Wednesday, June 9, 2010

Cerita guru tidak ingat nama pelajar

Hari ini saya mahu bercakap perkara yang ringan sahaja iaitu cerita guru yang tidak ingat nama pelajarnya.

Cerita 1

Cikgu Rosnah bercerita ...

Satu hari semasa saya mengumpulkan nama pelajar rumah Temenggung untuk acara sukan tahunan, seorang pelajar datang kepada saya untuk masuk acara lompat jauh. Saya mengajar kelas itu tetapi tidak tahu nama dan kelasnya. Dengan muka selamba saya tanya pelajar itu nama dan kelasnya.
"Cikgu tak ingat nama saya?". Terpapar kekecewaan dari raut wajahnya.

Satu ketika yang lain, saya hendak membawa pelajar kelas 3 Cekal ke Makmal Sains untuk melakukan eksprimen. Malas nak naik tangga untuk memberitahu pelajar supaya turun ke makmal. Waktu rehat menengah rendah baru sahaja tamat, oleh itu saya tunggu saahaja kelibat pelajar 3 Cekal di depan bilik guru. Saya nampak seorang pelajar perempuan, tak ingat namanya, rasanya pelajar ini dari kelas 3 Cekal. Saya pun memesan padanya untuk pergi ke makmal. Pelajar itu membalas,
"Sampai hati cikgu, saya dari kelas 3 Amanahlah." Malunya aku ...

Saya bertanya rakan-rakan lain, kebanyakannya mempunyai masalah yang hampir sama, sukar nak ingat nama pelajar, tapi tidak sekritikal saya. Agaknya sayalah yang paling teruk di ABS ini. Bukan setakat tak ingat nama pelajar malah kelas mana pun saya tak ingat. Saya mesti berubah, saya tak mahu memalukan diri sendiri lagi.

Cikgu Rosnah membuat refleksi tentang dirinya terhadap muridnya. Ini adalah satu bahagian penting dalam proses mendidik. Cikgu Rosnah menyedari kelemahannya dan mahu berubah. Refleksi seperti ini adalah penting untuk memulakan satu Kajian Tindakan. Seseorang guru tahu di mana kelemahannya. Beliau mahu membaiki diri. Tahniah cikgu Rosnah.

Seterusnya cikgu Rosnah telah membuat Kajian Tindakan Mengingat Nama Pelajar kelas 3 Fitrah. Selepas bertungkus lumus selama empat minggu, akhirnya beliau berjaya mengingati semua 37 orang pelajar kelas itu.

Selepas sebulan . Apakah yang dirasai oleh cikgu Rosnah?
  1. Saya telah berjaya mengingati semua nama pelajar 3 Fitrah serta sedikit makumat peribadi mereka.
  2. Saya tidak lagi rasa tertekan apabila masuk ke kelas 3 Fitrah. Motivasi saya untuk mengajar mereka meningkat dan nampaknya motivasi pelajar juga bertambah baik.
  3. Pelajar lebih gembira berjumpa saya, sama ada di dalam atau di luar kelas sebab saya boleh membalas sapaan mereka.
  4. Kawalan kelas juga bertambah baik.

Saya berharap cikgu di daerah Pekan turut menjalankan muhasabah diri. Adakah anda tergolong seperti cikgu Rosnah? Jika ya, laksanakan langkah seperti cikgu Rosnah. Langkah ini adalah selari dengan cadangan School Improvement Programs (SIP).

Cerita 2
Permaisuri bercerita …
Saya memang suka mengingat nama pelajar. Saya memang tidak suka memanggil pelajar “oi” atau “awak” dan sebagainya. Cuma saya ada masalah untuk mengekalkan ingatan. Saya hanya boleh ingat nama mereka semasa mengajar di kelas sahaja. Apabila melihat wajah mereka di dalam kelas memang saya boleh sebut namanya tetapi bila berada di luar agak bercelaru sedikit. Saya sukar membayangkan bila disebut nama sahaja.
Peristiwa ini mungkin suatu yang menarik untuk membuktikan masalah yang saya hadapi. Pada bulan Mei lalu saya menghadiri kursus selama tiga hari di daerah ini. Pada hari kedua berkursus saya disapa oleh seorang peserta.
“Mengajar di mana?”, soalnya.
“Di ABS,” saya membalas.
“Anak saya ada belajar di sekolah itu,” balasnya kembali.
“Di tingkatan berapa?” soal saya pula.
“Tingkatan lima.” Jawabnya ringkas.
“Lima sains ke sastera?” Tanya saya lagi.
“Sains”, katanya.
“Oh, saya mengajar kelas sains, apa namanya?” balas saya.
“Nor Adilah”, jawabnya dengan senyum.
Tentu dia berasa gembira sebab kita mengajar anaknya. Berkerut dahi saya mengingatkan nama dan wajah pelajar ini. Namun tidak terbayang difikiran saya. Saya rasa serba salah, tak kanlah nak berbohong. Nanti kalau dia tanya macam- macam lagi fasal anaknya apa saya nak jawab. Akhirnya saya menjawab, “Oh ya” dan cepat-cepat mengubah tajuk perbualan.
Sepanjang perjalanan pulang saya masih memikirkan siapakah Nor Adilah? Bila masuk ke kelas saya terus terpandang wajahnya, oh itulah Nor Adilah… Sampai sekarang nama itu tetap kekal dalam ingatan saya.

