Sunday, June 20, 2010

GURU YANG DISUKAI MURID

Seorang Pengetua sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak telah membuat kajian terhadap murid-murid beliau mengenai guru yang mereka sukai.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid suka kepada guru-guru yang menepati masa, komited terhadap tugas dan kecindan (suka berjenaka).

Dapatan kajian beliau menunjukkan murid suka kepada guru yang menetapi masa iaitu masuk kelas tepat pada waktunya dan keluar (menghabiskan sesi pengajaran) kelas juga tepat pada waktunya. Ini menunjukkan bahawa warga guru perlu memberikan penekanan kepada aspek pengurusan masa yang cekap dan berkesan.

Guru yang menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka adalah merupakan guru yang disanjungi oleh murid. Warga guru perlu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas masing-masing. Guru perlu melakukan sesuatu tugas dengan bersungguh-sungguh supaya mereka dicontohi oleh murid. Dalam satu kajian lain, dapatan kajian menunjukkan ramai kalangan guru mengamalkan kaedah pengajaran dengan meniru apa yang telah dilakukan oleh guru mereka terdahulu. Ini bermakna sekiranya kita mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan, maka anak didik kita sentiasa memerhati dan memberikan keutamaan sehinggakan sekiranya mereka menjadi guru kelak, apa yang kita lakukan terhadap mereka hari ini akan menjadi ikutan mereka kelak. Konsep 'Bapak Borek, Anak Rintik' berlaku disini. Kalau cikgu borek, maka anak muridnya akan menjadi rintik?Aspek yang tidak kurang penting ialah guru yang pandai berjenaka.

Amalan jenaka atau kecindan akan membantu mengurangkan jurang pemisah komunikasi antara guru dan murid. Gelak tawa semasa berinteraksi antara guru dengan murid akan menjadikan hubungan guru-murid lebih mesra dan erat. Ingatlah wahai para guru, anak murid kita sentiasa memerlukan 'kawan' dalam kehidupan sosial mereka dalam persekitaran sekolah. Selain daripada rakan sekelas, atau sekolah, guru adalah merupakan kawan yang boleh mereka kongsi cerita dan jenaka yang bukan semata-mata berunsurkan akademik.

Dipetik daripada
http://deriakacamata.blogspot.com

No comments:

Post a Comment