Tuesday, March 30, 2010

Laporan PROLIT BM kelompok Peramu di SK Peramu Jaya

Semalam saya menerima laporan PROLIT BM daripada Tuan haji Osman bin Ahmad, GB SK Peramu Jaya dan cikgu Nor Azizan Md Hashim. Laporan itu sangat terperinci, terima kasih cikgu. Saya mengkaji laporan itu dengan penuh minat. Akhirnya saya simpulkan seperti berikut;

A=> murid yang boleh membaca dan faham apa yang boleh dibaca seramai 31 orang.
Golongan ini memang boleh lulus jika ada program membaca. Guru BM mesti ambil
tindakan.

B=> murid boleh membaca tetapi tidak faham apa yang dibaca seramai 41 orang. Golongan
ini kalau dibiarkan akan gagal. Sebaliknya jika kita cari jalan agar mereka boleh faham
apa yang dibaca, alangkah mulianya tindakan kita itu. Saya mahu mengajak guru yang
berkaitan untuk berbincang dan cari jalan untuk pulihkan mereka.

C=> murid yang mengenali huruf tetapi tidak boleh membaca. Tiada.

Mereka yang boleh baca tetapi tidak faham dari SK Ubai, SK Langgar, SK Tanah Putih, SK Pulau Serai, SK Pekan Jaya dan SK Peramu Jaya. Saya mahu berbincang dengan GPK dan guru mata pelajaran Bahasa Melayu untuk menyelesaikan masalah dalam perkara B itu. Kita jangan pinggirkan mereka. Jika mahu melihat Pendidikan Pekan Melangkah Maju, kita mesti jadikan mereka itu faham apa yang dibaca dan boleh jawab soalan periksa. Alang-alang mandi biar basah, alang-alang menngajar biar sampai pandai.

Terima kasih SK Peramu Jaya yang sudi jadi tuan rumah.

Saturday, March 27, 2010

Program berjalan meriah pada 27 Mac 2010

Di SK Seri Biram berjalannya program A in English untuk kelompok Bandar.
Di SK Pulau Serai berjalannya program A in English untuk kelompok Peramu.
Di SK Inderashah Bandar berjalan program Fasilitator Matematik.
Di SK Sinar Mutiara dan SK Bebar berjalan program PROLIT BM untuk Kelompok Pantai.
Saya mendapat laporan melalui SMS daripada Norrosda, Pegawai Bahasa PPD Pekan, terima kasih.

Saya menghubungi cikgu Mohamad Ismail GPK SK Pulau Serai untuk mendapatkan gambaran perjalanan program di sekolahnya. Beliau mengatakan semua guru BI hadir dan murid yang hadir 140/149. Terima kasih cikgu Mat.

Saya menghubungi cikgu Malek, Guru Besar SK Bebar. Beliau memberikan gambaran bahawa perjalanan PROLIT BM di sekolah beliau berjalan baik. Empat orang murid dari Api Larat tidak hadir kerana tiada kenderaan.

Setinggi penghargaan kepada pegawai di PPD Pekan yang berjaya menyelaras dan memantau perjalanan program ini.

Terima kasih kepada GB dan guru-guru yang terlibat. Terima kasih juga kepada pelajar SMK Ahmad dan pemandu bas. Khidmat anda sangat penting.

Kita semua berjuang untuk mempastikan Pendidikan Pekan Melangkah Maju menjadi kenyataan. Saya yakin boleh jika pasukan ini dapat berjalan terus.

Kita mesti ingat kepada kata-kata Aristotal,
"Kita jangan hanya menghargai kejayaan orang tetapi kita mesti cipta kejayaan itu dan amalkan."

Thursday, March 25, 2010

Seminar Motivasi Pelajar Tingkatan Enam Daerah Pekan

Terima kasih kepada YH Dato'Hj.Ahmad Azmey bin Abu Talib, Pegawai Tugas Khas Menteri Pelajaran juga Pengerusi Biro Pelajaran UMNO Pekan yang beri sokongan dan hadir beri ucapan perasmian penutup sebentar tadi.Terima kasih dan tahniah banyak-banyak kepada guru tingkatan enam SMK Tengku Abdullah yang menguruskan majlis kali ini dengan kemas.Tahniah kepada pelajar yang mengambil bahagian dalam foram dan pembantangan. Kali ini pasukan SMK Chini menjadi juaranya.Sesungguhnya majlis hari ini adalah merupakan hasil pertama pakatan strategik SMK Chini, SMK Ahmad, SMK Dato' Mahmud Mat dan SMK Ahmad.Saya percaya pelajar tingkatan enam daerah Pekan telah mendapat motivasi dan semangat baru untuk mencipta kecemerlangan dalam STPM 2010 nanti.Saya mencabar guru dan pelajar semua untuk mempastikan keempat-empat sekolah di Pekan akan rebut top four dalam negeri Pahang tahun 2010 ini. Kita mesti berusaha, tiada yang mustahil.Terima kasih sekali lagi.

