Sunday, April 25, 2010

Mendaki Bukit Pelindung bersama rakan sepejabat sebagai persediaan mendaki Gunung Kinabalu

25 April 2010, 9.00 pagi.
Saya bersama Zulkifli, Ahmad, Syed, Hamzah dan ramai lagi ahli keluarga Zul dan Ahmad mula mendaki. Jalan agak licin baru lepas hujan. Tidak ramai peminat yang mendaki pagi ini tetapi Pakcik yang berkaki ayam itu tetap gigih. Kami berselisih dengan beliau, saya memberi ucapan "Selamat Pagi" kepada Pakcik Kaki Ayam itu ( nanti minggu depan saya tanya nama sebenarnya). Maaf minggu lepas saya dan rakan-rakan tak jadi naik sebab hujan.
Pada peringkat awal saya rasa tersangat sukar untuk melangkah naik, rasa peha kaku tetapi semangat sahaja yang mendorong. Selepas 200 meter baru rasa stabil. Sambil berjalan kami berbual-bual. Berbual sambil berjalan dapat mengurangkan rasa letih.


Di kanan, saya dan Ahmad. Kami di puncak. Belakang nampak pemandangan bandar Kuantan.


Dua minggu lepas saya ada hantar komen dalam Laman Web Jabatan Hutan yang menjaga Bukit Pelindung ini. Saya beritahu fasal sampah dalam bekas telah melimpah. Sampah itu kelihatan usang, nampak telah lama tidak diselenggara. Pihak JH dengan pantas dalam masa 15 minit menghantar e-mail kepada saya, mengatakan akan menyiasat. Saya berasa sangat gembira kerana teguran saya diberi perhatian. Pagi ini saya berasa lebih seronok kerana semua semua sampah lama dalam semua tong telah dikutip. Malah tong telah dipasang plastik hitam. Terima kasih dan Tahniah Jabatan Hutan. Nampak dua tong telah penuh dengan sampah baru. Sampah itu kebanyakannya ialah bekas makanan, plastik air dan botol plastik. Saya nampak masih ada botol dan plastik disepahkan di tepi jalan. Di sini saya menyeru peminat Bukit Pelindung yang berkenaan sila gunakan tong sampah yang disediakan. Mari kita sama-sama jaga kebersihan dan menghargai keindahan Bukit Pelindung.

Bila bercakap fasal latihan fizikal dan ketahanan mental, saya teringatkan prestasi buruk pasukan MSSD Pekan dalam Kejohanan Balapan dan Padang MSSP 2010 minggu lepas di Temerloh. Pencapaian Pekan merosot, hanya dapat 1 emas, 3 perak dan 3 gangsa. Ramai guru mengatakan peserta dari Bukit Jalil dan Bandar Penawar sangat handal. Itulah alasan orang kalah. Sebenarnya yang menang emas lebih ramai budak sekolah biasa (bukan dari BJ dan BP). Lagi sekali kita kena lihat bagaimana sekolah biasa mampu melahirkan budak yang handal. Ramai pelajar mereka berjaya dapat pingat emas, perak dan gangsa. Cuba dapatkan rahsia SMK Jengka 16, SMK St Thomas dan mana lagi? Pokoknya terletak pada latihan yang berterusan. Pekan masih tercicir, dalam kerangka Pendidikan Pekan Melangkah Maju, kita mesti cari jalan bagimana boleh melonjakkan martabat sukan Pekan? Mari fikir dan bertindak bersama-sama.

Balik semula fasal mendaki Bukit Pelindung. Ahad depan ini 2 Mei 2010, pasukan PPD Pekan akan mendaki lagi tetapi ada kelainan sikit sewaktu turun. Kami rancang mahu melaksanakan aktiviti "Brain Training" di empat tempat rehat. Ok, fikir sudah dan sokongan ada. Saya mahu pastikan apa yang difikir itu dilakukan dengan teliti dan bersungguh-sungguh( pesananan PM). Jumpa lagi di kaki Bukit Pelindung pada 2 Mei 2010, jam 9 pagi.


Kami bergambar setelah kembali di kaki bukit. Dari kanan: Ahmad (baju merah), Syed, saya , Zulkifli dan Hamzah. Adik dalam kereta itu juga berjaya mendaki sampai ke puncak.

No comments:

Post a Comment