor Asmara paling berjaya, pra dpt 34 dan post dpt 92, peningkatan 58 markah. Tahniah!

Semua peserta puas hati.
Murid sedang mengkaji pelajaran Sains dalam program Zoom A. Inilah sesi yang paling menyeronokkan mereka.

Terima kasih kpd Tuan Haji Miftah, Pengetua SMK Seri Pekan yang bermurah hati beri segala kemudahan. Terima kasih kepada Majlis Guru Besar Pekan yang turut terlibat. Terima kasih Yayasan Pahang terutama Tuan Haji Idrus yang sangat prihatin. Terima kasih kepada semua.

Kalau gandingan macam ini dapat diteruskan, saya percaya hasrat kita untuk menterjemah Pendidikan Pekan Melangkah Maju yakin boleh. Kita utamakan masa depan anak didik kita, kita mahu anak didik kita cemerlang.