Monday, March 15, 2010

PPD laksanakan idea mudah untuk mengatasi defisit Bahasa Inggeris UPSR

Saya meminta pegawai di PPD membuat analisis untuk mendapatkan bilangan murid yang dapat D dan E dalam mata pelajaran BI dan Sains dalam peperiksaan akhir tahun darjah lima tahun 2009. Selang beberapa hari saya memperolehinya.

Saya juga bertanya isteri saya Wan Abzan, seorang guru Bahasa Inggeris yang berpengalaman dan kini sebagai GPK tetapi masih aktif mengajar BI. Pencapaian BI sekolah beliau memang toplah (Maaf puji isteri sendiri. Kejayaan SK Sentosa adalah gabungan kegigihan kerja berpasukan guru-gurunya. Isteri saya hanya seorang daripada ahli pasukan seramai 20 orang itu). Saya bertanya beliau bagaimana cara terbaik hendak memulihkan budak yang dapat D dan E. "Mudah aja, yang teruk itu beri buku darjah dua, lepas itu follow by year three book. Kalau sempat buku tahun empat, luluslah dia. Cuba guna idea ini kepada budak-budak Pekan."

Berdasarkan dua dapatan itu PPD telah beli buku mulai tahun dua hingga ke tahun lima. Jumlah wangnya mencecah 20 ribu. Kami agihkan ke sekolah-sekolah mengikut data yang diperolehi itu. Seterusnya saya minta GB pastikan buku itu sampai ke kumpulan sasarannya. Saya minta GB semak, pastikan murid jawab, guru periksa dan buat pembetulan.

Selepas dua minggu buku diedarkan, saya bertanya Encik Ahmad A Bakar, GB SK Bandar Dua. Beliau kata guru sedang laksanakan. Menurut beliau lagi, projek ini sangat strategik sebab tepat kepada sasarannya. OK, kalau macam itu saya nak tengok kesan positifnya di SK Bandar Dua dan di sekolah lain juga.

Sekolah lain bagaimana? Sila beri komen anda.

Sebentar tadi saya berbual dengan seorang GB. Saya bertanya tentang buku yang diedarkan ke sekolahnya? Adakah telah digunakan untuk memulihkan murid yang lemah BI? Beliau tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Saya sangat bimbang bila Guru Besar tidak tahu. Saya bimbing projek ini cicir/tirih dalam perjalanan. Untuk memudahkan GB itu mengesan di manakah buku-buku itu, saya bekalkan Buku Latihan ENGLISH YEAR 2 dan HOME WORK ENGLISH YEAR 4 sebagai contoh.

Kini saya berasa bimbang. Oleh itu saya perlu menyiasat. Mesti gerakkan pegawai2 memantau ke sekolah.

Friday, March 12, 2010

Ulasan cikgu Shamdzul bin Ahmad selaku Guru Penyelaras PROLIT BM

Laporan PROLIT Fasa 1 dan 2.
Pusat di SK Chini 3&5. (SK CHINI 3&5, SK CHINI 1&4, SK CHINI 2 dan SK TASIK CHINI)
Bilangan murid 42 orang.
Fasilitator Fasa 1 seramai 11 orang dari SMK Ahmad.
Fasilitator Fasa 2 seramai 20 orang dari SMK Chini.

Idea PROLIT yang diilhamkan oleh PPD Pekan adalah satu transformasi dalam teknik pembelajaran luar waktu sekolah yang selama ini landasannya berteraskan kepada guru sahaja. Perubahan tenaga pengajar daripada guru kepada kakak dan abang dari tingkatan enam benar-benar merubah mood belajar calon-calon UPSR ini kerana dilihat calon lebih berani mengemukakan idea-idea, berkebolehan memindahkan idea dalam bentuk ayat dan lebih proaktif.

Tenaga fasilitator yang ramai benar-benar membantu kerana seorang fasilitator hanya fokus kepada 4 dan 5 orang calon sahaja, berbanding kelas tambahan di mana seorang guru memberi tumpuan kepada 25 hingga 30 orang calon. Bimbingan dari fasilitator berjaya menyampaikan teknik menjawa soalan BM lebih berkesan.

Diharapkan program diteruskan oleh pihak guru sekolah dijalankan agar teknik yang dipelajari calon dilatihtubikan sehingga mereka menduduki UPSR sebenar. Semuga atas usaha ini, pencapaian BM daerah Pekan akan meningkat dan secara tidak langsung membantu peningkatan pencapaian mata pelajaran lain.

Laporan disedia oleh SHAMDZUL BIN AHMAD.

Guru Bahasa Inggeris Kelompok Bandar dan Peramu tidak kenal letih

Tahniah cikgu BI yang terlibat buat program A in English. Saya terima laporan program dijalankan pada 12 Mac 2010. Norosda melaporkan bahawa di
SK Seri Biram untuk kelompok Bandar hadir 153/171 orang
SK Pulau Serai untuk kelompok Peramu hadir 139/146 orang
SK Langgar untuk empat sekolah hadir 33/40 orang.

