Monday, February 1, 2010

Ada Masalah Pasti Ada Penyelesaiannya

Tugas pertama hari ini melawat SMK Lepar. Nampak sekumpulan pelajar lelaki pakai pakaian PJ, kelihatan kemas di tengah padang. Sekumpulan pelajar di celah bangunan pula sedang mengikuti senaman berirama. Perjalanan kelas PJ sangat teratur, guru PJ memakai pakaian sukan yang lengkap, seronok melihat suasana p&p yang teratur ini. Saya berjumpa Puan Rahayu, GPK (Pengetua telah pindah) untuk berbincang program Kem Easymaths pada 6/2/2010 ini. Saya beritahu bahawa guru dari SMK Paloh Hinai akan datang memantau.

Seterusnya saya pergi ke SMK Chini pula. Berjumpa dengan Tuan Haji Razak, Pengetua dan dua orang guru kanan tingkatan enam. Kami berbincang mahu membentuk pasukan fasilitator PROLIT yang kedua. Pasukan ini akan mengambil alih tugas fasilitator SMK Ahmad bagi kelompok Chini dan Paloh Hinai. Mereka sangat bersetuju pelajar tingkatan enam lebih 50 orang itu dilibatkan. Langkah ini dapat menyelesaikan masalah pengangkutan.

Tanpa membuang masa saya pergi ke SK Chini 3 pula. Saya menerima laporan daripada Tuan Haji Ghani, Guru Besar dan cikgu Shamzul. Mereka mengatakan perjalanan PROLIT pada hari Sabtu sangat baik tetapi pada hari Ahad fasilitator tidak hadir. Mereka tidak hadir kerana tiada pengangkutan. Kami bersetuju menggunakan khidmat fasilitator dari SMK Chini. Tidak timbul masalah pengangkutan. Ini adalah satu penyelesaian yang pantas. Taklimat kepada fasilitator SMK Chini akan diadakan pada hari Jumaat 5/2/2010. Kami mengesan ada masalah dalam perjalanan. Kami ambil langkah baru untuk mengelakkan berlakunya kegagalan. Kami bersungguh-sungguh mahu menghapuskan masalah boleh membaca tetapi tidak faham apa yang dibaca.

Di pejabat, saya memanggil Zailani, Nordin dan Seha untuk membuat tindakikut perkara yang saya bincangkan di SMK Lepar, SMK Chini dan SK Chini 3. Semua persediaan berjalan lancar. Kami di peringkat C dan A dalam pengurusan strategik PDCA. Kami bekerja dalam satu pasukan yang jitu. Langkah-langkah pantas ini adalah mustahak agar PENDIDIKAN PEKAN MELANGKAH MAJU betul-betul menjadi kenyataan.

Kita perlu pandaikan kumpulan murid yang masih menghadapi masalah litersi ini. Kita mahu kumpulan ini akan berjaya lulus BM (Penulisan) dan BM (Pemahaman) UPSR nanti. Langkah ini juga akan memudahkan mereka apabila melangkah ke sekolah menengah nanti.

2 comments:

  1. "boleh membaca tetapi tidak faham apa yang dibaca"


    ini bukan masalah budak sekolah je. orang tua pon ada masalah ni. tp tu panggil tak reti bahasa kot...huhuh

    ReplyDelete
  2. Tak reti bahasa ada makna lain pula tetapi lebih kerap sebut tak reti basa. Maksudnya tak reti dikaba. Degillah maknanya, betultak?

    ReplyDelete