Friday, April 30, 2010

SMK Dato'Mahmud Mat

Beberapa minggu yang lalu hingga pagi ini saya banyak memberi perhatian kepada SMK Dato' Mahmud Mat (kami panggil Sekolah Datok). Semua tahu Sekolah Datok tiba-tiba sahaja heboh seluruh pelusuk, berita hangat dalam akhbar. Akhirnya selepas berbalah kerana anak, semua kembali reda, beberapa masalah berjaya diselesaikan. Saya mengucapkan terima kasih banyak kepada Tuan Yahaya Othman, Ketua Polis Daerah Pekan yang turut sama mendamaikan ibubapa dan murid-murid. Sebenarnya peristiwa itu ada hikmahnya. Saya ditanya oleh pemberita apakah tindakan PPD terhadap Sekolah Datok? Jawapan saya mudah sahaja. Saya mahu pihak pengurusan sekolah mengemaskan lagi pengurusan hal ehwal murid dan memantapkan urusan pengajaran dan pembelajaran. Ini merupakan janji PPD, mesti buat tindak ikut segera.

Tindakan pertama:
Saya telah mendapatkan contoh buku kawalan kelas daripada SMK Ahmad Pekan, SMK Abu Bakar Temerloh(ABS) dan SMK Air Putih Kuantan. Saya berikan kepada encik Mohd Amin, GPK HEM untuk rujukan. Saya percaya mereka telah nampak contoh yang patut diikuti. Pihak sekolah menerima baik dan telah mula melaksanakan ke semua kelas. Saya akan pantau lagi dua minggu lagi. Menurut encik Chim Siew Wai, penggunaan buku ini sangat berkesan, semua pihak telah beri kerjasama. Terima kasih encik Chim. Buku ABS pula saya daripada cikgu Sokeh (GPK Koko) dan cikgu Azhar. Cikgu ABS sentiasa beri kerjasama kepada saya. Lihat contoh yang baik lebih mudah meyakinkan dan boleh ikut terus. Saya harap pihak sekolah bertindak segera!

Tindakan kedua:
Pada hari Selasa, 27 April 2010, pasukan PPD Pekan seramai 13 orang ahli melakukan pemantauan ke sekolah ini. Saya menghuraikan analisis audit akademik. Aspek yang saya bahaskan ialah pemeriksaan buku latihan murid oleh guru dan semakan pentadbir terhadap buku latihan murid (semakan pentadbir bertujuan untuk melihat/mengawal hasil kerja guru). Analisis yang disampaikan berdasarkan dapatan yang dikemukan pada 20 April 2010 yang lalu yang bertajuk Punca Defisit Pembelajaran. Saya menggunakan kaedah rajah ranting dan kiraan seperti berikut;





Sebelum pulang saya hadiahkan sebuah buku Watak Pendidik kepada Tuan Haji Aidun. Mungkin boleh ambil idea dalam buku ini untuk mempengaruhi guru.



Thursday, April 29, 2010

Pekan Johan tilawah L12, Johan Bola Jaring P15, Johan Bola Sepak L12 dan Kriket L12,L18

Hujung minggu lepas saya rasa sedih kerana keupayaan Pekan dalam balapan dan padang (lebih senang panggil olahraga) masih di belakang tetapi sabtu lepas dan sepanjang minggu ini peserta tilawah, pasukan bola jaring, bola sepak dan kriket menyinar.

Pesarta Pekan dalam tilawah peringkat negeri Pahang banyak mencapai kejayaan. Qari L12 (dari SK Seri Maulana) berjaya menjadi johan. Tahniah!

Pasukan bola jaring P15 berlawan di Bentong dapat johan, tahniah. Pada mulanya PPD tak mahu hantar sebab kosnya tinggi, lagipun rekod lalu pasukan Pekan selalu pulang awal. Encik Kamaludin dan anak buahnya berjaya dapatkan bas, dapatlah pasukan Pekan bersaing di Bentong. Ini adalah rekod baru bagi daerah Pekan, tahniah kepada semua yang terlibat.

Pasukan kriket Pekan memang handal, sukar ditumbangkan. Paling manis, ramai budak SK Inderashah Bandar, Kuala Pahang mewakili pasukan L12 Pekan. Kriket Pekan selalunya berada pada top three peringkat Kebangsaan. Kita mesti jaga kedudukan itu, kalau boleh lagi bagus tahun ini.

Pagi tadi, pasukan bola sepak L12 bermain di Rompin berjaya merebut gelaran johan, mengalahkan lawan 6-1. Tahiah! Pasukan L15 pula dapat naib johan, tujuh orang daripada pemainnya daripada SMK Dato' Mahmmud Mat. Tahniah!

Kejayaan dalam permainan dan kokurikulum ini adalah teras kepada perjuangan Pendidikan Pekan Melangkah Maju.

Sunday, April 25, 2010

Mendaki Bukit Pelindung bersama rakan sepejabat sebagai persediaan mendaki Gunung Kinabalu

25 April 2010, 9.00 pagi.
Saya bersama Zulkifli, Ahmad, Syed, Hamzah dan ramai lagi ahli keluarga Zul dan Ahmad mula mendaki. Jalan agak licin baru lepas hujan. Tidak ramai peminat yang mendaki pagi ini tetapi Pakcik yang berkaki ayam itu tetap gigih. Kami berselisih dengan beliau, saya memberi ucapan "Selamat Pagi" kepada Pakcik Kaki Ayam itu ( nanti minggu depan saya tanya nama sebenarnya). Maaf minggu lepas saya dan rakan-rakan tak jadi naik sebab hujan.
Pada peringkat awal saya rasa tersangat sukar untuk melangkah naik, rasa peha kaku tetapi semangat sahaja yang mendorong. Selepas 200 meter baru rasa stabil. Sambil berjalan kami berbual-bual. Berbual sambil berjalan dapat mengurangkan rasa letih.


Di kanan, saya dan Ahmad. Kami di puncak. Belakang nampak pemandangan bandar Kuantan.


Dua minggu lepas saya ada hantar komen dalam Laman Web Jabatan Hutan yang menjaga Bukit Pelindung ini. Saya beritahu fasal sampah dalam bekas telah melimpah. Sampah itu kelihatan usang, nampak telah lama tidak diselenggara. Pihak JH dengan pantas dalam masa 15 minit menghantar e-mail kepada saya, mengatakan akan menyiasat. Saya berasa sangat gembira kerana teguran saya diberi perhatian. Pagi ini saya berasa lebih seronok kerana semua semua sampah lama dalam semua tong telah dikutip. Malah tong telah dipasang plastik hitam. Terima kasih dan Tahniah Jabatan Hutan. Nampak dua tong telah penuh dengan sampah baru. Sampah itu kebanyakannya ialah bekas makanan, plastik air dan botol plastik. Saya nampak masih ada botol dan plastik disepahkan di tepi jalan. Di sini saya menyeru peminat Bukit Pelindung yang berkenaan sila gunakan tong sampah yang disediakan. Mari kita sama-sama jaga kebersihan dan menghargai keindahan Bukit Pelindung.

Bila bercakap fasal latihan fizikal dan ketahanan mental, saya teringatkan prestasi buruk pasukan MSSD Pekan dalam Kejohanan Balapan dan Padang MSSP 2010 minggu lepas di Temerloh. Pencapaian Pekan merosot, hanya dapat 1 emas, 3 perak dan 3 gangsa. Ramai guru mengatakan peserta dari Bukit Jalil dan Bandar Penawar sangat handal. Itulah alasan orang kalah. Sebenarnya yang menang emas lebih ramai budak sekolah biasa (bukan dari BJ dan BP). Lagi sekali kita kena lihat bagaimana sekolah biasa mampu melahirkan budak yang handal. Ramai pelajar mereka berjaya dapat pingat emas, perak dan gangsa. Cuba dapatkan rahsia SMK Jengka 16, SMK St Thomas dan mana lagi? Pokoknya terletak pada latihan yang berterusan. Pekan masih tercicir, dalam kerangka Pendidikan Pekan Melangkah Maju, kita mesti cari jalan bagimana boleh melonjakkan martabat sukan Pekan? Mari fikir dan bertindak bersama-sama.

Balik semula fasal mendaki Bukit Pelindung. Ahad depan ini 2 Mei 2010, pasukan PPD Pekan akan mendaki lagi tetapi ada kelainan sikit sewaktu turun. Kami rancang mahu melaksanakan aktiviti "Brain Training" di empat tempat rehat. Ok, fikir sudah dan sokongan ada. Saya mahu pastikan apa yang difikir itu dilakukan dengan teliti dan bersungguh-sungguh( pesananan PM). Jumpa lagi di kaki Bukit Pelindung pada 2 Mei 2010, jam 9 pagi.


Kami bergambar setelah kembali di kaki bukit. Dari kanan: Ahmad (baju merah), Syed, saya , Zulkifli dan Hamzah. Adik dalam kereta itu juga berjaya mendaki sampai ke puncak.

Friday, April 23, 2010

Ziarah Guru Besar baru

23 April 2010, 11.25pagi.

06 SK Serandu

Guru Besar baru dah bertugas hampir sebulan tetapi saya masih belum jumpa, beliau ialah ustaz Shafie. Sebelum ini GB di SK Kuala Penor. Sayang tak dapat jumpa sebab GB ada tugas di sekolah lamanya. Saya dilayan oleh GPK. Saya dibawa menjenguk bilik PSS. Habis semua dokumen saya lihat. Memang kemas dan lengkap. Tinggal lagi rekod penggunaan PSS hanya beberapa kali sahaja direkodkan. Saya nasihatkan GPK agar mengingatkan guru menulis dalam buku rekod penggunaan PSS, ini adalah penyumbang kepada taraf empat bintang. Saya mahu sekolah kekalkan tahap empat bintang itu. Saya melihat satu contoh buku NILAM seorang murid, memang banyak buku yang dibacanya. Tahniah!

Saya bertanya GPK adakah sekolah melaksanakan program DEAR pada waktu pagi? GPK dengan pantas mengatakan ada malah ada buat inovasi. Hebat betul. Saya minta laporan bergambar dan hantar guna email yahya104@gmail.com.

Selepas itu saya memeriksa fail guru ganti dan buku kedatangan. Terurus dengan baik.

Saya tanya ada budak darjah enam tak pandai membaca?
GPK kata tiada.
Akhir sekali saya minta GPK terangkan keputusan P1.
Saya lihat pencapaian yang terbaik di kalangan enam buah sekolah yang telah dilawati dalam siri lawatan mengejut fasa dua ke sekolah.
Sebelum keluar sekolah, GB pula memberi salam. Kami berbual-bual. Saya tidak tanya soalan yang berat. Soalan saya mudah sahaja.
"Apakah beza antara sekolah lama dengan sekolah sekarang?"
Termenung sekejap ustaz Shafie, saya tahu dia tidak mahu menyinggung perasaan kami dan agaknya mahu mencari jawapan yang terbaik.
"TOV sekolah ini lebih baik dari sekolah lama saya."
Saya menambah, "Awak dapat kebun durian yang cantik dan jenis baka baik."
Saya lihat GPK tersenyum dan GB menganggukkan kepala.

Itulah rakaman lawatan selama 30 minit ke SK Serandu

Monday, April 19, 2010

Punca Defisit Pembelajaran

Ini adalah satu isu paling penting untuk renungan kita sebagai pemimpin pendidikan dan guru.

Saya menerima satu salinan laporan audit akademik JPNP. Laporan lawatan 21 orang pegawai ke sebuah sekolah besar di daerah yang jauh dari daerah Pekan. Saya baca dari mula hingga akhir. Sekolah ini mengalami kemerosotan dalam peperiksaan awam. Itulah sebabnya diserang.
Saya harian mengapa PPD Pekan sahaja yang terima salinan laporan itu? Bagus juga, boleh saya buat analisis. Hasil cerkainan saya adalah seperti berikut;
  1. Daripada 16 pemerhatian terhadap semakan buku latihan, pentadbir hanya menyemak DUA kelas sahaja. Selebihnya sebanyak EMPAT BELAS kelas tiada bukti semakan oleh pentadbir. Pengetua/ Guru Besar daerah Pekan ambil iktibar perkara ini. Jika masih belum ada tindakan, mesti berubah, lakukan segera. Buat jadual dan beri tugas ini kepada GPK juga.
  2. Daripada 16 pemerhatian terhadap pemeriksaan buku latihan oleh guru mata pelajaran, hanya EMPAT orang guru sahaja yang memeriksa secara teliti termasuk memberi komen dan pembetulan. Selebihnya DUA BELAS lagi memeriksa secara tidak teliti. Pengetua/ Guru Besar daerah Pekan sila ingatkan guru/ nasihatkan guru agar memeriksa dengan teliti, pastikan guru menerap sikap buat pembetulan bagi jawapan yang salah. Kita pendidik Pekan mesti peka kepada nasihat PM kita, "Elakkan kerja lebih kurang, lakukan kerja dengan teliti." Hayati nasihat ini.
  3. Pemantau mendapati Buku Kawalan Kelas tidak direkodkan secara konsisten. Pentadbir di juga tidak pernah menyemak. Pengetua/ Guru Besar daerah Pekan sila tengok buku itu di sekolah anda, ada? tiada? tidak disemak? Jika masih belum memuaskan sila beri perhatian yang utama.

Jika kita boleh laksanakan tiga tugas ini secara berkesan dan berterusan, kita boleh mengelakkan defisit pembelajaran anak didik kita. Malah sekolah kita akan maju. Bukan susah sangat.

Melawat SK Ubai dan SK Tanah Putih

04
8.30pagi, 19 April 2010 di SK Ubai.



Saya mengajak puan Zalaha, GB dan encik Idham, GPK melawat PSS. Tahun lepas PSS dapat 3 bintang. Tahun ini saya mahu mereka berusaha untuk dapatkan 4 bintang. Saya lihat carta organisai lengkap, rekod penggunan PSS direkod dengan kemas. Rekod pinjaman buku juga lengkap. Saya meminta rekod NILAM, juga baik. OK nampak ada perubahan. Saya cadangkan sekolah wujudkan sekuang2nya satu perpustakaan keluarga di rumah. Ini adalah langkah pertama untuk melibatkan ibu bapa terlibat secara aktif dengan aktiviti membaca.

Saya bertanyakan fasal aktiviti membaca waktu pagi? GB mengatakan ada melaksanakan aktiviti membaca dua kali seminggu. Puan Zalaha kata program membaca belum mantap lagi seperti SK Sentosa, Maran. Beliau kata mahu lengkapkan rekod bacaan ikut kumpulan. Guru pula dikehendaki menyoal murid tentang apa yang dibaca.

Buku ulangkaji BI dan Sains yang dibekalkan oleh PPD. Saya mahu mempastikan adakah subsidi yang PPD bekalkan itu sampai kepada murid-murid? Adakah ianya berfaedah kepada mereka? Saya lihat banyak ruang dalam buku itu telah dijawab dan disemak oleh guru. Ada terdapat tanda tangan dan cop Guru Besar. Tahniah GB dan guru.

Saya juga bertanya GB tentang prestasi murid tahun enam? Beliau mengatakan ada seorang murid bila baca ayat kedua lupa ayat pertama. Sementara 22 orang yang lain semuanya boleh memahami apa yang dibaca. Saya lihat pencapaian mata pelajaran Sains dalam ujian P1 paling baik iaitu 91.3%. Saya harap GPS SK Ubai boleh mencapai 1.65 dan peratus 96%.

05
9.30pagi, 19 April 2010 di SK Tanah Putih.

Kali ini saya bertanya jaga ada ke tidak murid dan guru berhimpun membaca buku pada waktu pagi? Jaga mengatakan ada. Ada dua kumpulan semuanya. Darjah satu hingga tiga dekat bangunan dan yang lain di tapak perhimpunan.

Saya mahu melihat PSS. GPK mengiringi saya melawat PSS. Saya nampak seorang guru sedang sibuk menyusun atur. Saya minta guru itu meneruskan kerjanya dan saya berjanji akan datang lagi dua minggu dari sekarang untuk melihat PSS.

Saya melawat kelas darjah enam. Saya mahu melihat buku ulangkaji BI dan Sains yang dibekalkan oleh PPD. Saya nampak puan Noraini membawa buku-buku tersebut, nampak telah disemak. OK bagus. Akhir sekali saya memberi nasihat kepada murid kelas 6 Arif tentang petua nak dapat keputusan cemerlang. Pertama mesti amalkan prinsip JSB bermaksud jawab sampai betul. Kedua mesti amalkan prinsip Willing to change and consistency. Saya huraikan contoh2nya sekali. Saya tidak tahu adakah akan melekat dalam kepala mereka.

Encik Azizan GB, mengajak saya ke kantin. Oklah saya penuhi pelawaan beliau.

Akhir sekali saya mahu guru2 SK Tanah Putih mengupas buku Watak Pendidik sesuai dengan arahan KPM menjadikan membaca buku sebagai ganti kursus.

Wednesday, April 14, 2010

Pendidik Pekan sedang mengusahakan novel dalam tulisan jawi

Hari ini paling sibuk.

8.30pagi tengok budak Pekan L12 dan P12 lawan hoki akhir SSSP di Stadium Hoki Kuantan. Hebat, budak Pekan main hoki. Terima kasih cikgu gigih melatih mereka. Dalam perjalanan balik ke Pekan, aircond rosak, bukan main panas. Terus ke kedai aircond. Formen kata blower rosak. Ganti kena rm580. Lepas itu menghadiri majlis Persembahan Tarian SK Ahmad yang akan pergi buat persembahan di Turki di Bangunan UMNO Pekan. Akhir sekali (paling penting) ke PKG Pekan tengok encik Rozman, ustaz Aziz, ustaz Roslan, guru Pendidikan Seni dan guru J-QAF sedang bertungkus lumus menyiapkan tiga buah novel jawi. Novel ini berasaskan cerita di daerah Pekan. Ini adalah satu agenda penting Pendidikan Pekan Melangkah Maju. Kami mahu anak murid Pekan lancar baca jawi dan sayangkan tulisan jawi.

Kita mesti buat sampai siap. Terima kasih cikgu.

Monday, April 12, 2010

Membaca laporan sekolah tentang penggunaan buku latihan tambahan Sains dan English yang dibekal oleh PPD ke sekolah-sekolah

Sebelah petang ini saya seronok meneliti laporan daripada sekolah-sekolah. 43 laporan semuanya, masih ada empat sekolah yang belum hantar. Semua buku telah sampai ke tangan murid. Kebanyakannya telah dijawab oleh murid dan diperiksa oleh guru. Hanya beberapa sekolah masih belum menggunakan buku ulangkaji Sains tahun 5. Mereka akan gunakan selepas habis sukatan pelajaran darjah enam.

Saya berasa seronok kerana program ini telah sampai ke sasarannya. Walau bagaimana pun mesti semak buku-buku tersebut bila melawat sekolah. Guru Besar dan GPK mesti semak sealalu buku latihan dan hasil kerja murid.

Ini adalah program sokongan kepada guru. Semuga usaha ini membantu melonjakkan pendidikan Pekan. Kami mahu mencapai 80% UPSR 2010
Macam mana cikgu Pekan sanggup ke kita berjuang hingga tercapai cita-cita?

Sunday, April 11, 2010

11 April, mendaki Bukit Pelindung

9.30pagi, bersama Syed Adnan dan cikgu Hamzah (guru SK Tanjng Agas) mendaki Bukit Pelindung. Kami jumpa ramai pendaki lain yang turun naik. Kiri kanan pokok hidup subur, daun menghijau sungguh nyaman. Bila berada di puncak nampak bandar Kuantan. Bila menjenguk ke timur, dicelah-celah pokok nampak laut Cina Selatan terbentang tiada penghujung. Sayang sikit di tepi jalan ada tong sampah yang melimpah sampahnya, nampak tidak terurus. Ini kerja siapa? Boleh tahan juga letihnya tetapi tidaklah macam minggu lepas terasa jauh dan tercungap-cungap. Kami berlatih sebagai persediaan mendaki Gunung Kinabalu 25 Julai ini. Badan basah dek peluh, badan rasa sedap, perutpun rasa ramping sikit dulu 37 (susut sikit aja) tetapi kini 36cm, mesti berlatih lagi.

Siapa nak ikut tunggu 9.00pagi 18 April 2010 di kaki bukit.

Lawatan ke SK Sinar Mutiara dan SK Bebar pada hari Sabtu 10 April 2010

10.00pagi saya dan cikgu Hassan Mutalib (guru SMK Ahmad, penyelaras fasilitatoe) sampai di SK Sinar Mutiara. Tuan haji Nasaha dan ramai guru berada di sekolah. Saya dibawa melawat ke bilik darjah melihat fasilitator tingkatan enam membimbing murid darjah enam memahami teknik mengarang Bahasa Melayu. Saya lihat murid sangat suka belajar. Saya tanya mengapa suka belajar? Semua kata suka kakak dan abang ajar. Mereka menambah, kakak dan abang baik. Ada tiga orang fasi menggunakan kad imbasan yang dibekalkan oleh guru BM mengajar kumpulan yang paling teruk. Murid yang berkumpul di sini dari SK Sinar Mutiara, SK Permatang Keledang, SK Pasir Panjang dan SK Tanjung Agas. Saya gembira PROLIT berjaya dilaksanakan sebagaimana dirancang. Saya bangga kerana guru dan fasilitator sanggup berkorban masa untuk memajukan murid.

11.20pagi sampai di SK Bebar. GB dan ramai guru hadir. Guru SK Bebar melaksanakan gotong royong membersih dan menghias kelas. Cikgu Malik, GB bersama seorang guru penyelaras melawat kelas PROLIT. Macam tadi juga, semuanya berjalan lancar tetapi kehadiran kurang memuaskan. Cikgu kata semalam hujan lebat, ramai budak Asli dari kampung perdalaman tidak hadir kerana jalan lecah dan tiada pengangkutan. Kasihan mereka. Seorang guru mencadangkan agar program PROLIT diulang untuk kumpulan budak Asli tetapi mereka dihimpun di asrama untuk dua hari. Ini satu cadangan yang baik. Terima kasih cikgu yang sanggup berkorban. Murid yang hadir dari SK Bebar dan SK Nenasi. Terima kasih juga kepada pemandu bas SMK Ahmad.

Sewaktu melawat murid dan fasi di kelas-kelas, saya dapati satu kelas lantainya berlubang. Permukaan simennya telah pecah, memang sangat bahaya, boleh tergelecok. Saya minta Guru Besar buat gotong royong, bancuh simen+pasir+air dan tampal. Mesti tanamkan semangat gotong royong dan bersegera baik pulih jika kerosakan itu mudah dibaiki dan tidak bahaya. GB menganganggukkan kepala. Saya teringatkan peristiwa dua orang pelajar tingkatan Satu C meminta sekampit simen daripada saya, sekali imbas macam perli pengetua aja (Waktu itu saya pengetua SMK Abu Bakar, Temerloh). Saya tanya mereka nak buat apa? Mereka kata nak gotong royong tampal lantai kelas yang berlubang. Saya tanya lagi, boleh ke pelajar Satu C buat sendiri? Mereka kata boleh, guru kelas (Ustaz Halim) akan ajar dan akan turut serta hari sabtu ini. Tanpa banyak soal saya beri mereka wang cukup untuk beli sekampit simen. Pasir memang ada hampir sebusut jantan depan dewan. Itulah sikap terpuji guru kelas mendidik murid supaya sayangkan kelas mereka. Inilah satu contoh Watak Pendidik, mengajar dan bersama-sama murid menjalankan kerja gotong royong.

Misi kami tahun 2010
Kami mahu semua murid tahun enam boleh membaca, menulis apabila melangkah ke tingkatan satu tahun 2011. Kami juga mahu keputusan Bahasa Melayu meningkat. Inilah perjuangan Pendidikan Pekan Melangkah Maju.

Thursday, April 8, 2010

Adakah sekolah telah laksanakan apa yang saya ilhamkan?

Telah banyak saya bercakap tentang hala tuju serta misi untuk Pendidikan Pekan Melangkah Maju. Kini saya mahu mengetahui adakah telah diterjemah oleh sekolah? Mulai sekarang saya mahu lihat sendiri di sekolah.

9 April 2010, 9.00 pagi
SK Seri Makmur
Saya melawat secara mengejut. Mula masuk dah nampak banyak timbunan buku bacaan dalam beberapa buah tong. Di sebelahnya terdapat berpuluh-puluh buah tikar bergulung disusun elok dalam satu rak. Beberapa saat kemudian Haji Raman, GB dan cikgu Jamaludidn GPK dari kantin mendekati saya. Tidak lama kemudian En Omar, Pengerusi PIBG dan En Zul Naib Pengerusi sampai.

Saya ingin tahu apakah usaha sekolah menerap Budaya Membaca?
GB menerangkan ada dijalankan perhimpunan membaca pagi dua kali seminggu Selasa dan Rabu. Murid duduk atas tikar ikut kumpulan diawasi oleh guru. Tikar dan buku dibeli oleh PIBG. Saya namapak memang ada buktinya. Saya minta GB hantar beberapa keping gambar kepada saya.

Saya ingin tahu apakah usaha sekolah untuk meningkatkan pencapaian murid?
GB mengatakan ada kelas malam 3 kali seminggu untuk darjah empat, lima dan enam untuk menyiapkan kerja rumah dan kelas ulangkaji. Kelas ini turut dibantu oleh dua orang ahli PIBG. Ini satu usaha hebat. Saya masih tak pasti 100%, untuk kepastian saya mesti jenguk sekali sekala.

Saya ingin tahu adakah sekolah telah gunakan buku ulangkaji yang dibekalkan oleh PPD untuk murid tahun enam? PPD telah belanjakan hampir rm24,000 membeli buku2 tersebut. Saya mahu pastikan faedahnya sampai kepada murid. GPK kata telah diedar kepada murid dan sedang digunakan.

Saya mahu tahu apakah usaha menjulang PSS 4 Bintang?

GB mengatakan usaha sedang dilakukan dengan giatnya. Saya mencadangkan agar diwujudkan rangkaian perpustakaan keluarga di rumah. Saya mahu PIBG dan sekolah memilih lima buah rumah untuk dijadikan perpustakaan. Saya sangat berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah dan PIBG SK Seri Makmur.



10.00pagi, 9 April 2010

SK Belimbing


Penerapan Budaya Membaca?
GB menunjukkan bukti rekod perhimpunan membaca dua kali seminggu. Ada rekod bertulis tentang bacaan. Saya sangat berpuas hati.
Buku ulangkaji yang dibekalkan oleh PPD?
Saya menyemak buku, murid telah menjawab, guru telah memeriksa buku Bahasa Inggeris dan Sains. Saya sangat berpuas hati.
PSS 4 Bintang?
Saya melawat PSS. Nampak baru siap dicat. Saya mahu segerakan operasi. Saya mahu memantau lagi.






11.40pagi, 9 April 2010

SK Lepar
GPK mengatakan PSS sedang diupgraed. Tahun lepas 3 bintang. Perhimpunan senyap berjalan dua kali seminggu hari Selasa dan Rabu.GPK ada semak buku kerja yang dibekal oleh PPD. GPK kata guru semak buku. GB mengatakan suasana tahun ini lebih meriah atas peranan yang dimainkan oleh cikgu Saadah bt Bilal, sangat dedikasi. Pencapaian Sains masih 52%.

Saya sangat berpuas hati, nampak banyak bukti sekolah sedang giat melaksanakan usaha budaya membaca dan peningkatan prestasi UPSR 2010.

Friday, April 2, 2010

SMK Inderashah Bandar lancar English Simulation Center (ESC) and English 5 minutes a day



Pagi ini saya untukkan masa dua jam di SMK Inderashah Bandar, Kuala Pahang. Sewaktu sampai, puan Umikalsum Pengetua, guru dan pelajar telah siap sedia menunggu saya di dewan perhimpunan. Saya diminta berucap dalam Bahasa Inggeris untuk merasmikan ESC dan 5 minutes. Saya bercakap dalam bahasa yang paling mudah. Bila ditanya "Who want to be a excelent student in English?" Hanya separuh sahaja yang angkat tangan, ok itu sudah cukup baik. Mungkin yang lain tidak faham soalan.

Selepas itu saya melawat bilik ESC. Masuk bilik ini mesti cakap Inggeris 100%. Inilah satu keistemewaan. Ada beberapa orang pelajar dan guru menunggu saya. Saya berpeluang berbual dengan mereka. OK mereka berani. Ini adalah satu inovasi yang patut disokong. Tahniah pengetua, GPK, guru dan pelajar semua.

Saya mahu bilik ESC ini meriah hingga akhir tahun. Saya berjanji akan cuba datang setiap dua bulan. Saya juga mahu bawa Pengetua lain melawat ESC di sekolah ini.

Thursday, April 1, 2010

Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Pekan kali ke-39 tahun 2010 paling meriah dan sengit.

Syukur, sebentar tadi tamat majlis yang meriah dan paling istemewa. Sekolah-sekolah mengambil bahagian bersaing sengit. SHAH dan SMK Pekan berbeza satu emas sahaja. SHAH dapat 16 emas sementara SMKP dapat 15 emas. Tahniah SHAH berjaya mengekalkan kejuaraannya. Tahniah juga kepada SMK Pekan yang tercicir satu emas sahaja. Perjuangan tahun 2011 mungkin milik anda? Sekolah-sekolah lain juga menunjukkan penampilan yang hebat juga, jauh lebih hebat dari tahun lepas. Acara perbarisan juga makin kemas, kebanyakan pasukan kelihatan berjalan segak dan berpakaian sukan yang bergaya. Tahniah kepada SMK Tengku Abdullah berpakaian segak serba biru menang acara perbarisan terbaik. Namun begitu ada beberapa pasukan yang kelihatan amat sederhana sekali. Ada ahli pasukan kelihatan malu dan menutup muka, sungguh simpati dengan mereka. Macam hari rayalah, anak orang seba baru tetapi anak sendiri pakai baju usang aja, apa perasaan ibu bapa? Kalau pengetua hadir tentu terasa hiba.
Walaupun banyak cabaran, guru dari sekolah-sekolah daerah Pekan tetap mengalas tugas dengan penuh semangat mengurus kejohanan dan melatih murid. Inilah semangat yang terpuji, terima kasih cikgu.

Majlis kali ini paling istemewa kerana dikunjungi oleh Yang Mulia Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Tengku Mahkota Tengku Abdullah. YM Tengku Hasanal sanggup bersama-sama sejak awal hingga tamat. YM Tengku juga sudi menyampaikan hadiah kepada pemenang. YM Tengku Hasanal mudah mesra dengan pelajar, sanggup bergambar dengan penerima hadiah. YM Tengku Hasanal berkata mahu berkunjung lagi tahun hadapan. Kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan. Kami sangat gembira kerana seorang putera raja sudi ikut memeriahkan acara pelajar daerah Pekan ini. Kami pendidik daerah Pekan sangat bangga atas perkenan YM Tengku yang memeriahkan lagi acara sukan ini. Inilah konsep 1Malaysia, sangat istemewa. Raja dan rakyat berpisah tiada.