Saya angkat tabik kepada krew BI daerah Pekan. Nampaknya telah ada persaingan antara kelompok. Pengorbanan anda semua tidak dapat dibayar dengan wang ringgit tetapi menaikkan semangat kerja saya yang kadang-kadang macam gasing berpusing kilat gajah. Kini pusingan itu laju semula. Badan saya terasa letih tetapi hati senang. Saya seronok bertugas di Pekan.

Apakah tindakan Guru Besar selepas tiga minggu membuat lawatan penanda aras di Maran dan Jerantut?

Apakah kesan selepas lawatan penanda aras? Saya telah memesan agar segera meniru yang baik. Lakukan segera. Barulah lawatan itu bermakna, kalau tidak ianya membazir masa dan wang sahaja.

Semalam saya berjumpa Encik Rashid GB SK Seri Biram. Saya bertanya apakah yang beliau dapat? Encik Rashid mengatakan SK Seri Biram memang telah laksanakan perhimpunan membaca waktu pagi tetapi tidak suruh budak bercakap menerangkan apa yang dibaca. Selepas lawatan itu, sekolahnya telah ikut cara SK Sentosa. OK tahniah GB dan guru SK Seri Biram. Ingat! untuk membentuk atau menerap budaya membaca, usaha itu mesti berterusan.

Sekolah lain bagaimana pula?
Sila beri komen atau jawapan anda dalam ruangan ini.

Sebentar tadi saya berjumpa Encik Ahmad Kamal, GB Tanjung Batu di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah Pekan. Saya bertanya apa yang dia dapat dan apa yang telah lakukan di sekolah. Beliau mengatakan telah memulakan aktiviti galakan membaca waktu pagi seperti SK Sentosa lakukan. Walau bagaimanapun sesi bercakap menerangkan apa yang dibaca belum dilaksanakan.
OK ini adalah langkah yang baik, meniru perkara yang berfaedah. Tahniah Encik Ahmad Kamal. Pastikan amalan membaca akan berkekalan walaupun selepas Tuan pencen. Terima kasih.

Thursday, March 11, 2010

Pendidikan Pekan telah menampakkan kemajuan, keputusan SPM 2009 makin bagus

Tahniah kepada pengetua, guru, pelajar dan ibubapa. Keputusan SPM makin baik. GPS tahun 2009 ialah 5.02 semakin baik berbanding 5.14 tahun 2008. Pencapaian ini adalah kedua terbaik di negeri Pahang. Pencapaian kebangsaan ialah 5.34 mata, ini bermakna pencapaian kita lebih baik daripada pencapaian kebangsaan. Saya percaya kepimpinan pengetua telah memberi kesan positif. Seterusnya keberkesanan pengajaran guru. Pelajar secara keseluruhannya lebih bersemangat. Saya berharap momentum ini terus membara.

Wednesday, March 10, 2010

Laporan cikgu AZAMUNAH BT BAKI tentang PROLIT di SK Kota Perdana

Saya bersama pegawai di PPD, JK Panitia BM Daearah Pekan, GB dan guru BM sekolah rendah di Pekan, guru SMKA, guru SMK Chini dan fasilitator tingkatan enam SMKA dan SMKC seramai 98 orang sedang menggerakkan PROLIT BM hingga semua murid tahun enam 2010 boleh membaca dan faham, boleh menulis membina ayat dan mengeja dengan betul.

Kali ini saya ingin memetik laporan cikgu AZAMUNAH BINTI BAKI dari SK Kota Perdana. Seramai 23 orang murid terlibat, semuanya anak orang Asli. Kami sayang kepada mereka. Berikut ialah sebahagian daripada laporan cikug AZAMUNAH.

Seramai 7 orang fasilitator dari SMK Ahmad hadir dibantu oleh 18 orang guru SK Kota Perdana untuk memastikan kelancaran program. Kehadiran pada hari itu ialah 23 daripada 30 orang iaitu 77%. Ini kerana 6 orang pelajar SK Runchang tidak hadir pada hari kedua program dijalankan. Murid SK Kota Perdana kekal seramai 21 orang.
Program PROLIT pada hari itu dipantau oleh En.Mustapar Bin Kechik. Sepanjang program pelajar sungguh seronok kerana fasilitator bijak menarik minat pelajar dalam memberikan tumpuan sewaktu sesi pembelajaran dijalankan. Pada sesi terakhir pelajar meminta fasilitator terus kekal mengajar mereka. Hakikatnya mereka benar-benar berterima kasih kepada fasilitator yang sanggup datang dari jauh untuk memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada mereka. Sebelum pulang sesi bergambar bersama guru besar dijalankan sebagai tanda kenang-kenangan. Kepada fasilitator dari SMK Ahmad terima kasih diucapkan atas sumbangan bakti anda membantu anak didik SK Kota Perdana sepanjang Program PROLIT dijalankan. Terima Kasih Daun Keladi, Ada Masa Jenguklah Kami.
Sumbangan cikgu AZAMUNAH BINTI BAKI, ketua Panitia Bahasa Melayu SK Kota Perdana

Tuesday, March 9, 2010

Guru sains perlu laksanakan eksprimen dan guru matematik perlu laksanakan discovery method agar pembelajaran lebih menarik

Assalamulaikum dan salam sejahtera.
Pagi ini 10 Mac 2010,8.30pagi, saya diberi peluang bercakap kepada guru sains dan matematik sekolah rendah dan menengah daerah Pekan seramai 60 orang di Dewan syarahan bangunan UMNO Pekan.

Mula-mula sekali saya ucapkan tahniah kepada guru yang sanggup datang walaupun tiada tuntutan perjalanan. Demi ilmu anda semua datang juga, tahniah sekali lagi. Malam tadi saya sempat merayau mencari maklumat tentang Petrosains, dapatlah modal nak bercakap hari ini. Modal sendiripun ada jadi saya cukup bersedia. Program ini dinamakan Teacher's Session anjuran Petrosains (anak syarikat Petronas). Ini adalah peluang keemasan kepada guru di daerah Pekan. Program ini dikendalikan oleh pasukan Petrosains dalam rangka memromosikan aktiviti hand's on tentang penerokaan sains.

Saya diberi peluang bercakap sebagai pembuka bicara kepada guru-guru. Saya sangat gembira dapat bercakap kepada guru kerana saya mahu kongsikan pengalaman sendiri sebagai murid dan guru sains. Saya lihat kebanyakan guru yang hadir masih muda, tentu banyak ilmu dan teknik pengajaran yang mereka perlu dalami lagi. Macam biasalah, saya bercakap berdasarkan apa yang saya alami. Sewaktu darjah tiga, cikgu Ishak menerangkan bahawa bumi kita berbentuk sfera, macam bola dan berputar. Saya tidak percaya, tidak masuk akal. Cikgu kata kalau kita tengok ke tengah laut, mula nampak asap, lepas itu nampak serombong dan akhirnya nampak kapal. Masih tidak percaya sebab saya betul-betul katak di bawah tempurung. Duduk di kampung Pesagi, jauh dari laut, tidak pernah tengok laut. Sewaktu ujian cikgu kemukakan soalan "Bumi kita macam bola atau rata?". Tentulah saya pilih bola. Cikgu gembira kerana saya telah percaya. Saya beritahu cikgu,"saya hendak markah saja, tapi masih percaya bumi ini rata macam tikar". Kasihan cikgu Ishak terpaksa berhadapan dengan budak yang keras kepala ini. Dua minggu kemudian cikgu bawa model bumi yang boleh berpusing. Cikgu juga bawa lampu picit. Apa lagi, kami berkerumun keliling meja. cikgu pula sibuk menerangkan kejadian siang dan malam sambil menyuluh dan memusing glob itu. Sejak itu barulah saya percaya. Itu baru satu cerita di sekolah rendah. Semasa di sekolah menengah saya teringatkan pengajaran cikgu Zainal. Beliau sentiasa buat demonstrasi mengumpulkan gas hidrogen dan gas oksigen. Cikgu juga menunjukkan kesan tindakbalas kalium bila dilemparkan ke dalam air. Sewaktu di tingkatan enam, kami sentaisa masuk makmal fizik lakukan eksprimen. Di makmal kimia kami selalu melakukan titratan campuran bahan kimia. Itu semua adalah pembelajaran yang menyeronokkan. Anak saya sewaktu darjah enam, ajak saya tengok benih kacang yang ditanamnya. Saya ikutkan kehendaknya, jenguk tiap-tiap hari, selepas seminggu baru nampak daun mula keluar. Anak saya seronok belajar sains dengan cikgu Budin di SK Paya Pasir. Cikgu Zubir kata sangat sukar memahamkan budak darjah enam tenatang kesan daya terhadap pergerakan. Saya ambil peluang itu buat eksprimen gunakan kasut roda mainan anak saya, gunakan getah gelang yang disambunmg. Gunakan kaki meja sebagai sangga. Tarikkan getah kebelakang bersama kasut roda kemudian lepas, macam main lastik burung. Kasut meluru ke hadapan. Lepas itu ulangi dengan mengenakan dua helai getah dan tarik ke belakang pada jarak yang sama. Lepas, kasut bergerak lebih laju. Budak-budak darjah enam termasuk anak saya Shahmi sangat seronok. Mereka nampak sendiri bila daya ditambah, pergerakan makin laju, cepat sampai dan bergerak makin jauh. Eksprimen beberapa minit sahaja berjaya membina kefahaman. Ada banyak lagi contoh yang saya terangkan.

Yang penting disini ialah guru mesti mengajar gunakan kaedah tunjuk cara, beri peluang kepada murid melakukan sendiri ujikaji. Kita kena tarik minat mereka meneroka. Terima kasih Petronas dan UMNO Pekan. Cukuplah takat ini dulu. Kita berjuang untuk memajukan anak bangsa.

Mahu lihat budak Pekan pandai cakap Inggeris

Pandai banyak bahasa sangat menguntungkan lebih-lebih lagi pandai bahasa utama dunia, buat masa ini Bahasa Inggeris. Saya telah fikir hal ini sejak jadi PPD Maran tahun 2007 tetapi tidak dapat diterjemahkan kerana guru lebih berminat buat kelas jawab soalan UPSR. Suasana di Pekan nampaknya serasi dengan pemikiran saya. Saya ceritakan kepada Nordin dan Norrosda. Mereka faham, terus memanggil lima orang guru BI diketuai puan Noraini dari SK Tanah Putih. Mereka berbincang hingga dapat satu ketetapan. Kumpulan sasarannya ialah budak Kuala Pahang dan Serandu. Kami nak ubah tanggapan yang mengatakan anak nelayan tak pandai belajar. Kami akan adakan kem bercakap inggeris di Rompin Beach Resort dalam bulan April nanti. Saya akan beri gambaran yang lebih jelas lagi pada masa akan datang. Yang pentingnya pendidik di Pekan memang bersemangat tinggi. Mereka menyahut cabaran demi kemajuan murid. Adakah ini satu lagi ciri Watak Pendidik?

Monday, March 8, 2010

Sukan Tahunan Keempat SMK Chini Dua dan persediaan SMK Pekan untuk MSSD 2010

Saya masih belum puas berbicara fasal sukan. Saya percaya budak yang suka bersukan ada kelebihannya. Saya juga berasa belum gembira dengan prestasi daerah Pekan di peringkat negeri Pahang, kita duduk di bawah. Inilah masalah yang bermain dalam kepala saya. Kalau bercakap, saya mesti rujuk kepada pengalaman sendiri. Sewaktu di sekolah rendah dan menengah saya suka ambil bahagian dalam sukan dan permainan. Saya dapat bimbingan dari guru yang mahir. Bila mula jadi guru di SMK Jerantut tahun 1978 terus diberi tugas jadi Ketua Guru Rumah Mat Kilau. Saya tidak sukar menguruskan sesi latihan kerana ada pengalaman. Yang sukarnya ialah kurang dapat kerjasama rakan guru yang lain. Saya tidak berani beri arahan kepada mereka yang lebih senior. Nasib baik ramai ahli rumah yang berkebolehan. Saya banyak dapat bantuan mereka. Bukan nak angkat bakul, tiga tahun saya pegang jawatan itu, tiga tahunlah rumah Mat Kilau johan keseluruhan. Lepas itu saya diberi tugas yang lain pula hinggalah tahun ketujuh saya diberi tugas "Marshal". Macam-macam kerja saya buat, ada kalanya saya tolong cikgu Basir dan cikgu Yusof Osman tolak roller buat line dan macam-macam lagi. Sewaktu di bangku sekolah saya menerima pengalaman mengambil bahagian dalam acara sukan. Sewaktu mula kerja hingga tahun kelapan saya belajar menguruskan sukan. Semuanya sangat berfaedah.

7 Mac 2010, saya menghadiri majlis sukan SMK Chini 2. Walaupun baru berusia empat tahun, sekolah ini yang diketuai oleh Encik Azmi bin Mohd Noor telah berjaya mengendalikan sukan yang meriah. Saya lihat pelajar sangat gembira. Banyak juga bakat-bakat yang boleh ketengahkan. Ada diselitkan acara lontar peluru untuk jemputan, guru dan ibubapa. Saya mengambil bahagian sebagai peserta pertama. Teknik lontar masih ingat tetapi tenaga sudah kurang. Saya tewas kepada sembilan peserta yang lebih handal. Saya lihat ramai pelajar SMKC2 yang berpotensi menang di peringkat MSSD namun begitu mereka perlu berlatih secara berterusan selama satu bulan. Kehadiran ibubapa masih kurang, pihak sekolah dan PIBG perlu cari jalan agar lebih ramai ibubapa hadir. Ramai penyokong masuk ke tengah padang, semangat menyokong sangat hebat, satu semangat yang terpuji tetapi mereka sepatutnya berada di kawasan rumah masing-masing sahaja. Itulah gunanya jawatan "marshal". Saya berharap guru terus melatih peserta untuk mewakili sekolah ke MSSD Pekan hujung bulan Mac ini. Saya mencabar pelajar SMKC2 agar dapatkan sekurang-kurang tujuh emas.

8 Mac 2010, 5.20ptg. Saya bersama encik Kamaludin Latif KU SPK PPD Pekan. Kami mahu melihat perjalanan sesi latihan di SMK Pekan. Dari jauh telah kelihatan beberapa kelompok pelajar dan guru, ada yang berlatih baling cakra, lembing dan peluru. Cikgu Nasarudin yang jadi jurulatihnya. Kumpulan larian pula dikendalikan oleh cikgu Suhaimi. Mereka sedang melompat penghalang yang berjujut. Ini adalah satu latihan yang sistematik. Selepas itu mereka berlatih lari 100meter. Di suatu penjuru kelihatan pasukan bola tampar sekolah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Kuliyah Abu Bakar. Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan susunan latihan. Tahniah dan terima kasih cikgu sanggup berpanas bersama murid. Itulah satu sifat Watak Pendidik. Teruskan, pecahkan monopoli sekolah di tepi simpang itu.

Laporan Nordin Jais tentang perjalanan aktiviti Sabtu 6 Mac 2010

Saya bukan superman, saya tidak boleh kerja seorang. Kalau nak berjaya mesti gerakkan jentera. Beri tugas kepada pegawai. Sabtu 6 Mac 2010, saya ada hal sendiri di Cyberjaya. Oleh itu saya serahkan tugas memantau perjalanan PROLIT BM, A in ENGLISH dan FASI MATEMATIK kepada lima orang pegawai iaitu Zailani TPPD, Nordin, Dalijatonseha, Norrosda dan Sh Kasimi. Berikut saya siarkan laporan yang dihantar oleh Nordin Jais.

PEMANTAUAN PROGARAM PPD PEKAN ; 6 MAC 2010; 8.00 HINGGA 1.00 PTG
SK PERAMU JAYA, SK PULAU SERAI, SK INDERA SHAHBANDAR & SK SRI MAULANA

Jam 9.25 pagi, saya telah ke SK Peramu Jaya dan mendapati Program PROLIT telah berjalan dimana fasilitator dan guru pemulihan melaksanakan tugas sepertimana dirancang. Tuan Hj Osman (GB) ada bersama dan saya telah menanyakan tentang kehadiran dimana 67/91 telah hadir. Walaupun dalam keadaan isterinya yang terlantar di hospital, beliau masih ada ruang untuk memberi sokongan kepada program ini. Tahniah dan terima kepada Tn Hj Osman. Saya menanyakan kepada guru pemulihan SK Peramu Jaya tentang perjalanan program hari ini. Beliau menyatakan terdapat 5 pelajar yang tidak hadir pada fasa pertama telah hadir untuk fasa kedua. Keadaan ini menyukarkan beliau kerana terpaksa membuat penilaian pelajar ini untuk mengenalpasti kemahirannya. Mohd Fitri Aiman contohnya boleh membaca dengan lancar dan akan dimasukkan dalam kelas Fasilitator. Pada fasa I semua pelajar akan diuji untuk dikumpulkan mengikut tahap pencapaiannya.

Jam 10.00 pagi saya telah sampai di SK Pulau Serai. Saya terus ke kelas di tingkat satu untuk memantau sendiri program A in English untuk pelajar yang disasarkan akan mendapat A. Ain Fitriah dari SK Pekan Jaya dan Nabil dari SK Peramu Jaya diantara pelajar yang hadir dalam mereka sedang berbincang bersama guru Norshahidah dr SK Peramu Jaya jawapan pre test yang dilaksanakan untuk streaming pelajar mengikut pencapaiannya. Setiap kumpulan akan dibahagikan kepada 12 pelajar dalam satu kelas dan di kendalikan oleh guru dari setiap sekolah yang terlibat. Kemudian saya ke kantin untuk minum pagi bersama guru yang hadir. GB dan GPK ada bersama dan GPK memaklumkan kehadiran adalah 146/146 pelajar. Semua guru telah menunjukkan komitmen yang baik. Saya sempat berbual bersama salah seorang guru dan beliau ada menyatakan bahawa masih terdapat guru yang belum terdedah kepada skema peperiksaan BI. Kita boleh melaksanakan dengan mengenalpasti guru terutama guru yang mengajar pelajar tahun 6 bagi memastikan ia sampai kepada pelajar UPSR 2010. Guru yang hadir seramai 15 orang termasuk 3 Jurulatih. Dapatan dari program BI di SK Langgar, untuk Fasa II, terdapat guru dari sekolah yang mengilirkan guru untuk hadir ke program ini. Pertukaran guru ini sebenarnya memberi kesan kepada program ini kerana guru tidak dapat mengenalpasti tahap pelajar yang telah dikumpulkan mengikut tahap masing-masing. Guru yang terlibat semuanya perempuan. Tahniah kepada Pentabdir sekolah kerana dapat mengurus dengan baik. Seterusnya saya bertolak ke SK Indera Shahbandar untuk program PROLIT.

Jam 11.05 pagi saya sampai di SKISB terus memantau ke kelas program PROLIT dan didapati kehadiran Fasilitator (pelajar tingkatan enam atas SMK Ahmad) seramai 9 orang dan 38/38 pelajar termasuk 10 pelajar yang masih kemahiran rendah. Pelajar ini telah dikendalikan oleh guru pemulihan En Johari dan Pn Fauziah. Pn Fauziah menyatakan terdapat 6 pelajar yang tidak termasuk dalam program ini merayu kepadanya untuk menyertai program ini. Pelajar ini menyatakan ingin belajar bersama kakak dan abang. Antara pelajar yang terlibat ialah Ifa Nadia dan Siti Nor Jana. Pn Fauziah telah memasukkan pelajar tersebut sekiranya terdapat pelajar lain tidak hadir. Tahnidan kepada GB dan GPK kerana hadir untuk memastikan program ini berjalan lancar. Setelah saya minum air teh dan kuih bersama GB dan GPK maka saya bertolak ke SK Seri Maulana.

Jam 12.15 th saya sampai di SK Seri Maulana dan kelas Matematik telah tamat dan tidak sempat untuk saya memantau perjalanan program ini. Jumlah Fisilitator terlibat adalah seramai 8 orang (pelajar tingkatan empat SMK Ahmad) dan jumlah pelajar yang hadir seramai 43 pelajar. Pelajar telah bergerak ke dewan kerana GB akan mengadakan majlis perasmian penutupan program ini. Pengerusi Majlis ialah Cik Norzinani dan dikendalikan sepenuh dalam Bahasa Ingggeris. En Basri bin Mohd Zahiri , En Wahid (GPK Pnt), En Rosbi(GPK HEM) dan 10 orang guru turut hadir menjayakan program ini. En Basri berjanji dalam ucapannya untuk mmastikan program kecemerlangan akan terus dilaksanakan untuk memastikan jumlah straghit A mencapai target iaitu seramai 20/61 orang. Saya mencucapkan tahniah dan terima kasih kerana pihak sekolah kerana memberikan sokongan kepada program PPD dan memaklumkan sekiranya pihak sekolah ingin menggunakan khidmat fasi, bolehlah memaklumkan kepada Pn Dalijatonseha yang turut hadir di program ini.

Nampaknya pihak sekolah terutama GB telah menunjukkan keyakinan terhadap program yang dirancang oleh PPD dan telah memberikan sokongan dengan melaksanakan program dengan baik dan sanggup berkorban walaupun tiada bayaran. Tahniah Tuan dan semoga kita berjaya menterjemahkan Pendidikan Pekan Melangkah Maju.

Sumbangan Nordin Jais, 6 Mac 2010 untuk pohpalehweh.blogspot.com

Thursday, March 4, 2010

Meriahkan Sukan Tahunan Sekolah

Saya jarang sekali mengupas perjalanan sukan di daerah Pekan. Sebetulnya saya sangat suka mengambil bahagian dalam sukan olahraga, permainan dan merentas desa sewaktu sekolah dahulu. Bila ambil bahagian mesti cuba dapatkan medal. Saya pernah mewakili sekolah acara 400 meter, 4x400meter dan lompat jauh dalam olahraga MSSD Temerloh sewaktu bersekolah di SMRK Chneor tahun 1969 dulu. Saya juga mewakili sekolah dalam permainan hoki dan takraw. Dari tingkatan satu hingga lima sentiasa berlari merentas desa, selalu juga dapat nombor antara ketujuh hingga ke20, macam itulah, tetapi top five memang tak pernahlah. Saya juga ada kemahiran melempar cakra, boleh tahun juga jauhnya. Saya mendapat bimbingan teknik lompat jauh dan lempar cakra dari cikgu Chan Siew Ming, itu cerita sewaktu bersekolah di Chenor. Untuk mewakili sekolah mesti ikut siri latihan yang panjang. Saya telah lalui alam persaingan di padang sewaktu di bangku sekolah dahulu, memang sangat seronok dan meninggalkan kesan yang mendalam. Ada unsur ketabahan, kesanggupan bersaing dan kekuatan mental juga.

Hari ini Kementerian Pelajaran Malaysia meminta sekolah meriahkan sukan. Libatkan ibu bapa dan acara jemputan. Saya masih ingat sewaktu di Sekolah Kebangsaan Pesagi tahun 1961 hingga 1966, ibu bapa sama-sama mendirikan dan menghias rumah sukan, memang hebat. Ada diselitkan pertandingan sepak raga bulat, tarik tali antara kampung, menganyam ketupat dan banyak lagi, memang meriah.

Sukan adalah medan persaingan dan ruang membina jalinan akrab antara guru dan ibubapa. Kita sentiasa sibuk dan ibu bapa juga sibuk. Melalui sukanlah kita dapat bermesra antara satu sama lain. Melalui pemerhatian saya, didapati memang sekolah telah mengambil kira saranan KPM. Pada 21 Februari 2010 saya menghadiri sukan olahraga SMK Ahmad, sungguh meriah. Ada acara lumba basikal laju. Ibubapa dan guru mengambil bahagian, bukan main seronok lagi. Acara lumba lari 4x100 jemputan juga ada. SK Ahmad dan SK Temai bersaing. SK Temai walaupun sekolah kecil, dapat mengalahkan SK Ahmad. Saya lihat budak Temai lebih cekap memberi dan menerima batton. Kemenangan terletak pada latihan. Tahniah SK Temai. Tiga orang dariopada pelarinya ialah budak Permatang Siput.

28 Februari, 8.30pagi hingga 1.15th, menghadiri sukan di SBPI Pekan. Memang meriah. Perbarisan peserta bersemangat dan macam-macam konsep. Ibubapa ramai yang hadir. Penglibatan ibubapa membanggakan. Ada pertandingan menganyam ketupat, membina London Bridge dan tarik tali. Rumah sukan dihias berbagai stail. Acara jempuan 4x100 dibolot oleh pasukan SEMSAS Kuantan. Sewaktu berucap merasmi penutupan, saya mencabar pelajar SBPI agar merampas kejuaraan MSSD pada tahun 2010 ini. Cabaran saya disambut dengan laungan "boleh". Jam 2.30ptg hadir ke SHAH pula. Sukan SHAH memang hebat, pengurusannya memang ada kelas tetapi tahun ini tiada pasukan pancaragam. Acara 4x100 jemputan disapu oleh tuan rumah SHAH. Acara tarik tali antara guru dan bapa ada juga.

Kesimpulannya, pihak pentadbiran sekolah telah mula mengambil kira penglibatan ibu bapa dan juga acara jemputan. Harap dimeriahkan lagi.

Monday, March 1, 2010

SK Langgar, SK Bandar 2 dan SK Kota Perdana meriah pada hari Sabtu 27 Feb.2010

9.00pagi, menghadiri majlis PERHATI anjuran Yayasan Pahang dan JPNP. Saya diberi peluang bercakap kepada 140 orang pelajar anak yatim bersama penjaga mereka. Saya beri tips agar berubah daripada penyenyap kepada peramah. Maknanya mesra dengan rakan, berani bertanya guru dan boleh bercakap di hadapan. Hujah saya yang kedua ialah menjadikan diri cerdik (Fatonah), satu sifat Nabi Muhammad SAW. Bagaimana mahu jadi cerdik? Caranya ialah melalui kerja yang konsisten. Misalnya ulangkaji pelajaran konsisten tiga jam sehari misalnya.

10.00pagi, sampai di SK Langgar. Encik Abdullah GB Langgar, Pn Juariah GB SK Tanjung Agas selaku N. Pengerusi Panitia Bahasa Inggeris daerah dan Encik Nordin Jais menunggu saya. Puan Noraini GC Bahasa Inggeris selaku Ketua Pasukan guru BI dan beberapa orang guru BI sibuk dalam kelas. Seramai 42 orang murid cemerlang BI dari SK Langgar, SK Pahang Tua, SK Pulau Rusa dan SK Gancung sedang mengikuti bengkel Bahasa Inggeris. Ini adalah satu usaha kami untuk melahirkan sekurang-kurang 20% akan dapat A dalam UPSR nanti. Program di sini merupakan model pertama. Kami akan bergerak ke pusat yang lain pula. Saya mendapat taklimat disampaikan oleh Puan Noraini.

11.00pagi, bersama Nordin sampai di SK Bandar Dua. Puan Norosda menunggu kami. Kami bergerak dari kelas ke kelas. Sungguh seronok melihat murid darjah enam yang lemah membaca, menulis dan memaaham Bahasa Melayu sedang dibimbing oleh fasilitator yang terdiri daripada pelajar tingkatan enam SMK Chini. Tiga orang murid berhadapan dengan seorang fasi. Murid dari SK Bandar 2, SK Mambang, SK P Hinai, SK Lepar, SK Pulau Manis dan SK Kincir berkampung di sini. Saya lihat fasi ada kemahiran, mereka mendapat bimbingan sebanyak dua kali daripada cikgu Samzul (Guru Cemerlang BM dari SK Chini 3)sebelum melaksanakan tugas. Semuanya berjalan lancar. Puan Mahani dari SK Paloh Hinai bertugas sebagai pengurus. Tahniah dan terima kasih cikgu semua atas pengorbanan tenaga dan masa. Saya lihat fasilitaor ada bakat jadi pendidik.

12.00th, kami sampai di SK Kota Perdana. Encik Mustafar GB Kota Perdana bergegas menyambut kami. Tanpa buang masa terus melawat budak belajar di kelas. Serupa di Bandar Dua juga. Murid dibimbing oleh fasi dari SMK Chini. Kali ini, kebanyakan murid adalah anak-anak orang Asli dari SK Runcang dan SK K Perdana. Sebenarnya budak Asli juga boleh dipulihkan. Guru BM mengatakan markah ujian mereka telah meningkat sebanyak 4% hasil bimbingan hari Sabtu fasa pertama. Saya yakin kebolehan mereka akan meningkat lagi. Guru Besar membuat saranan agar budak ini banyakkan membaca buku cerita untuk menambahkan perbendaharan kata.

Kami gembira melihat PROLIT BM berjalan sebagaimana dirancang. Kami yakin, jika diteruskan semuanya akan lulus malah ada yang akan dapat B atau A. Jangan berhenti, teruskan inovasi ini.

Saya cukup puas menghabiskan separuh hari bersama murid dan guru demi mempastikan PENDIDIKAN PEKAN MELANGKAH MAJU menjadi kenyataan.