Sunday, April 11, 2010

Lawatan ke SK Sinar Mutiara dan SK Bebar pada hari Sabtu 10 April 2010

10.00pagi saya dan cikgu Hassan Mutalib (guru SMK Ahmad, penyelaras fasilitatoe) sampai di SK Sinar Mutiara. Tuan haji Nasaha dan ramai guru berada di sekolah. Saya dibawa melawat ke bilik darjah melihat fasilitator tingkatan enam membimbing murid darjah enam memahami teknik mengarang Bahasa Melayu. Saya lihat murid sangat suka belajar. Saya tanya mengapa suka belajar? Semua kata suka kakak dan abang ajar. Mereka menambah, kakak dan abang baik. Ada tiga orang fasi menggunakan kad imbasan yang dibekalkan oleh guru BM mengajar kumpulan yang paling teruk. Murid yang berkumpul di sini dari SK Sinar Mutiara, SK Permatang Keledang, SK Pasir Panjang dan SK Tanjung Agas. Saya gembira PROLIT berjaya dilaksanakan sebagaimana dirancang. Saya bangga kerana guru dan fasilitator sanggup berkorban masa untuk memajukan murid.

11.20pagi sampai di SK Bebar. GB dan ramai guru hadir. Guru SK Bebar melaksanakan gotong royong membersih dan menghias kelas. Cikgu Malik, GB bersama seorang guru penyelaras melawat kelas PROLIT. Macam tadi juga, semuanya berjalan lancar tetapi kehadiran kurang memuaskan. Cikgu kata semalam hujan lebat, ramai budak Asli dari kampung perdalaman tidak hadir kerana jalan lecah dan tiada pengangkutan. Kasihan mereka. Seorang guru mencadangkan agar program PROLIT diulang untuk kumpulan budak Asli tetapi mereka dihimpun di asrama untuk dua hari. Ini satu cadangan yang baik. Terima kasih cikgu yang sanggup berkorban. Murid yang hadir dari SK Bebar dan SK Nenasi. Terima kasih juga kepada pemandu bas SMK Ahmad.

Sewaktu melawat murid dan fasi di kelas-kelas, saya dapati satu kelas lantainya berlubang. Permukaan simennya telah pecah, memang sangat bahaya, boleh tergelecok. Saya minta Guru Besar buat gotong royong, bancuh simen+pasir+air dan tampal. Mesti tanamkan semangat gotong royong dan bersegera baik pulih jika kerosakan itu mudah dibaiki dan tidak bahaya. GB menganganggukkan kepala. Saya teringatkan peristiwa dua orang pelajar tingkatan Satu C meminta sekampit simen daripada saya, sekali imbas macam perli pengetua aja (Waktu itu saya pengetua SMK Abu Bakar, Temerloh). Saya tanya mereka nak buat apa? Mereka kata nak gotong royong tampal lantai kelas yang berlubang. Saya tanya lagi, boleh ke pelajar Satu C buat sendiri? Mereka kata boleh, guru kelas (Ustaz Halim) akan ajar dan akan turut serta hari sabtu ini. Tanpa banyak soal saya beri mereka wang cukup untuk beli sekampit simen. Pasir memang ada hampir sebusut jantan depan dewan. Itulah sikap terpuji guru kelas mendidik murid supaya sayangkan kelas mereka. Inilah satu contoh Watak Pendidik, mengajar dan bersama-sama murid menjalankan kerja gotong royong.

Misi kami tahun 2010
Kami mahu semua murid tahun enam boleh membaca, menulis apabila melangkah ke tingkatan satu tahun 2011. Kami juga mahu keputusan Bahasa Melayu meningkat. Inilah perjuangan Pendidikan Pekan Melangkah Maju.

No comments:

Post a Comment