Mengingat nama pelajar memang membantu proses pengajaran dan pembelajaran agar lebih berkesan. Pelajar suka dan lebih mesra dengan kita. Mereka semakin suka belajar.

Cikgu Permaisuri ingat nama murid bila duduk di tempat masing-masing. Ini dikira lebih baik daripada guru yang terus tidak ingat nama muridnya. Masalah yang dihadapi oleh Permaisuri ialah hendak memadankan nama dengan orangnya bila berjumpa di luar misalnya ketika bertemu di pasar minggu. Apakah caranya untuk mengatasi masalah ini?

Pasti ada jawapannya. Kita jumpa lagi dalam topik ingat nama murid ini.

Refleksi yang diluahkan oleh Rosnah dan Permaisuri itu saya petik dari buku bertajuk KAJIAN TINDAKAN MENGINGAT NAMA PELAJAR (Siri 1, Tahun 2005) yang dihasilkan oleh 20 orang guru SMK Abuk Bakar, Temerloh. Ketika itu saya adalah pengetuanya.

Walau pun cerita ini ringan sahaja, mudah difahami tetapi kesannya sangat mendalam kepada suasana pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Ini adalah satu topik dalam tajuk The Art of Teaching. Topik ini sentiasa raleven sejak dahulu hingga kini.

Cerita 3

Cerita ini saya petik dari http//www.melayu.com. Ceritanya panjang dan sangat menarik. Saya hanya salin sebahagian sahaja. Jika anda ada kesempatan sila baca tulisan bertajuk Hati Seorang Guru sepenuhnya. Memang berbaloi masa yang diluangkan kira-kira sepuluh minit itu.

Tajuk: Hati Seorang Guru

Hasil karya : luvbieyuk

... Aku berdepan dengan pelbagai karenah pelajar, alhamdulillah..semuanya dapat kutangani. Ragam pelajar yang nakal..InsyaAllah boleh ku berdepan..malah aku tahu anak-anak didikku ini sangat takut dengan aku, kalau nak tegur pun mereka akan tengok dulu mood aku..(haha)..kadang-kadang mereka membuat aku tersenyum memerhati gelagat dan telatah mereka sesekali terhibur juga..aku suka ucapan 'selamat pagi' yang tak lekang di bibir setiap pelajar yang melintasi aku..entahlah ek..bila students greet aku je..aku rasa aku "seorang guru"..macam tak percaya pun ada jugak..tapi aku terharu berdepan dengan pelajar-pelajar yang greet kat aku...cuma aku tak tunjuk je lar..proffesional kan..tapi berbeza dengan seorang pelajar yang bernama DJ ni ..(aku panggil dia budak lesung pipit). Sejak bila eh..budak ni wujud dalam kotak fikiran aku???...erm dia mentee aku dalam subjek sejarah PMR 2007..ni semua gara-gara program anjuran sekolah lar ni. Aku pernah ajar DJ ni subjek sejarah masa di di kelas 1A dan 2A tapi kan..peliklah masa aku jadi guru subjek sejarah dia..aku rasa dia macam tak pernah wujud je dalam kelas tu..aku ni memang ketaralah kelemahannya dari sudut mengingat nama-nama pelajar..sungguh..aku tak ingat..masa mengajar pun aku main lontar je apa yang ada dalam hati aku..ye lar namapun niat nak mengajar kan..tapi rakan seangkatan ngan aku pernah berkongsi ngan aku kalau kita dapat ingat dan sebut nama pelajar-pelajar kita dari sudut psikologi self esteem pelajar tu akan tinggi dan mereka rasa gembira..ouh yeke...

Karya ini telah disunting oleh luvbieyuk pada 11hb Mei 2009, 10:29:24 mlm
--------------LuV n LoVes, alwayz get HurT in It..

Tahniah Luvbieyuk. Anda berjaya mengupas dengan jelas dan jujur. Setiap orang guru memang berhadapan dengan masalah yang anda timbulkan itu. Bayangkan di Malaysia ada 250,000 orang guru. Jika setiap orang guru berhadapan dengan budak seperti DJ itu, ini bermakna budak seperti DJ ada 250,000 orang juga. Namun begitu, mungkin DJ serasi dengan guru yang lain. Barangkali DJ berjaya dibentuk oleh rakan-rakan kita pula. Tetapi ingat, mana maruah kita yang gagal memikat hati budak seperti DJ itu. Saya sendiri sewaktu sekolah dulu adalah DJ kepada guru tertentu termasuklah seorang Pengetua. Tetapi saya ada banyak lagi guru yang berjaya membelai perasaan dan memujuk saya hingga rajin belajar. Tidak mengapa Luvbieyuk, kita mesti terus belajar menjadi pendidik yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment