Saturday, May 29, 2010

Membina Kekuatan Menyeluruh

Sewaktu berucap di Masjid Al-Taqua Peramu, YAB Dato' Seri Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia merasmikan Program Imam Muda berkata,

"Kita mesti membina kekuatan menyeluruh, bila hilang kekuatan kita akan
dijajah malah kerja ibadah pun dikawal."

Sangat mendalam maksudnya.
Mengikut fahaman saya, kekuatan menyeluruh itu (saya mahu cari) meliputi,
  • Kekuatan iman
  • Kekuatan melaksanakan tugas/ tanggungjawab
  • Kekuatan fizikal
  • Kekuatan sifat kepimpinan
  • Kekuatan mental/daya fikir

29 Mei 2010. Pagi ini saya mahu membina kekuatan fizikal dan mental dengan cara mendaki Bukit Pelindung. Saya memulakan langkah sendirian pada jam 10.45pagi, agak lewat. Sebelum ini saya pernah mendaki sendirian sekali dan kemudian bersama-sama rakan sepejabat sebanyak dua kali. Sangat mencabar, terasa sangat letih dan macam tak cukup nafas, rasa mahu pusing belakang. Sangat berbeza jika mendaki bersama kawan, sambil melangkah boleh berborak. Rasa letih dan rasa tewas hilang bila berjuang dalam pasukan. Kini saya menghadapi cabaran yang lebih berat. Untuk meredakan rasa letih/ tewas/jemu, saya terpaksa rehat beberapa minit sebanyak tiga kali sebelum sampai di puncak. Sewaktu naik saya berselisih dengan cikgu Tan yang berusia 70 tahun bersama isterinya. Saya ambil peluang berbual-bual seketika. Cikgu Tan menasihatkan saya agar terus menjalankan aktiviti mendaki. Cikgu Tan mencadangkan agar saya dapat mengurangkan berat badan 5kg lagi. Waktu itu baru rasa selesa mendaki bukit. Jika berat badan dikurangkan kepada 66kg, maka Index berat/(tinggixtinggi) menjadi 24.5 unit. Ini bermakna berat badan saya dalam lingkungan berat badan yang unggul. Saya akan berusaha mengikut nasihat cikgu Tan itu. Dalam perjalanan mendaki tiba-tiba dahan pokok sebelah kiri bergegar. Saya nampak dua ekor monyet besar, ekornya panjang sedang meniti dahan yang bersanggit dengan dahan pokok seberang jalan. Saya mendongak memerhati gegagat mereka berdua itu. Saya bimbang juga takut monyet itu melompat ke tengkuk saya. Akhirnya sepasang monyet itu meniti dahan pokok seberang jalan. Ini adalah habitat mereka. Sewaktu berjalan turun, saya bertemu dengan seorang Mat Salleh sedang menolak bekas bayi beroda. Di dalam bekas itu ada dua orang bayi, yang seorang itu dalam lingkungan setahun dan seorang lagi baru berusia dua bulan (agak sahaja). Saya berbual sebentar. Mat Salleh itu kata budak itu ialah cucunya. Saya terfikir dalam hati, ini adalah satu kerja yang bahaya. Saya berasa lebih bimbang sewaktu turun, sukar mengawal. Mat Salleh itu kata sewaktu turun dia pasang tali pinggang yang mengikat bekas beroda itu ke pinggangnya. Puas juga saya memikirkan perangai dan tujuan Mat Salleh itu. Dari segi kekuatan fizikal dan semangat, sudah tentulah Mat Salleh itu jauh lebih hebat daripada saya.

Untuk membina kekuatan fizikal dan mental diri, ada kalanya kita perlu berjuang sendiri. Ada kalanya kita berjuang dalam pasukan. Ada ketikanya kita tidak perlu tunggu kawan untuk mencari kekutan. Kita perlu ada sifat berani dan yakin diri.

No comments:

Post a Comment